Adakah rakyat Malaysia antiteknologi apabila mereka merungut dan tidak gembira dengan pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol lebuh raya?
Rasanya daripada maklum balas yang diterima mereka tidak menentang. Apa yang mereka mahukan adalah supaya teknologi yang diperkenalkan itu memudahkan mereka bukan menyusahkan.
Rakyat merungut kerana dalam keadaan ekonomi yang sukar sekarang ekoran Covid-19 yang berterusan mengancam hingga merubah kehidupan, kemudiannya pula banjir memerlukan setiap perbelanjaan diperincikan.
Apabila PLUS secara mengejut menutup semua lorong smart tag (mereka juga yang perkenalkan sebelum ini) untuk melaksanakan RFID rakyat yang terpaksa menanggung rugi. Pertama, hendak dibuat apa dengan peranti smart tag yang berharga lebih RM100 itu apabila ia tidak dapat digunakan? Yang kedua dalam kad Touch & Go tentu masih ada baki.
Selepas itu mereka perlu berbelanja lagi sebanyak RM35 untuk mendapatkan pelekat RFID dan kena top up pula untuk memastikan baki mencukupi supaya tidak tersangkut di plaza tol.
Untuk top up pula hanya boleh guna e-dompet Touch & Go. Transaksi guna e-dompet lain tidak dibenarkan. Sepatutnya dalam zaman penggunaan teknologi serba pintar ini biarlah semua platform e-dompet ini boleh digunakan untuk top up apa sahaja termasuk RFID atau benarkan potongan ke RFID secara automatik melalui kad kredit atau debit. Rasanya cara begini lebih memudahkan rakyat.
Bagi mereka yang sudah ada e-dompet jenama lain, terpaksa pula muat turun aplikasi Touch & Go dan masukkan duit ke situ pula. Sedangkan duit mereka sudah pun ada dalam e-dompet yang sebelum ini yang mana kewujudan segala macam e-dompet ini dibenar dan diiktiraf oleh kerajaan. Tetapi kenapa apabila untuk top up ke RFID ini hanya boleh melalui e-dompet Touch & Go? Kenapa e-dompet lain tidak laku? Adakah langkah ini bertujuan membenarkan monopoli supaya keuntungan ke sebelah pihak sahaja?
Sedangkan apabila duit sudah ditop up ke RFID, tidak kiralah guna platform e-dompet yang mana sekali pun atau tolak terus melalui kad kredit, kad debit atau perbankan online, akhirnya ia masuk ke poket PLUS juga.
Untuk memudahkan rakyat, PLUS sepatutnya memperbanyakkan saluran untuk top up RFID tidak perlu monopoli melalui Touch & Go sahaja. Sebab akhirnya semua duit itu masuk ke akaun PLUS.
PLUS sendiri nampak seperti tidak bersedia apabila mereka membuat keputusan menutup semua lorong smart tag. Buktinya ramai yang sangkut di lorong RFID. Sistem tidak lancar dan yang menanggung masalah bukan orang PLUS tetapi rakyat biasa yang mahu ke tempat kerja. Terpaksa bertarung dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya. Syarikat mereka bekerja pula menanggung rugi kerana produktiviti merosot pada hari berkenaan.
Selepas segala riuh-rendah dan hiruk pikuk ini, PLUS tiba-tiba ‘menghidupkan’ semula lorong smart tag. Tindakan flip flop yang menyebabkan rakyat marhaen sakit hati.
Ini adalah antara drama yang terpaksa dilalui oleh rakyat negara selepas melalui kesengsaraan pada Disember lalu ekoran banjir besar yang mengorbankan hampir 50 nyawa dan kerugian lebih RM6 bilion.
Yang menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan sebelum bencana itu berlaku jabatan kaji cuaca yang sekarang dikenali sebagai Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca yang cukup penting yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan pada Disember lalu.
Dan Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa amaran cuaca itu tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana.
Apa yang rakyat ingin tahu siapakah sesetengah pihak yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri itu? Apakah tindakan akan diambil terhadap ketua-ketua sesetengah pihak itu supaya menjadi pengajaran kepada sesetengah pihak yang lain agar tidak mengambil mudah apa juga amaran yang dikeluarkan? Atau sekadar biduk berlalu kiambang kembali bertaut?
Kerana kelekaan tidak mengendahkan enam amaran yang dikeluarkan itu hampir seluruh daerah di Selangor tenggelam. Beberapa kawasan di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut terbabit.
Dan mengikut tafsiran yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamad, kerugian yang ditanggung akibat banjir itu boleh mencecahkan RM6.5 bilion.
Itu belum diambil kira pelbagai bantuan yang terpaksa disalurkan oleh kerajaan untuk membantu meringankan beban mangsa yang turut mencecah angka berbilion ringgit.
Agak malang apabila bencana seperti ini tetap tidak dapat dihindarkan walaupun negara kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantaunya. Malah pada Oktober tahun lalu kerajaan telah melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Negara dengan mempamerkan pelbagai kelengkapan canggih dan kemahiran yang menakjubkan.
Tetapi dua bulan selepas itu, apabila bencana sebenar melanda, segala-gala yang dipamerkan dan dipertontonkan itu tidak berfungsi. Sana sini rakyat menjerit minta tolong. Seperti biasa, pelbagai alasan diberikan untuk menjustifikasikan kenapa bantuan lambat digerakkan termasuk menyalahkan mangsa yang enggan berpindah.
Persoalannya apa jadi dengan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan berkaitan bencana? Apa jadi dengan aset-aset yang dipamerkan ketika pelancaran program? Adakah segala agensi dan aset-aset ini hanya sekadar kosmetik?
Kerana sikap tidak endah kepada amaran yang dikeluarkan, ambil mudah, suka memberi alasan akhirnya rakyat menanggung penderitaan dan negara menanggung kerugian.
Jika enam amaran yang dikeluarkan itu diberikan perhatian dan semua pihak ambil serius mungkin kemusnahan besar seperti yang berlaku pada Disember lalu dapat dikurangkan.
Fenomena alam memang tidak dapat dihalang, tetapi jika ada persediaan untuk menghadapinya berdasarkan kepada amaran yang dikeluarkan kerugian dapat diminimumkan dan mungkin kehilangannya nyawa dapat dielakkan.
Tetapi inilah Malaysia. Sudah terantuk baru hendak tengadah. Negara kita bukan tidak pernah berhadapan dengan bencana besar sebelum ini. Sepatutnya pihak-pihak yang bertanggungjawab, yang ada kepakaran sentiasa dalam keadaan bersedia. Lebih-lebih lagi amaran memang sudah ada. Bukan sekali, tetapi enam kali seperti yang diberitahu oleh Perdana Menteri di Parlimen.
Kerana kegagalan sesetengah pihak untuk respons kepada amaran ini akhirnya rakyat yang tenggelam.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










