Pejuang curi peluang konflik UMNO, PKR - Utusan Malaysia

Pejuang curi peluang konflik UMNO, PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERBANDING beberapa negeri lain, situasi politik di Negeri Sembilan dilihat lebih terarah kepada dua gabungan parti utama.

Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui pentadbiran kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO sebagai pembangkang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi PH dan BN manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak memenangi sebarang kerusi.

PRU15 akan datang dijangka situasi lebih menarik dengan kehadiran Perikatan Nasional (PN) ditambah sebuah parti baharu, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA baru-baru ini menemu bual Ketua Majlis Pimpinan Negeri, Pejuang Negeri Sembilan, MOHAMAD JANI ISMAIL di Pedas, Rembau bagi mengetahui persediaan parti itu menghadapi PRU15 nanti.

UTUSAN: Selepas Pejuang diluluskan pendaftarannya sebagai sebuah parti politik baharu pada Julai tahun lalu, bagaimana perkembangannya di Negeri Sembilan?
MOHAMAD JANI: Apabila Pejuang diluluskan, di negeri-negeri juga ia ditubuhkan. Alhamdulillah, dengan persetujuan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pengerusi) dan ahli-ahli Pejuang di Negeri Sembilan, semua bersetuju melantik saya sebagai Ketua Majlis Pimpinan Negeri.

Sehingga kini, Pejuang mempunyai struktur kepemimpinannya di peringkat negeri dengan kira-kira 1,024 ahli selain lebih 400 pusat daerah mengundi (PDM).

Kami tumpu kepada penubuhan PDM berbanding cawangan ketika ini kerana misi adalah untuk menghadapi pilihan raya. Bagi mengatakan menyeluruh, itu mustahil kerana kami parti baharu tetapi kami meletakkan orang-orang kami di setiap PDM dan sedang bekerja untuk mengukuhkannya.

Adakah tumpuan Pejuang di Negeri Sembilan ketika ini untuk menghadapi PRU15?
Sama seperti di peringkat Pusat, tumpuan kami adalah untuk menghadapi PRU15. Pejuang mahu memberitahu rakyat bahawa mandat mereka mesti dipulangkan. Rakyat perlu memilih kembali dan memberi mandat tersebut kepada (pihak) sebenarnya bagi mentadbir negara.

Saya yakin apabila mandat rakyat dikhianati sebelum ini, ramai kecewa. Pejuang akan bergerak, walaupun kami payah dan perit bergerak dalam keupayaan sendiri tetapi akan turun kepada rakyat dan memberitahu mandat rakyat mesti dikembalikan.

Sasaran Pejuang Negeri Sembilan pada PRU15?
Pejuang serius untuk membentuk dan mengetuai kerajaan. Sebab itu Pejuang memutuskan untuk bertanding 120 kerusi Parlimen di Semenanjung. Kalau bertanding 40 atau 60 kerusi, bila kita boleh jadi kerajaan?

Kami akan bertanding di enam Parlimen di Negeri Sembilan iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Kuala Pilah, Jelebu dan Port Dickson. Kami tidak bertanding di Seremban dan Rasah, itu perancangan sekarang.

Bagaimana pula kerusi DUN?
Di Negeri Sembilan, saya lihat pergolakan dan percakaran politik dalam UMNO dan PKR, ini satu peluang terbaik buat Pejuang. Saya sudah maklumkan kepada Pusat bahawa Pejuang Negeri Sembilan akan bertanding 25 daripada 36 kerusi DUN.

Ini juga sebagai memberitahu bahawa Pejuang serius dan bersungguh-sungguh untuk membentuk sebuah kerajaan di Negeri Sembilan.

Sekiranya perlu bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan termasuk dengan UMNO, adakah Pejuang bersedia?
Itu cerita kemudian. Soal bergabung dengan siapa, itu cerita di peringkat pucuk pimpinan, bukan di negeri.

Calon-calon sudah dikenal pasti?
Ya, calon telah dikenal pasti di kerusi Parlimen dan DUN, namun ia masih terbuka. Bagi saya, lebih penting calon ini mesti datang daripada cadangan rakyat tempatan dan bukan calon yang ditunjuk oleh Pusat.

Kalau rakyat tempatan mencadangkan orang tersebut menjadi calon maka mereka akan gembira dan bekerja sekuat hati untuk memenangkan calon. Ia mesti datang daripada akar umbi.

PRU15 dijangka menyaksikan persaingan beberapa penjuru ditambah kehadiran parti baharu termasuk Pejuang. Komen?
Musuh kami pada pilihan raya nanti adalah UMNO, ini terus terang saya katakan. Apabila Pejuang membentuk satu parti baharu, kami tidak mahu diikat oleh PH dan PN.

Saya lihat UMNO sebagai halangan yang ketat dan tentangan kami yang besar, pesaing utama. Sebab UMNO menguasai kerusi-kerusi di luar bandar dan Felda. Tumpuan kami, pergi ke luar bandar, sentiasa mendekati rakyat.

Bagaimana pula saingan daripada PN khususnya Bersatu di Negeri Sembilan?
Saya tidak mahu perkecilkan parti lain, tapi saya lihat Bersatu, rakyat amat kecewa dengan parti itu. Saya yakin banyak cawangan Bersatu telah bubar, banyak pemimpin Bersatu telah berpindah ke parti lain. Saya nampak mereka bukanlah satu ancaman sehebat UMNO.

Sebagai sebuah parti baharu, apa langkah diambil Pejuang di Negeri Sembilan untuk cuba mendekati pengundi?
Pejuang terus menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan. Apabila musibah banjir berlaku, Dr. Mahathir telah keluarkan arahan supaya kami turun membantu semua yang hadapi masalah tidak kira parti.

Sejak hari pertama Negeri Sembilan dilanda banjir sehingga hari ini, misi bantuan masih diteruskan. Banjir yang melanda baru-baru ini juga memberi ruang kepada Pejuang untuk mendekati rakyat.

PRU15 akan menyaksikan lebih ramai pengundi baharu dan muda mengundi buat kali pertama. Apa persediaan Pejuang?
Di peringkat Pusat dan negeri, kami ada Pejuang Muda, Pejuanita Muda dan Pejuanita. Mereka inilah pasukan yang pergi untuk bertemu dan mendekati rakyat termasuk pengundi muda.

Pengundi muda saya lihat mereka boleh buat keputusan sebaiknya dan mereka juga memikirkan masa depan yang masih panjang dan pasti mahu hidup dalam sebuah negara stabil.

Fokus Pejuang adalah untuk memberikan kesedaran kepada rakyat dan bersama-sama kami untuk betulkan negara ini dengan memberi mandat kepada pemenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×