Zhemchug karam di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Zhemchug karam di Pulau Pinang

KAPAL Zhemchug yang sedang berlabuh di perairan Pulau Pinang pada 1914 musnah dibedil torpedo kapal Jerman. – INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA hubungan Malaysia dan Rusia telah bermula sejak beberapa abad dahulu lagi. Disebabkan kekurangan maklumat dan pengkajian secara terperinci daripada pengkaji kedua-dua negara, maka tidak banyak maklumat yang kita peroleh.

Saya ingin mengupas sedikit sejarah penting berkaitan Rusia di Pulau Pinang. Perkongsian ini mungkin menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan pembaca. Mungkin juga membuatkan anda tertarik untuk mengkaji dengan lebih terperinci lagi.

Seperti kita maklum, Perang Dunia Pertama bermula pada 28 Julai 1914. Perang antara kuasa besar dunia yang tercetus itu berlangsung antara dua blok kuasa dunia, iaitu Perikatan Bersekutu yang terdiri daripada Perancis, Inggeris, Rusia, Belgium menentang Kuasa Tengah dipelopori Jerman, Austria-Hungary, Empayar Uthmaniyah dan Bulgaria.

Namun, di sebalik peperangan dan pelbagai operasi sulit yang dilancarkan bagi menghapuskan musuh masing-masing, terdapat satu operasi yang dijalankan oleh kapal British bernama HRM Yarmouth.

Operasi khas ini bertujuan menjejaki kapal perang Jerman dikenali sebagai SMS Emden, nama yang diambil sempena kota Emden.

Kapal yang dilengkapi torpedo ini sering membelah badai di tengah samudera untuk menghancurkan musuh-musuh Jerman dan bergerak aktif sewaktu perang dunia pertama.

Pada awalnya, SMS Emden dikatakan berada di perairan Arab, namun malangnya sangkaan Inggeris meleset.

Pada pukul 4.30 pagi, 28 Oktober 1914, kapal Jerman yang diketuai oleh Kepten Karl Von Mueller cuba masuk menyelinap ke perairan Pulau Pinang dengan melakukan penyamaran sebagai kapal Inggeris, HRM Yarmouth.

Setelah berjaya menyusup masuk ke perairan Pulau Mutiara itu, tanpa berlengah SMS Emden kemudiannya melancarkan serangan ke atas kapal perang Rusia, Zhemchug yang waktu itu sedang berlabuh.

Serangan tanpa diduga ternyata sangat mengejutkan pihak Rusia dan sekutunya kerana mereka sama sekali tidak bersedia apatah lagi menjangkakan serangan.

WARGANEGARA Rusia yang berada di Malaysia sering menziarahi perkuburan anak-anak kapal Zhemchug yang disemadikan di Georgetown, Pulau Pinang. – TWITTER KEDUTAAN RUSIA

TORPEDO

Hentaman padu torpedo SMS Emden itu menyebabkan kapal Zhemchug yang dilancarkan pada 1901 di Petrograd musnah dan mengakibatkan 88 anak kapal maut manakala 121 tercedera.

Tragedi malang itu tidak berhenti di situ ketika kapal Perancis, Mousquet yang baru tiba dari rondaan segera cuba mengejar SMS Emden.

Malang tidak berbau, kapal pemusnah Mousquet turut menjadi mangsa amukan SMS Emden yang mengorbankan 47 anak kapal serta 36 anak kapal lainnya tercedera.

Nelayan-nelayan tempatan kita yang menyaksikan peristiwa berdarah itu segera meluncurkan bot-bot kecil mereka untuk membantu anak-anak kapal yang terselamat. Peristiwa itu dikenali sebagai Pertempuran Pulau Pinang.

Sehingga kini, seramai 12 pelaut Rusia disemadikan di Pulau Pinang sementara dua lagi mayat yang baharu ditemukan selepas beberapa hari kejadian dikebumikan di Pulau Jerejak.

Segala bantuan dan sokongan tidak berbelah bagi oleh penduduk tempatan menyelamatkan saki baki tentera mereka yang terselamat sangatlah dihargai oleh pihak Rusia.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut peristiwa ini, saya saran dapatkan sebuah buku tulisan J.R. Robertson berjudul The Battle of Penang.

29Penulis buku ini menceritakan secara terperinci tentang bagaimana peristiwa tersebut berlaku dengan dilampirkan bahan-bahan bukti menarik.

Sekalipun begitu, pengkajian yang lebih mendalam masih perlu dijalankan menerusi pelbagai sumber berbeza.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pernah menyebut tentang peristiwa Zhemchug ini sewaktu lawatannya ke Malaysia pada 2003 sementara warga Rusia yang berada di Malaysia pula akan menziarahi dan memberi penghormatan kepada wira-wira mereka yang terbunuh ini di Pulau Pinang.

Kunjungan setiap tahun turut disertai oleh pemimpin agama Gereja Ortodoks Rusia bagi menjalankan upacara keagamaan kepada mangsa-mangsa Zhemchug.

Di sana, anda dapat perhatikan sebuah tugu peringatan Zhemchug yang dibina dan diletakkan di tanah perkuburan orang-orang Kristian di Jalan Barat, Georgetown.

Tugu peringatan yang berupa sauh kapal itu mempunyai sebuah plak mencatatkan nama-nama pelaut Rusia yang terbunuh.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×