MUKADIMAH
KEPUTUSAN Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan penurunan skor dan kedudukan Malaysia berbanding tahun sebelumnya.
CPI 2021 menunjukkan skor Malaysia turun ke-48 markah dari skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih) berbanding 51 markah pada 2020.
Secara tidak langsung, keputusan tersebut melahirkan kebimbangan banyak pihak di samping mencari jalan untuk mengatasinya agar dapat menyumbang kepada keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.
Baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN menemu bual Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), MOHD. HAFAZ NAZAR bagi mengulas lanjut isu berkenaan.
UTUSAN: SPRM berpuas hati dengan keputusan CPI?
MOHD HAFAZ: Bagi keputusan yang diumumkan pada 25 Januari lalu, seperti kenyataan media yang telah dikeluarkan SPRM pada hari sama, SPRM memberi perhatian serius terhadap keputusan skor dan kedudukan tersebut kerana ia menunjukkan penurunan berturut-turut sejak 2019.
Secara umumnya, SPRM menyatakan hasrat dan menyeru semua pihak agar bekerjasama, tidak kira di peringkat penjawat awam dan masyarakat untuk mempunyai pemikiran yang sehaluan dan ditegaskan menerusi iltizam politik bagi terus berusaha menambah baik dan memberi sokongan, tidak kira dalam bentuk apa pun cabaran dan halangan yang mendatang, agar perjuangan suruhanjaya ini dalam memerangi rasuah terus terpelihara.
Adakah rasuah sahaja menjadi skop pengiraan CPI?
Selain rasuah, skop yang termasuk dalam pengiraan CPI adalah persepsi terhadap penyalahgunaan dana kerajaan, kebolehan negara untuk kuatkuasakan mekanisme integriti, komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, perlindungan terhadap pendedah maklumat dan buat pertama kali, CPI kali ini juga mengambil kira keberkesanan hak asasi manusia yang tersedia dalam sebuah negara.
Oleh itu, untuk meningkatkan indeks ini selaras sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu menjadikan negara ini antara 30 negara terbaik di dunia, ia perlukan koordinasi setiap daripada pemegang-pemegang taruh dan bukan mengharapkan agensi seperti SPRM sahaja untuk memperbaiki indeks.
Malah tidak adil jika mengatakan SPRM tidak bersungguh-sungguh ke arah penambahbaikan ini kerana SPRM sentiasa menyokong dan terlibat dalam usaha-usaha dilakukan misalnya dalam tindakan proaktif pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, pembangunan dan penguatkuasaan korporat liabiliti Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Akta 694), khidmat nasihat yang berterusan dalam pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di perkhidmatan awam, memasukkan elemen pencegahan rasuah di sekolah rendah dan pusat pengajian tinggi serta membantu usaha-usaha ke arah pembangunan Akta Pembiayaan Dana Politik, penambaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, meningkatkan lagi ketelusan perolehan kerajaan dan pelbagai lagi tindakan berterusan bersama-sama agensi-agensi terlibat.
Pandangan tuan terhadap Transparency International-Malaysia (TI-M) berkaitan beberapa perkara yang berkemungkinan menjadi penyebab kepada kemerosotan CPI 2021 seperti reformasi institusi yang terbantut?
Dalam perkara di bawah bidang kuasa atau hasil siasatan SPRM, suruhanjaya ini ingin memperjelas dan memperbetulkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh TI-M.
Misalnya, kes-kes profil tinggi pada 2021 melibatkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC tidak diambil kira dalam analisis TI-Malaysia.
Sedangkan kes-kes seumpama ini adalah bukti agensi penguat kuasa seperti SPRM tidak memilih bulu malah mempunyai iltizam untuk menyiasat individu-individu berprofil tinggi. Tidak timbul isu ikan bilis, ikan jerung seperti sering diperkatakan masyarakat.
Malah satu lagi kejayaan besar buat semua pihak apabila SPRM berjaya membawa pulang aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM21 billion setakat 2021. Harus diingatkan, di peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30 peratus.
Namun, SPRM berjaya mencapai sebanyak 45 peratus dalam pemulihan aset atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.
Dalam hal ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa dan dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberi input dalam seminar-seminar dianjurkan Bank Dunia, Persatuan Pakar Anti Pengubahan Wang Haram Bertauliah (ACAMS) dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA).
Dalam pada itu, ada juga dibangkitkan mengenai isu keputusan ‘dilepas tanpa dibebaskan’ oleh mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi. Dalam hal ini, kita harus menghormati keputusan Peguam Negara kerana terpulang kepada beliau untuk menjalankan atau sebaliknya.
Malah sebenarnya, bagi kebanyakan kes sudah diperjelaskan oleh Pejabat Peguam Negara yang mana individu-individu terlibat telah dikenakan kompaun.
Harus difahami kompaun adalah satu tindakan punitif dan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Bagi isu transformasi institusi melibatkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, perkara tersebut adalah peruntukan baharu dan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Usaha telah dimulakan bagi membawa perkara ini untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
TI-M juga menyatakan kes-kes berprofil tinggi yang dikatakan tidak dikemaskini kemajuannya kepada umum hingga menimbul persepsi negatif. Komen?
Kes skandal air Sabah dan siasatan kapal tempur pesisir (LCS) yang dinyatakan masing-masing merupakan perbicaraan dan siasatan yang masih berjalan. Bagi kes LCS, siasatan terkini telah pun disiarkan oleh media melibatkan tangkapan beberapa suspek.
Di sebalik itu, dalam skandal air Sabah, perkara yang tidak diambil kira ialah bagaimana SPRM memperbaiki kelemahan tadbir urus dengan melakukan pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung perolehan sebut harga dan kerja-kerja kecemasan di Jabatan Air Negeri Sabah.
SPRM bukan sahaja badan yang ‘popular’ dengan tangkapan dan sitaan semata-mata. Hakikatnya, SPRM turut membantu mana-mana golongan, syarikat, jabatan mahu pun agensi dalam memberikan penambahbaikan terhadap sistem perolehan serta pendidikan supaya perlakuan rasuah mampu dihentikan dengan kerjasama semua pihak.
Dikatakan juga tiada penutupan terhadap dua kes berimpak tinggi kepada negara iaitu SRC International Sdn. Bhd. (SRC) dan 1MDB turut menjadi punca penurunan CPI kali ini. Benarkah?
Perkara ini merupakan satu fahaman yang tidak tepat kerana proses perbicaraan mahkamah masih berjalan.
Kita juga perlu melihat kepada perkara-perkara lain seperti Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan perbicaraan kes ini ditangguhkan beberapa kali.
Bagi kes SRC, umum mengetahui Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan dan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta RM210 juta denda terhadap bekas Perdana Menteri (Najib). Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sehingga rayuan kedua didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.










