PEMERKASAAN wanita dalam sektor pekerjaan awam dan swasta nyata perlu diperhebatkan kerana ia mampu membaik pulih pembangunan sosial serta produktiviti ekonomi negara pascapandemik Covid-19. Kajian mendapati peratusan wanita yang berhenti kerja akibat Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding lelaki walaupun mereka hanya menyumbang sekitar 39 peratus daripada jumlah pekerja di negara ini.
Ramai golongan wanita yang terjejas sumber pendapatan terpaksa mencari pelbagai cara dan usaha alternatif bagi menanggung beban kewangan kendiri di samping tanggungjawab menyara keperluan asas untuk ahli keluarga. Bagai pelangi yang muncul selepas hujan, komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan ekonomi wanita terus terpelihara dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif baharu agar golongan itu kembali bekerja lalu meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga buruh.
Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, tahun lalu memfokuskan kepada bantuan berkala.
Antaranya buat usahawan wanita sebagai langkah meningkatkan kemampuan mereka berniaga.
Peruntukan berjumlah RM241.25 juta yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan bagi memperkasa wanita dari sudut keusahawanan membuktikan dedikasi kerajaan dalam mengiktiraf peranan besar wanita sebagai tunjang institusi keluarga dan asas pembangunan negara. Malah kaedah penjanaan pendapatan yang lebih kukuh melalui pelaksanaan Inisiatif Wanita Bangkit oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijangka mampu meningkatkan taraf ekonomi wanita dan membantu mereka mencari peluang pekerjaan sekali gus membina semula kehidupan.
Wanita lebih berpeluang menjalankan perniagaan pemilikan tunggal atau menjadi ejen pengedar secara dalam talian dengan meraih keuntungan berlipat ganda. Selain itu, insentif penggajian JaminKerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak 30 peratus bagi enam bulan pertama dan 40 peratus daripada gaji pekerja bagi enam bulan terakhir akan memberi manfaat kepada wanita serta majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja selama setahun, suri rumah dan ibu tunggal.
Ditambah pembentangan rang undang-undang untuk meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) seperti diumumkan di Parlimen beberapa bulan lalu menampakkan iltizam kerajaan dalam usaha memelihara hak wanita bekerja. Antara pembaharuan yang disambut baik ialah pemanjangan tempoh cuti bersalin kakitangan swasta selama 90 hari selain para suami boleh memohon untuk tiga hari cuti paterniti tanpa sebarang pemotongan gaji.
Pekerja wanita khususnya dapat menghela nafas lega kerana dasar ini bakal dilaksanakan pada bulan ini bersama-sama rombakan semula Akta 265 yang turut mempertimbangkan aspek antidiskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja. Salah satu pindaan kepada Akta 265 tersebut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Buruh untuk menyiasat sebarang pertikaian mengenai diskriminasi antara majikan dan pekerja.
GANGGUAN SEKSUAL
Pindaan lain pula memperuntukkan peningkatan kadar denda kepada majikan yang berdiam diri dan tidak menyiasat aduan gangguan seksual oleh ahli organisasi mereka, selain memastikan majikan menyiarkan notis di premis pekerjaan bagi mempromosikan kesedaran mengenai gangguan seksual. Bukan itu sahaja, pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (RUU AGS) di Dewan Rakyat pada Disember lalu memperlihatkan pendefinisian semula gangguan seksual yang lebih menyakinkan kerana ia merangkumi ‘apa-apa bentuk’ kelakuan tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal termasuk secara dalam talian.
RUU AGS juga membenarkan penubuhan tribunal yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan aduan gangguan seksual yang dibuat oleh seseorang secara tertutup. Beban pembuktian untuk menentukan aduan gangguan seksual pula adalah berdasarkan imbangan kebarangkalian yang jauh lebih ringan daripada kaedah pembuktian melampaui keraguan munasabah seperti dalam kes jenayah.
Pengadu wanita sudah mampu untuk mendapatkan pernyataan permohonan maaf secara umum atau langsung daripada si responden atau penyerang seksual, atau meminta responden membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 mengikut perintah yang dikeluarkan oleh tribunal di bawah Seksyen 20 RUU AGS.
Sebarang ketidakpatuhan kepada arahan atau award tribunal ini dianggap sebagai suatu jenayah memandangkan pihak berkuasa serius dalam menangani jenayah jijik tersebut.
Adapun begitu, saya merasakan masih perlu penambahbaikan dari sudut penggubalan peruntukan yang lebih melindungi wanita seperti pemberian tempoh cuti materniti dan paterniti setanding standard yang dibekalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan ketegasan kerajaan untuk mewajibkan semua majikan mencipta polisi dalaman serta persekitaran selamat berdasarkan piawaian dan penilaian ketat oleh badan awam.
Justeru, waima apa jenis cabaran atau halangan sekalipun, saya yakin dan berharap 2022 bakal menyaksikan hak pekerja wanita di bumi bertuah ini menjadi semakin tegap, kukuh, kemas dan rapi seiring arus pemodenan zaman yang tidak bertepi. Sesungguhnya, masa hadapan negara banyak bergantung pada kaum Hawa kerana baik wanita maka baiklah negara, rosak wanita rosaklah negara.
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Media Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq); aktivis hak asasi manusia; dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).










