Cabaran besar kerajaan menangani kenaikan inflasi - Utusan Malaysia

Cabaran besar kerajaan menangani kenaikan inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFLASI, secara ringkasnya adalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Di Malaysia antara 1973 sehingga 2021, purata kadar inflasi adalah 3.4 peratus dengan kadar tertinggi pernah dicatatkan pada Mac 1974, iaitu 23.9 peratus. Paling rendah pula adalah -2.9 peratus direkodkan pada April 2020, iaitu sewaktu ekonomi negara mula mengalami hentakan ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Kadar negatif inflasi ini berterusan sehingga Mac 2021 apabila sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat. Untuk keseluruhan 2021, kadar inflasi negara adalah 2.5 peratus.

Sepanjang tempoh negara dilanda pandemik, kadar inflasi paling tinggi direkodkan pada April 2021, iaitu 4.7 peratus. Menurut laporan oleh Jabatan Statistik Malaysia, peningkatan ketara ini dipacu oleh indeks pengangkutan yang mencatat kenaikan 27 peratus, berpunca daripada kenaikan harga petrol dan diesel, disusuri indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

Memasuki 2022 ini, kebanyakan sektor ekonomi sudah beroperasi mengikut kapasiti sebenar. Permintaan yang kembali normal bermakna pengeluar dan pembekal mula berlumba-lumba untuk mendapatkan bahan mentah dan keperluan pengeluaran lain bagi memenuhi tempahan. Ini mewujudkan suasana di mana permintaan melebihi pasaran dan berlaku persaingan sengit untuk mendapatkan bekalan yang terhad, seterusnya menyumbang kepada peningkatan harga.

Bagi pengguna, setiap kali berlaku kenaikan harga sebegini, mereka akan segera mengharapkan campur tangan kerajaan melalui agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Namun, hakikatnya adalah tidak mudah bagi kerajaan untuk campur tangan dalam pasaran serta menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Apatah lagi fenomena kenaikan harga dan inflasi ini juga dialami oleh negara-negara lain.

Sebagai contoh, Singapura mencatatkan kadar inflasi keseluruhan 2.3 peratus untuk 2021 dengan Disember 2021 merekodkan kadar empat peratus, tertinggi dalam tempoh sembilan tahun. Untuk 2021, New Zealand mencatatkan kadar inflasi 5.9 peratus, tertinggi semenjak 1990.

Dilema besar yang dihadapi kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bagaimana cara untuk mengimbangi dua desakan oleh kelompok pemegang taruh yang berlainan ini. Para pelabur seboleh mungkin enggan melihat sebarang campur tangan kerajaan dalam pasaran. Mereka menuntut ekosistem perniagaan yang liberal bagi memastikan pulangan setimpal ke atas pelaburan dibuat.

Rakyat pula mahukan kerajaan masuk campur setiap kali berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Seboleh mungkin, pengguna mahukan harga sama ada kekal atau menjadi lebih murah, satu permintaan yang mustahil untuk direalisasikan.

SEMBERONO

Terdapat dua faktor utama mengapa kerajaan perlu lebih berhemah dalam menangani isu kenaikan harga ini. Pertama, dalam keadaan kedudukan fiskal yang masih terjejas akibat pandemik, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa pengeluar dan pemborong untuk menurunkan harga kerana ini akan membantutkan daya saing sesuatu industri. Ia juga akan memberikan isyarat yang salah kepada pemain industri kerana sebarang campur tangan berlebihan akan menyebabkan pasaran terencat dan menakutkan para pelabur.

Faktor kedua adalah keupayaan kewangan memperuntukkan subsidi secara berterusan demi menstabilkan harga. Ini kerana kedudukan kewangan kerajaan menjadi semakin terhimpit selepas terpaksa membuat beberapa siri suntikan dana untuk membantu rakyat dan sektor ekonomi terus kekal beroperasi sepanjang pandemik melanda.

Perjalanan kerja Perdana Menteri dan pasukan Kabinet campuran beliau menjadi lebih rumit dengan tindakan segelintir pihak yang membakar sentimen rakyat dengan menyokong secara semberono tuntutan yang tidak pragmatik. Contohnya, ada kelompok politik yang menggesa kerajaan memaksa Felda menjual minyak masak di bawah harga pasaran. Alasannya, Felda selaku pengeluar minyak masak utama negara adalah entiti yang dikuasai kerajaan. Sudah tentulah tidak bijak untuk kerajaan mengganggu urusan komersial sedemikian.

Tuntutan sebegini juga memberi gambaran seolah-olah kerajaan berpeluk tubuh dan tidak membantu mengurangkan bebanan rakyat. Sedangkan hakikatnya dianggarkan untuk 2021 sahaja, jumlah subsidi minyak masak, petrol dan diesel oleh kerajaan mencecah RM8 bilion, meningkat RM4.22 bilion berbanding peruntukan asal. Ini termasuklah 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi setiap bulan, disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Namun, sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga serta golongan berpendapatan tinggi yang turut membeli minyak bersubsidi menyebabkan bekalan tidak mencukupi. Sebagai perbandingan, harga minyak sawit mentah tempatan pada April 2020 adalah RM2,074. Harga pada Disember 2021 pula RM5,070, iaitu kenaikan hampir 245 peratus. Bayangkan bebanan kenaikan harga yang ditanggung oleh rakyat sekiranya tiada skim minyak masak bersubsidi?

Ketirisan sepertimana yang berlaku pada minyak masak bersubsidi, membantutkan pencapaian matlamat inisiatif-inisiatif pengurangan kos sara hidup rakyat. Ketirisan lebih kritikal berlaku dalam kes subsidi petrol di mana menurut Bank Negara Malaysia, golongan 20 peratus termiskin (B20) hanya menikmati empat peratus daripada jumlah subsidi. Selebihnya subsidi petrol dimanfaatkan oleh isi rumah berpendapatan tinggi yang memiliki kenderaan-kenderaan berkapasiti besar yang lebih banyak.

Kita percaya atas semangat Keluarga Malaysia, kerajaan akan terus mencari formula paling berkesan untuk menangani isu inflasi ini supaya kebajikan semua golongan rakyat terbela. Cuma apa yang amat diperlukan adalah agar semua pihak mempertahan dan memperkuatkan kestabilan negara ketika ini, agar segala inisiatif tidak terhenti oleh desakan dan tekanan politik sempit.

PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×