KURANG empat hari sahaja lagi penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, PRN kali keempat ini cabaran paling getir. Tidak serupa tiga PRN awal, juga bukan lagi menguar-uarkan kenangan manis siri pilihan raya kecil (PRK) tempoh hari. Sebaliknya, gelanggang di Johor ini menjadi air muka dan platform untuk menentukan hala tuju BN memasuki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebab itu kalangan pemimpin tertinggi UMNO sehari dua ini amat menekankan keperluan memilih calon-calon BN yang kompeten berciri ‘wali.’ Wali merujuk kepada ciri boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.
Apa yang perlu dipastikan oleh BN adalah calon yang setia pada parti dan kepimpinannya biar apa jua gelombang dan cabaran mendatang. Lebih penting lagi, tidak terpalit apa-apa jua isu serta memiliki rekod sejarah diri yang baik.
Dari sejarah singkat pasca PRU14 tempoh hari sudah cukup membuktikan keampuhan UMNO. Walau tumbang buat pertama kali dalam enam dekad, daya juang kepimpinan UMNO baik di peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi tidak pernah pudar. Tiada satu pun cawangan dan bahagian dibubarkan melainkan percubaan-percubaan untuk merampas keahliannya daripada pengkhianat pelompat parti.
Dengan pengalaman cukup lama dalam politik, UMNO tidak perlukan masa panjang untuk pulih. Selepas tahun mengejutkan 2018 berlalu, UMNO bingkas bangkit pada 2019 dan 2020 dengan kemenangan 7-0 dalam siri PRK. Tujuh kerusi diraih UMNO/BN menerusi undi majoriti besar di Slim, Chini, Kimanis, Tanjung Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands. Walaupun kemenangan itu dilandaskan atas platform Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Pas, terbukti jenama UMNO/BN sahaja cukup utuh. Pas pula gagal lebih awal lagi di PRK Seri Setia dan Port Dickson.
Bibit-bibit cemburu, iri hati dan takut kepada bebayang sendiri menghantui segelintir pemimpin kanan Pas. Ini tidak mampu disembunyikan lagi, lantas akhirnya bermula ‘Langkah Sheraton’ pada 24 Februari 2020. Pas tidak menoleh lagi, terjun ke Perikatan Nasional (PN) selepas PRK Slim, 29 Ogos tahun sama. Sebulan kemudian Pas duduk bersama PN dalam PRN Sabah, 26 September dan kekal sehingga saat ini.
Begitupun, UMNO terus mengembalikan struktur politiknya yang masih kukuh. Tidak lama selepas PRU14 melihatkan kepada pemilihan di peringkat cawangan yang baru selesai, jumlah kehadiran ahli cawangan masih memberangsangkan meskipun mesyuarat dibuat semasa bulan Ramadan. Jumlah ahli yang menawarkan diri untuk pemilihan parti pelbagai jawatan sama ada di peringkat bahagian mahupun pusat juga menunjukkan jumlah yang ramai.
BOCOR
Semangat perjuangan UMNO belum luntur walaupun selepas pemilihan terutama calon-calon yang kalah bertanding PRU 2018. Sebagai parti yang secara khusus memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu, Islam dan rakyat, saya melihat UMNO masih relevan dan sangat penting.
Ketika UMNO sedang memperbaiki lompang dan menutup lubang-lubang yang bocor, Pakatan Harapan (PH) pula berdepan kedudukan amat sukar sehingga hanya mampu bertahan 22 bulan. Masuk pula PN, penerajunya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut gagal, cuma berkuasa 17 bulan.
Kali ini untuk PRN Johor yang barangkali menjadi penanda aras untuk UMNO/BN mencipta kebangkitan dalam PRU15 nanti, UMNO perlu terus mencungkil bakat-bakat pemimpin baharu untuk diangkat sebagai pimpinan muda.
Sama seperti di Melaka, 20 November tahun lalu, kemunculan ramai muka baharu yang menjadi pilihan membawa cabaran UMNO/BN berjaya membuktikan hasil memberangsangkan.
UMNO tidak ada banyak pilihan melainkan harus berani dan yakin untuk mencuba dan melakukan eksperimen terhadap senarai calon yang akan ditampilkan 26 Februari ini.
Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:
Kalau mencari tempat mandi,
Pertama keluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok, kedua pandai.
Perkataan-perkataan menyebut bijak dan berani merupakan ciri-ciri kelayakan untuk menjadi seorang pemimpin selain sudah semestinya peringkat teratas – jujur. Pastikan calon bercirikan ‘wali’ ada dan terungkap untuk dijadikan pilihan oleh kepimpinan UMNO/BN Johor.
Rumusannya, pemilihan calon amat bergantung kepada dua faktor ini, pengamatan pengundi dan parti. Pengundi mahu melihat senarai berwibawa, berpendidikan agama dari latar belakang keluarga yang baik dan dikenali. Bukan baharu hendak dikenali. Dan parti memerlukan calon yang setia kepada parti, semasa senang dan susah serta disenangi akar umbi.
Seperti kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi: “Di kala menang kita bersama, di kala kalah kita setia.” – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.