SEMASA kanak-kanak dan membesar di Taiping, Perak, saya sering mendengar frasa jaati bukkan digunakan oleh penutur bahasa Tamil. Gelaran itu ditujukan kepada kelompok tertentu dalam masyarakat.
Sebagaimana sering berlaku kepada pelbagai istilah yang dituturkan penduduk majmuk dengan latar budaya dan bahasa ibunda berbeza, frasa jaati bukkan juga mengalami perubahan. Maka tidak hairanlah rata-rata rakan-rakan kaum India yang saya hubungi baru-baru ini tidak mengetahui makna frasa itu. Malah ramai yang tidak pernah mendengarnya.
“Jaati yang dimaksudkan itu merujuk kepada kasta, bukan?” tanya Harvintha Reddy dari Pagoh, Johor. Persoalan ini amat wajar kerana penutur bahasa Tamil lazim menggunakan istilah jaati apabila merujuk kepada ‘kasta.’
Kita sedia maklum tentang isu sensitif yang muncul susulan novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dijadikan teks Komsas pada 2011. Isu timbul berikutan penggunaan suatu istilah berhubung kasta yang amat sensitif bagi kaum India di Malaysia.
Saya sering berusaha mendidik masyarakat tentang makna sebenar serta perbezaan antara sistem kasta, varna dan jaati dalam budaya tradisi masyarakat India. Penjelasan terperinci juga dimasukkan dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) bagi memudahkan pemahaman.
Penutur bahasa Tamil sering menggunakan frasa aan jaati bagi kaum lelaki (kaum Adam) dan penn jaati bagi kaum wanita (kaum Hawa). Malah, penggunaan jaati dengan makna ‘kaum’ lebih nyata apabila orang India merujuk kepada orang Cina sebagai Cina jaati.
Sewaktu topik berkaitan jaati bukkan dibincangkan bersama rakan-rakan, Saravana Kumar dari Seberang Jaya, Pulau Pinang menyebut dia pernah dipanggil dengan gelaran itu.
“Apabila saya tanya maksud, orang itu sendiri tidak tahu. Maka, saya juga amat berminat untuk akhirnya tahu apakah makna sebenar frasa berkenaan,” kata pensyarah itu.
Saravana Kumar sudah biasa mendengar dirinya digelar jaati bukkan sejak kanak-kanak. Sepupu dan saudara-mara juga menggunakan frasa itu apabila merujuk kepadanya.
“Ada orang mengatakan saya digelar sebegitu sebab ayah saya keturunan Malayali manakala ibu keturunan Tamil. Bapa mentua saya Malayali dan ibu mentua pula Tamil,” kata beliau yang merupakan bapa kepada seorang anak berumur 15 tahun.
Prem Kanna Dorairaj dari Rawang, Selangor juga pernah mendengar penggunaan frasa jaati bukkan digunakan penutur bahasa Tamil.
“Tapi saya tidak pasti maksud sebenar. Kalau tak silap, ia merujuk kepada kaum India yang meninggalkan agama asal,” katanya.
Kelompok yang dimaksudkan oleh Prem Kanna ialah kaum India (khususnya lelaki) yang masuk Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu. Perkahwinan seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. Namun begitu, golongan India Muslim amat dibenci pada masa silam sehingga Abdul Rahim Kajai dan Ishak Muhammad memperkenalkan istilah Darah Keturunan Keling (DKK).
ARAB
Huraian lanjut dan terperinci mengenai kelompok Jawi peranakan, keling, DKK atau India Muslim boleh dibaca dalam rencana Kisah di sebalik keling serta buku Kavya Sastra (2021) dan Suvarna Bhumi (2022). Tesis ijazah kedoktoran bertajuk The South Indian Muslim Community and the Evolution of the Jawi Peranakan in Penang up to 1948 (1988) oleh Helen Fujimoto turut memberi maklumat yang menarik dan menyeluruh.
Menurut A. Murad Merican (New Straits Times, 25 April 2018), ada ramai orang mamak, keling, Jawi pekan dan peranakan Arab di Pulau Pinang dan Kedah. Kelompok ini berasal daripada pedagang dari India yang berkahwin dengan wanita Melayu tempatan, ratusan tahun dahulu. Hal ini dihuraikan dalam buku The Origins of Malay Nationalism (1967) oleh William R. Roff.
Golongan India Muslim atau Jawi peranakan disebut sebagai Jawi pekan atau Melayu pekan dalam dokumen rasmi dan bancian penduduk pada zaman penjajahan British. Dalam bancian penduduk pada 1911, kategori Jawi pekan digugurkan kerana ramai India Muslim memilih kategori Melayu. Namun begitu, menurut A. Murad Merican, masih ada ibu bapa meletakkan Jawi pekan pada sijil kelahiran anak-anak sehingga sekitar 1920-an.
Tentu ada sebab mengapa saya banyak merujuk kepada golongan India Muslim, keling atau Jawi peranakan dalam perbincangan ini. Hal ini penting dan perlu kerana frasa jaati bukkan yang dibincangkan ada kaitan secara langsung dengan golongan berkenaan.
Pembentangan kertas kerja oleh Dr. Noriah Mohamed pada Kolokium Kebangsaan Melayu Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (17-18 September 2003) mampu memberikan jawapan terbaik bagi melerai segala kekeliruan dan salah tanggap. Golongan India Muslim, keling atau mamak di Pulau Pinang turut digelar sebagai Jawi peranakan dan Jawi pekan.
Sebutan ‘pekan’ dalam kalangan penutur bahasa Tamil (termasuk orang India Muslim) berubah menjadi ‘pukan’ dan ‘bukan.’ Maka, frasa Jawi pukan dan Jawi bukan digunakan oleh penutur bahasa Tamil apabila merujuk kepada golongan Jawi pekan (India Muslim).
Sebagaimana dinyatakan tadi, tokoh wartawan dan sasterawan seperti Abdul Rahim Kajai dan Ishak Muhammad tidak mengakui orang Jawi pekan sebagai kaum Melayu.
Dalam kalangan penutur bahasa Tamil beragama Hindu pula, golongan Jawi pekan turut dipandang dengan agak prejudis kerana ramai India Muslim mula meninggalkan identiti asal (India) dan menggelarkan diri mereka Melayu.
Pada masa sama, sementara pekan disebut sebagai pukan dan bukan, perkataan Jawi pula mengalami perubahan lalu menjadi jaati dalam kalangan penutur bahasa Tamil.
Maka, frasa jaati bukkan pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada golongan India Muslim. Lama-kelamaan, frasa itu turut digunakan sebagai gelaran kepada sesiapa yang didapati meninggalkan identiti dan jati diri lalu mengamalkan budaya orang lain menerusi asimilasi. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










