SUHU politik negara semakin hangat berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Saya kira hal ini tidaklah memeranjatkan.
Kita semua sudah sedia maklum tentang pergolakan politik di Johor, termasuk pergeseran antara parti-parti yang membentuk gabungan kerajaan negeri.
Kini pemerhati politik bertumpu kepada Johor. Begitu juga dengan saya sebagai anak muda yang menyahut seruan kerajaan supaya celik politik.
Menarik juga apabila membaca pelbagai kenyataan oleh para pemimpin politik berkenaan hal ini. Ada yang bersetuju pilihan raya negeri (PRN) diadakan dan terdapat juga yang membantah.
Sudah sekian lama kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan retak menanti rebah. Kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian menyebabkan keadaan semakin genting.
Dengan majoriti hanya satu kerusi, kerajaan negeri terpaksa memerintah dalam keadaan ibarat telur di hujung tanduk.
Mereka terpaksa mengharapkan ihsan daripada parti pembangkang dalam membuat dan melaksanakan setiap dasar serta keputusan.
Ini bukanlah suatu keadaan yang kondusif untuk mentadbir negeri. Setiap kerajaan memerlukan mandat yang kuat untuk berfungsi dengan cemerlang demi membela nasib rakyat.
TERUJA
Sebagai generasi Undi18, saya teruja kerana pengundi berumur 18 tahun layak mengundi pada PRN Johor. Ini adalah sejarah penting dalam perjalanan pilihan raya negara kita.
Penglibatan anak muda seawal umur 18 tahun akan membuka satu dimensi baharu dalam arena politik.
Persoalannya, adakah generasi kami mampu membuat pilihan yang matang? Adakah anak muda hanya berminat untuk mengundi calon muda?
Adakah tahap sokongan mereka kepada parti orang muda? Berapa peratus daripada mereka ini akan keluar mengundi?
Undian mereka akan menjadi kayu ukur bagi parti-parti politik dalam menilai trend selera politik anak muda.
Hal ini amat penting bagi mereka dalam merangka strategi masing-masing bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Kini mandat akan diserahkan kepada pengundi. Sudah tentu janji-janji manis akan kembali ditabur, termasuk yang bersifat retorik menjelang PRN nanti.
Semoga Bangsa Johor akan membuat pilihan yang tepat dan bijak memilih antara kaca dan permata. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











