Dos penggalak ‘permit’ balik raya?

Dos penggalak ‘permit’ balik raya?

SELAMA dua tahun berturut-turut, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah masing-masing berikutan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ULAN lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah yang menghalang orang ramai untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti. Baru-baru ini, sekali lagi Perdana Menteri ulangi jaminan tersebut. Dalam erti kata lain, selamatlah kita daripada meraikan hatrik sambutan 1 Syawal di dalam rumah seperti dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Jaminan terbaru itu meredakan hati umat Islam yang khuatir jika kempunan buat kesekalian kalinya untuk berhari raya di kampung halaman apabila melihatkan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat secara mendadak. Sejak beberapa hari lalu, negara kembali semula mencatat lima angka kes jangkitan melangkaui angka 20,000 kes harian.

Ditambah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini menggusarkan banyak pihak, mungkinkah akan berlaku gelombang jangkitan lebih besar selepas itu? Ingatan rakyat masih jelas dek kerana PRN Sabah merupakan antara punca utama menyebabkan umat Islam menempuh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri buat kali kedua di rumah pada tahun lalu.

Selepas lebih dua tahun hidup dalam pandemik, kita tidak lagi perlu terlalu panik apabila adakala angka jangkitan meningkat kembali. Apa yang perlu dilakukan ialah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga diri daripada dijangkiti atau menyebarkan virus tersebut.

Ketika sudah ada beberapa negara yang sudah mengisytiharkan keluar daripada pandemik, bagi saya, Malaysia tidak perlu terburu-buru mengikut mereka bagi mengelak yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Walaupun 1 Syawal masih jauh, saya menjangkakan persiapan kali ini lebih meriah mengenangkan sudah dua tahun memendam rasa tidak dapat meraikan hari lebaran di kampung halaman bersama keluarga dan sanak saudara.

Bagi saya, saranan terkini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah agar orang ramai mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 khususnya umat Islam sebagai satu daripada ikhtiar untuk membendung jangkitan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri wajar dimasukkan dalam senarai to do sebelum Ramadan tiba. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×