Media sosial ‘hina’ janda, ibu tunggal

Media sosial ‘hina’ janda, ibu tunggal

JANDA atau ibu tunggal merupakan golongan yang kuat dan tabah dalam meneruskan kelangsungan hidup. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUBA taip perkataan ‘janda’ atau ‘ibu tunggal’ dan tekan butang Cari di laman media sosial seperti Facebook. Anda akan menemukan pelbagai hasil carian yang jelik dan jijik. Begitu juga akaun dan kumpulan komuniti dalam media sosial lain yang pada dasarnya cuba merendah-rendahkan golongan ini malah tidak kurang berbaur lucah.

Persoalannya, kenapa perkara seumpama itu masih berlaku ketika kita sudah lebih dua dekad hidup dalam alaf baharu? Kenapa memberi persepsi buruk dan serong kepada wanita-wanita Melayu Islam ini? Itu paling mengharukan.

Hakikatnya, imej yang cuba dipotret oleh mereka yang tidak bermoral ini dalam media sosial barangkali mahu menarik perhatian khalayak warga maya atau netizen yang menyukai sesuatu yang sensasi. Persepsi tidak adil itu secara langsung menyembunyikan kenyataan kehidupan sebenar golongan ini yang kuat dan tabah ketika cuba bergelut selepas bergelar janda atau ibu tunggal.

Tidak kira bercerai mati atau hidup, ia bukan fasa kehidupan yang manis dan malang sekali masih ada yang mahu memberi gambaran buruk terhadap mereka semata-mata mahu mengajak orang lain mengeji dan mencela golongan ini.

Bagaimana mahu menghentikan stigma negatif ini dalam usaha membantu ibu tunggal atau janda secara emosi dan mental? Bagaimana untuk menghapuskan klise jahat dan serong itu demi memberi semangat atau dorongan kepada mereka yang kini bergelut dengan cabaran hidup terutama ketika perlu menyara keluarga sendirian?

Stigma kuno kononnya janda atau ibu tunggal ini jahat, penggoda, perampas atau peruntuh rumah tangga orang itu kuat dan mempengaruhi persepsi masyarakat sejak dahulu lagi.

RACUN

Untuk menghapuskan persepsi buruk tersebut, semua pihak perlu buka mata dan baca situasi sebenarnya berdasarkan fakta. Faktanya, perceraian, hidup atau mati bukan mereka yang tentukan. Tiada wanita yang ingin bergelar janda atau ibu tunggal.

Di sini juga, semua pihak perlu memainkan peranan membetulkan semula persepsi buruk tersebut sebagai memberi sokongan kepada mereka. Berhenti menggaitkan mereka dengan sesuatu yang negatif kerana itu secara tidak langsung menambahkan ‘racun.’

Tidak kira apa juga alasan di sebalik perceraian baik cerai mati atau hidup membawa status sebagai ibu tunggal atau janda tidak harus menjadi beban kepada golongan ini. Bukan kejian dan hinaan, sebaliknya dorongan dan sokongan yang kuat terutama untuk menghapuskan persepsi serong itu sehingga mempengaruhi interaksi masyarakat terhadap mereka.

Saya mempunyai beberapa rakan dalam kalangan golongan ini. Walaupun perceraian sudah berlaku bertahun-tahun, namun ada yang masih menyembunyikan status itu daripada masyarakat. Takut dikeji dan dipandang serong, satu hal kata mereka. Namun, lebih mengerikan adalah digoda oleh lelaki hidung belang yang menganggap mereka ‘perempuan murahan’ semata-mata kerana status itu.

Demikianlah kuat persepsi itu yang masih membelenggu masyarakat kita dan ia perlu dihentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×