Lembaga jilat air mandian mayat - Utusan Malaysia

Lembaga jilat air mandian mayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai seorang Muslim kita ditegah sama sekali untuk menyekutukan Allah SWT. Syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Seperti kisah yang akan saya ceritakan kali ini. Kisah yang mana seorang ustaz menyaksikan dengan matanya sendiri tentang satu kejadian cukup menakutkan.
Kisah ini terjadi kira-kira 15 tahun lalu di sebuah negeri di Selatan tanah air. Sesungguhnya cerita ini mampu menjadi teladan dan pedoman buat kita semua agar menjauhi perkara-perkara syirik yang dilarang Allah SWT.
Begini ceritanya….
Sudah hampir tiga minggu Alang Piah terlantar sakit di rumahnya namun masih belum sembuh. Isterinya pun pelik kerana sudah beberapa doktor dan bomoh telah merawatnya, namun keadaannya masih sama. Bila ditanya mereka kata Alang Piah tidak mengidap sebarang penyakit.
Yang buatkan isterinya, Mek Jah bertambah pelik bila siang hari Alang Piah hanya terbaring kaku di katil, tetapi bila tengah malam dia akan bangun pergi ke dapur untuk makan. Yang hairannya dia bukan makan sepinggan, tapi sampai satu periuk. Itu yang buatkan Mek Jah hairan.
Pernah juga dia bertanya tetapi tidak dijawab oleh Alang Piah. Dia sekadar merengus dan menjegilkan mata ke arah Mek Jah. Apa lagi, terus Mek Jah kecut perut. Selepas itu terus dia kunci mulut tanpa bertanya lagi.
Sebelum ini nama Alang Piah cukup dikenali. Walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun namun dia masih gagah seperti orang muda. Saban hari dia ke hutan mencari akar kayu dan damar sehinggakan orang muda pun tidak mampu melakukan kerja sepertinya.
Namun cerita kehebatannya tidak habis di situ. Dari cakap-cakap orang ada sisi lain yang tidak mereka ketahui. Ramai mendakwa Alang Piah ada ‘membela’ sesuatu. Sudah ramai terserempak kononnya yang masuk ke dalam hutan itu bukannya Alang Piah, tetapi belaannya kerana di waktu yang sama Alang Piah berada di lokasi lain. Bagaimanapun tiada siapa berani bertanya. Cerita tersebut hanya tersimpan kemas di minda penduduk kampung. Bagi mereka biarlah Alang Piah ingin ‘membela’ apa sekalipun, janji tidak mennyusahkan orang lain.
Namun walau segagah mana sekalipun, takdir Allah SWT tidak boleh di elak. Alang Piah akhirnya jatuh sakit secara mengejut. Peliknya dia tidak menghadapi sebarang penyakit seperti darah tinggi, jantung dan sebagainya. Sakit yang dialaminya cukup menyeksanya sehingga dia terbaring kaku di atas katil walaupun selera makannya tetap sama seperti dulu.
Setiap malam Mek Jah akan sediakan rutin makanan suaminya iaitu satu periuk nasi dan seekor ayam bakar. Kebiasaannya sebaik saja makanan tersebut dihidangkan sekelip mata saja Alang Piah akan habiskan. Mek Jah cukup hairan kerana sepanjang hidupnya belum pernah dia melihat suaminya makan sebanyak itu. Dan bila selesai makan Alang Piah akan kembali ke katil pembaringannya sehinggalah dia bangun semula pada keesokan malamnya.
Semakin hari raut wajah Alang Piah semakin kurus, cengkung dan hitam. Pernah satu hari ketika Haji Amir datang menziarahnya, Alang Piah meronta-rota di katil. Mulutnya meracau dan menyeringai seperti orang menahan sakit ketika dibacakan yasin. Sejak itu Mek Jah tidak lagi memanggil sesiapa untuk mengubat suaminya. Dia kasihan dan tak sanggup melihat azab yang ditanggung Alang Piah.
Namun siapa mampu melawan kuasa Allah SWT, seminggu kemudian Alang Piah akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung Alang Piah selama ini sudah berakhir. Tetapi yang mengejutkan bila melihat tubuh Alang Piah kurus kering seperti sudah lama meninggal dunia.
“Jangan kita lengah-lengahkan lagi. Mayat arwah ini kita perlu kebumikan segera,” kata Haji Amir dengan beberapa penduduk kampung yang hadir di rumah arwah ketika itu. Sementara menunggu tukang mandi mayat tiba, mereka bersama-sama membaca yasin di ruang tamu rumah itu. Selesai menunaikan solat Isyak mereka terus urusakan jenazah. Alhamdulillah, walaupun terdapat beberapa rintangan kecil, namun jenazah arwah selamat dimandi, dikafan serta dikebumikan di tanah perkuburan hujung kampung. Sebaik selesai bacaan talkin dan penduduk kampung ingin beredar dari tanah perkuburan, tiba-tiba Mek Jah datang menghampiri mereka dengan wajah pucat lesi.
“Ustaz… ustaz, saya nak minta tolong ni. Boleh tak ustaz datang sekejap ke rumah saya,” kata Mek Jah dengan suara tergagap-gagap dan muka yang pucat lesi.
Haji Amir dan beberapa penduduk kampung yang berada di situ berpandangan. Mereka tahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku, jika tidak tak mungkin Mek Jah sanggup berjalan kaki meredah kegelapan malam mencari mereka ketika itu.
Haji Amir dan beberapa penduduk kampung bergegas menuju ke rumah arwah. Sengaja Haji Amir tidak bertanya lanjut kepada Mek Jah takut kalau-kalau boleh mendatangkan fitnah nanti.
Suasana sunyi sepi sebaik sahaja mereka tiba di kediaman arwah. Memang selama ini arwah dan Mek Jah tinggal berdua sahaja kerana mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Bau kapur barus dan air mawar masih lagi pekat memenuhi segenap ruang rumah.
“Tadi masa saya sedang berkemas di dapur saya tercium bau busuk yang teramat sangat. Saya tinjau sekeliling cari kalau-kalau ada bangakai binatang ke, tapi tiba-tiba saya terdengar bunyi macam ada sesuatau di bawah rumah tempat arwah dimandikan tadi,” kata Mek Jah perlahan.
“Pada mulanya saya ingatkan ada kucing atau musang, tapi bunyinya agak pelik. Bunyi seperti sesuatu sedang menjilat air. Saya turun ke bawah intai. Sebaik saya suluh saya terkejut. Nampak satu lembaga menyerupai arwah sedang menjilat air mayat,” sambungnya ketakutan.
Haji Amir dan penduduk kampung yang berada di situ terlopong mendengar cerita Mek Jah. Mereka percaya dengan apa yang diceritakan Mek Jah. Tak mungkin isterinya sanggup mengadakan cerita untuk memalukan arwah suami sendiri.
“Insya-Allah kita cuba buat sesuatu supaya syaitan ni tak mengganggu Mek Jah dan arwah mendapat keampunan dari Allah SWT,” kata Haji Amir.
Sebelum memulakan upacara, Haji Amir sempat berpesan dengan beberapa orang yang ada di situ agar merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan penduduk kampung. Katanya apa yang berlaku biarlah menjadi peringatan dan pedoman semua.
Haji Amir meminta semua yang ada di situ membaca ayat Kursi tanpa henti, lantas dia turun ke halaman membaca beberapa potong ayat al-Quran.
Beberapa penduduk kampung yang berada di atas rumah berpandangan apabila mereka terdengar pelbagai bunyi aneh dan menyeramkan dari bawah rumah. Namun mereka tahu ada sesuatu yang dilakukan oleh Haji Amir untuk menghalau syaitan tersebut. Hampir 15 minit kemudian barulah Haji Amir naik semula ke atas. “Alhamdulillah. Insya-Allah selepas ni tiada lagi syaitan yang mengganggu,” kata Haji Amir kepada Mek Jah.
Mek Jah tersenyum sambil mengucapkan syukur dan terima kasih. Haji Amir hanya tersenyum dan minta supaya dia bersabar. Namun rahsia sebenarnya hanya Haji Amir sahaja tahu. Siapa lembaga itu dan apa kaitannya dengan arwah. Namun dia berjanji tidak akan bercerita dengan sesiapa tentang apa yang diketahuinya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya