Anggapan tidak bersalah: Sampai bila? - Utusan Malaysia

Anggapan tidak bersalah: Sampai bila?

PINDAAN Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu, saya ditanya oleh wartawan, sampai bilakah seseorang itu dilindungi oleh prinsip undang-undang yang dipanggil ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence)?

Di bawah prinsip ini, seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dia telah dibicarakan dalam satu perbicaraan terbuka, dan di akhir prosiding itu hakim bicara mendapatinya bersalah melampaui keraguan munasabah. Selepas hakim bicara mensabitkan kesalahannya itu, peguamnya dan pendakwa raya biasanya membuat hujahan kepada hakim tentang hukuman. Setelah mendengar hujahan tersebut, baharulah hakim bicara menjatuhkan hukuman ke atas pesalah tersebut.

Wartawan bertanya, apakah anggapan tidak bersalah itu berakhir dengan sabitannya oleh hakim bicara, atau ia terus melindunginya sehinggalah pesalah itu menghabiskan semua peluang rayuannya ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi diperuntukkan oleh undang-undang negara ini?

Saya katakan kepada wartawan itu, di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seorang tertuduh yang disabitkan kesalahannya oleh hakim bicara ada peluang membuat rayuan sebanyak dua kali. Sekiranya kesnya itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen, dia boleh merayu ke Mahkamah Tinggi dan kemudian ke Mahkamah Rayuan.

Sekiranya kesnya itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi setelah dia disabitkan, dia boleh merayu ke Mahkamah Rayuan dan kemudian ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan pusingan pertama diberi secara automatik oleh mahkamah, tetapi rayuan pusingan kedua bergantung kepada izin (leave) yang perlu diperoleh daripada mahkamah tertertinggi.

Sebagai misalan, sekiranya tertuduh itu disabitkan dengan kesalahan rasuah di Mahkamah Tinggi, dia boleh merayu ke Mahkamah Rayuan tanpa apa-apa masalah.

Sekiranya rayuan pusingan pertama itu berakhir dengan kegagalan, dia masih boleh merayu sekali lagi ke Mahkamah Persekutuan, tetapi dengan syarat Mahkamah Persekutuan memberinya izin untuk berbuat demikian.

Mengenai soalan sama ada perlindungan anggapan tidak bersalah ini berakhir dengan perbicaraan dan sabitan oleh hakim bicara atau berterusan selama mana proses rayuan belum berakhir, mahkamah kita telah memutuskan dalam kes Balasingham lwn. Pendakwa Raya (1959) 1 MLJ 193, bahawa proses rayuan itu adalah lanjutan kepada proses perbicaraan.

Dalam kes terbaru, Bird Dominic Jude lwn. Pendakwa Raya (2014) 3 MLJ 745, Mahkamah Persekutuan menyatakan apabila proses rayuan masih belum selesai, prosiding jenayah terhadap perayu (pesalah yang telah disabitkan) masih lagi berjalan.

Berpandukan kes-kes di atas, bolehlah kita simpulkan bahawa anggapan tidak bersalah itu berterusan selagi satu proses rayuan ke mahkamah paling tinggi belum berakhir.

Menarik sekali, pada September 2021, Mahkamah Agung India menyatakan pendirian yang berbeza. Mengikut mahkamah itu, apabila seorang tertuduh telah disabitkan oleh satu mahkamah bicara, anggapan tidak bersalah itu sudah berakhir dan tidak boleh dipakai lagi.

UTTAR PRADESH

Kata mahkamah itu, seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita di negara itu, “once the accused has been convicted by the learned trial court, there shall not be any presumption of innocence thereafter.”

Mahkamah Agung India membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan oleh seorang wanita dari Uttar Pradesh bernama Shakuntala Shukla yang mencabar dan mempertikai bail (bebas dengan jaminan) yang diberi oleh Mahkamah Tinggi Allahabad kepada empat lelaki yang telah pun disabitkan kesalahan mereka membunuh suami wanita tersebut.

Mahkamah Agung kemudian mengetepikan bail yang diberi oleh Mahkamah Tinggi itu dan memerintahkan semua keempat-empat pesalah menyerah diri kepada mahkamah supaya boleh terus ditahan di penjara sementara rayuan mereka didengar.

Dalam makalahnya bertajuk Presumption of Innocence: Should it Apply During the Appeal Process?, tokoh akademik, Dr. Mohd. Munzil Muhamad mengakui bahawa mengikut ‘pendapat umum’, anggapan tidak bersalah ini kekal semasa proses perbicaraan masih berjalan, tetapi sebaik sahaja perbicaraan berakhir dan tertuduh telah disabitkan, anggapan ini tidak wujud lagi. Bagaimanapun, beliau mengakui mengikut pendapat terkini, anggapan tidak bersalah ini berterusan selagi proses rayuan belum berakhir.

Kita perhatikan apa yang berlaku setelah tertuduh disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman di penghujung satu proses perbicaraan. Sabitannya direkodkan oleh hakim, begitu juga hukumannya (misalnya sekian banyak denda, sekian tahun penjara dan sebagainya).

Apabila peguam ‘pesalah’ (convicted person) memberi notis untuk membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi (misalnya Mahkamah Rayuan), peguam akan juga memohon hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan. Katakanlah permohonan penangguhan hukuman itu diluluskan, ini bermakna perayu tidak perlu dimasukkan ke penjara sekarang dan kekal bebas dengan jaminan.

Katakanlah perayu gagal di Mahkamah Rayuan dan memohon membuat rayuan sekali lagi ke Mahkamah Persekutuan, pada kali ini juga katakanlah peguam pesalah mohon hukuman penjara anak guamnya itu ditangguhkan lagi dan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Mengikut senario di atas, pesalah telah disabitkan kesalahannya di Mahkamah Tinggi dan sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Disebabkan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan belum berakhir, pesalah masih lagi bebas dengan jaminan kerana setiap peringkat mahkamah telah setuju menggantung penguatkuasaan hukuman penjara itu.

Hukuman penjara kekal digantung tetapi sabitan pesalah kekal dalam rekod mahkamah bicara, selagi sabitan itu belum (diketepikan) oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Dalam situasi begitu, layakkah pesalah terus menikmati anggapan tidak bersalah? Nampaknya Mahkamah Agung India telah membuat keputusan yang lebih bijaksana.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×