SEJAK kerajaan buat pertama kali bertukar tangan 9 Mei 2018, segala untuk Malaysia serba tidak kena. Tak menjadi.
Dulunya pernah kita digelar antara Harimau Asia. Negara tetangga cukup hormat, tabik pada kita. Tetapi dalam tiga tahun kebelakangan ini, tiba-tiba kita menjadi bahan momokan, gurau senda dan iktibar untuk mendorong mereka memintas dan meninggalkan kita.
Hari ini kuasa politik pun sukar dijamin tidak akan terlepas ke tangan orang lain. Sebilangan orang Melayu pun kelihatan tidak menghormati institusi-institusi Melayu.
Suatu ketika pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pernah menyaksikan orang Melayu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menangkis semua ini. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu.
Apa yang terjadi di negeri berkenaan sehinggakan ditukar istilah premier menggantikan jawatan ketua menteri adalah manifestasi keserabutan politik yang membadai Semenanjung.
Hakikatnya, kita tidak menjadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.
Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu barulah dapat kita tebus balik maruah kita.
KEPAKARAN ILMU
Orang Melayu khususnya perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa sama bertindak apabila dicerca oleh politik luaran.
Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Asia Barat dan seperti China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.
Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.
Dari aspek ekonomi, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.
Adakah ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset? Dan malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?
Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi.
Dari sudut politik, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun dari segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai. Justeru orang Melayu perlu menolak nisbah ‘sekurang-kurangnya 30 peratus’ dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.
LEGASI
O.T. Dusseck pada 1935 memberitahu penuntut-penuntutnya bahawa ada tiga tenaga pendorong dalam hidup ini iaitu agama, adat resam dan bahasa. Tegas beliau “…bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih daripada 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupakan hakikat itu.
“Pelihara bahasa kamu itu. Berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu.” (The Straits Times, 1935.)
Ucapan Dusseck memberi gambaran jelas keyakinan beliau bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu sama tarafnya dengan bahasa-bahasa antarabangsa.
Dan kita cukup teringat dengan kemajuan bahasa Melayu di Indonesia yang dipanggil bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia ialah bahasa kebangsaannya (menerusi tekad Sumpah Pemuda 1928). Bahasa Indonesia menjadi bahasa penyatuan beratus-ratus suku bangsa Indonesia yang tinggal di hampir 8,000 pulau di republik itu.
Bahasa Indonesia menjadi bahasa pelbagai ilmu Islam, matematik, sains, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain. Rata-rata rakyat Indonesia termasuk masyarakat Tionghoa berfikir secara sofistikated dalam bahasa mereka.
Dan bertutur lancar dengan bangga dalam bahasa Indonesia dari presidennya, menteri, peniaga, tukang beca dan petani.
Kerana itu juga saya ingin selalu ingatkan satu perkara ini – mewarisi legasi itu payah. Maksudnya, ‘Hidup Melayu’ mu jangan murah. Perjuangan itu ibarat pelaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan.
Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-kata hikmatnya, “Takkan Melayu hilang di dunia” tidak lagi menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.
Jangan bila ada anasir atau pihak tertentu cuba menggegarkan isu-isu berkaitan dengan ‘nilai-nilai hak asasi’ sebagai gong politik mereka, maka kita pun khuatir dan takut.
Kita segan dan mula tunduk.
Sekali lagi yang selalu saya peringat dan pesan-pesankan dalam siri kolum yang ditulis – jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawak pun ikut.
Tetapi akan dibalas oleh pihak di sana – kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Inilah yang orang Melayu perlu renung-renungkan, fikir-fikirkan. – UTUSAN