Bukalah mana mana media sosial yang ada ketika ini. Hampir semuanya memaparkan iklan yang menjadi daya penarik bagi mereka yang ingin membeli barangan.
Maka media sosial kini banyak peranan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Ada banyak sebab orang ramai semakin meminati media sosial, malah turut membuka akaun tanpa mengira lapisan umur.
Selain melihat iklan ada yang tertarik dengan 1,001 satu macam kenyataan yang digembar gemburkan sebagai pendedahan dan pembongkaran serta pengumuman luar jangka, kononnya.
Kenyataan kenyataan ini saya anggap sebagai umpan menarik perhatian khalayak.

Media sosial yang wujud sejajar dengan perkembangan Internet benar benar dimanfaat mereka yang tahu menggunakannya. Menjual, produk melariskan jualan menjadi pempengaruh ada yang menjadi jurubicara iklan produk sebagai kerjaya.
Apabila melayari media sosial kita akan disajikan dengan pelbagai persembahan terutama daripada beberapa elemen ini yang pada saya tidak semua membawa makna positif.
Pertamanya, seperti disebutkan iklan pelbagai produk yang mengumpan pelayar dengan berbagai-bagai tawaran manis.
Pengiklan menggunakan kata-kata yang mengundang rasa teruja dan masa yang sama pelayar media sosial mudah terpesona tetapi isunya, macam mana sebenarnya produk tersebut diiklankan.
Kedua, podcast sudah banyak muncul yang membicarakan pelbagai isu kemasyarakatan. Semuanya menggunakan kata-kata bombastik untuk menarik perhatian pelayar tetapi sekali lagi elemen negatifnya begitu mengancam dan cenderung merosakkan. Saya kata cenderung merosakkan kerana pertamanya atas niat mahu mengumpan pengiklan seolah- olah hilang budi bahasa .
Podcast politik lebih teruk kerana kata-kata mengumpan yang saya anggap keterlaluan. Ahli, aktivis politik atau mungkin ahli politik di hujung kerjaya nya ingin memberitahu pelbagai perkara kepada kita.
Katanya ini pembongkaran dan pendedahan yang tidak ramai orang tahu. “Saya akan bongkar dan dedahkan” tetapi akhirnya apabila menyaksikan podcast itu, segala macam dakwaan disebut mengaibkan individu tertentu.
Tuan rumah podcast hanya melontarkan soalan dan guna ayat-ayat provokasi bagi membolehkan tetamu undangannya mengeluarkan kata-kata yang sensasi bagi mengundang tatapan khalayak.
Podcast ini semakin menjadi jadi dan meningkat selari dengan peningkatan suhu politik tanah air. Politik ini mirip kepada program bual bicara tetapi dalam versi digital dan digunakan tetapi sebagai platform menghentam musuh politik atau individu yang tidak sealiran dengannya.
Jika program bual bicara sebelum ini biasanya dikendalikan atau dihoskan oleh individu yang berkelayakan akademik tertentu atau sekurang- kurangnya berpengetahuan luas kerana banyak membaca, sebaliknya pula tidak semua hos podcast kini seperti itu kerana cukup sekadar dia boleh mengajukan soalan, walaupun kelihatan kelemahannya.
Sebab menjadi hos podcast tidak perlu kelayakan minimum akademik, tidak ada pun yang menyaring adakah dia berpengetahuan luas menerusi pengalaman kerja atau banyak membaca.
Matlamat utama mengejar populariti menerusi media sosial dan akhirnya untuk apa? Tuan badan sahaja yang tahu niat dan matlamatnya peribadinya. Tapi janganlah gunakan media sosial sebagai lesen menipu dan memperdaya orang ramai.
Lebih menakutkan, penggunaan bahasa kurang adab dan ini lah yang dimaksudkan merosakkan.
Perkara ketiga adalah iklan dakwaan berlebihan terutama produk kesihatan.
Ada dakwaan pengiklan produk kesihatan ini semacam doktor pakar walhal dia entah siapa siapa. Kata jurubicara iklan produk itu: “Apalah nak jadi dengan suami saya ini. Cepat sangat penat, balik tugasan luar ingatkan ingin bersama tapi baru tekan satu minit dah pancut. Lembik dan lambat keras. Siapa yang tidak frust.” Dengan mimik muka kecewa dan nada sedih dan memberontak.
Demikian iklan mengundang perhatian kita. Iya ada yang kata itu bukan manusia sebenar. Ada kemungkinan imej janaan kecerdasan buatan (AI) atau apa sahaja, tetapi siapa sasaran iklan berkenaan?
Pelayar media sosial bukan segmen golongan berusia sahaja tetapi kanak kanak, pelajar dan mereka yang belum berumah tangga.
Mana maruah kita kalau kita biarkan golongan ini terdedah iklan berkenaan? Lebih memalukan, mana maruah jurucakap atau duta produk berkenaan? Dalam hal ini saya bersetuju pandangan Rahmat Fitri Abdullah seorang perunding, penceramah bebas dan duta anti scam.
Bekas pegawai polis Bukit Aman itu berpendapat iklan produk kesihatan itu diwujudkan sedemikian selain menarik perhatian untuk membeli barangan tetapi menjerat pengguna apabila menekan pautannya yang akan membawa kepada terjebak dengan penipuan dan perangkap scammer.
Malah beliau juga menyifatkan iklan produk kesihatan rumah tahgga seperti yang disebutkan sebagai tidak ada maruah kerana terdesak dengan pulangan wang.
“Bagi saya tidak maruah mereka yang mengiklankan produk sedemikian dengan kata kata berbaur lucah dan pakaian mencolok mata, “ ujarnya.
Beliau juga bersetuju penggunaan AI mungkin sudah menggantikan manusia sebagai jurucakap produk penjagaan kesihatan itu.
Namun Ratmat Fitri berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pejabat agama mengambil perhatian serius iklan dakwaan berlebihan dan kata-kata memalukan kerana ia juga dilayari kanak-kanak dan remaja. Iklan produk kesihatan ini paling sensasi dalam media sosial terutama yang ada hubung kait dengan seks dan hubungan intim. Produk penjagaan kesihatan juga demikian. Kita biasa mendengar iklan ini:
“Kaki ibu saya dulu berasa kebas-kebas dan letih. Dia yang didiagnos ada masalah kesihatan dan sekiranya tidak dirawat segera boleh membawa ajal.
“Selepas memberi makan ubat ini, keadaan ibu saya bertambah baik dan boleh solat dengan sempurna.”
Demikian strategi digunakan untuk melariskan jualan dalam media sosial yang dibimbangi menggunakan dakwaan berlebihan atau testimoni tidak logik.
Kaedah tersebut yang saya sebutkan sebagai elemen keempat iaitu fear marketing.Pemasaran produk kesihatan kaedah ini berkesan kerana menjerat pengguna dengan ketakutan.
Ada banyak lagi elemen-elemen dalam media sosial selain yang disebutkan tetapi mereka yang terpedaya, terpesona atau hanyut sudah menjadi mangsa kepada mereka yang saya anggap sebagai penglipur lara di media sosial.
Kesimpulannya, kita bukan sahaja menjadi hamba peranti pintar sejak sekian lama, tetapi hanyut bersama aksi penglipur lara ini.
Bukan silap kita ada peranti pintar tetapi janganlah jadi hamba kepadanya. Internet dan peranti pintar tidak salah, sama seperti kita memiliki sebilah pisau, di tangan kita sama ada memanfaatkan atau mencederakan.
Statistik SKMM tiga tahun kebelakangan menunjukkan bahawa tiga peranti utama untuk capaian Internet adalah telefon pintar sebanyak 98.7 peratus, laptop (komputer riba), netbook dan notebook (37.9 peratus) manakala komputer peribadi (PC) dan dekstop sebanyak 16.2 peratus. Kebanyakan kita memiliki telefon pintar dan berapa ramai pula ada akaun media sosial. Kajian SKMM 2020 menunjukkan 91.7 peratus orang kita ada akaun
Facebook (Fb), Youtube (80.6 peratus) dan Instagram sebanyak 63.1 peratus dan angka tersebut berlaku peningkatan.
Mungkin ada golongan warga emas tidak ada akaun Tabung Haji tetapi sudah ada akaun Fb. Kan? Itu adalah senario golongan berusia dan bagaimana kanak-kanak? Kata SKMM juga, kira-kira 47 golongan golongan berusia antara lima dan 17 tahun menggunakan Internet sepanjang hidup mereka.
Nasib baik SKMM melaporkan 53. 3 peratus ibu bapa ada kesedaran kawalan Internet terhadap anak mereka manakala 42. 6 peratus tidak ada kesedaran tersebut.
Saya tidak bimbang laporan SKMM yang itu tetapi agak cuak dengan statistik 86.5 peratus kita berkongsi kandungan media sosial dan 58.5 peratus kumpulan bermesej dan hanya 36.1 peratus mesej peribadi.
Ada yang pasang gigi palsu pun mahu orang lain tahu.
Masalahnya masyarakat Malaysia sebenarnya attention seekers walaupun perlu atau terpaksa menari di hadapan aplikasi Tiktok sebab semuanya itu penglipur lara. – UTUSAN










