Nenek ada di belakang ayah - Utusan Malaysia

Nenek ada di belakang ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI ada satu cerita yang disampaikan oleh seorang sahabat kira-kira lima tahun lalu. Satu kisah seram yang berlaku pada sebuah keluarga yang tinggal di pantai Barat Semenanjung. Nama keluarga dan lokasinya saya rahsiakan demi untuk menjaga aib mereka. Begini kisahnya…
Sejak neneknya meninggal dunia, Siti menjadi pendiam. Adakalanya dia murung dan termenung kerana tiada lagi orang yang menemaninya bersembang dan bermain. Maklumlah dari lahir sehingga usianya menjangkau empat tahun neneklah tempat dia bermanja kerana ayah dan ibunya sibuk bekerja.
Walaupun dia masih belum mengerti apa-apa tentang kematian, namun dia tahu neneknya tidak akan kembali. Seringkali dia bertanyakan kepada ibu dan ayahnya adakah satu hari nanti dia berpeluang berjumpa dengan neneknya lagi.
“Mama, mama…nanti kalau kita semua masuk syurga boleh ke jumpa nenek?” Antara soalan yang sering keluar dari mulut Siti. Ibunya sekadar tersenyum dan mengangguk. Dia faham kesedihan anak bongsunya itu.
“Siti kena selalu solat dan doa banyak-banyak untuk nenek. Nanti mesti kita dapat jumpa dia,” kata ibunya memberi semangat.
Siti hanya tersenyum. Walaupun sukar untuk dia faham namun ibunya percaya anaknya itu mengerti dengan apa yang disampaikan. Dia juga selalu berdoa agar Siti kembali ceria seperti dahulu.
“Err… tapi kalau nenek sudah tidak ada, boleh ke jika sesekali dia datang jumpa Siti?” tanya anaknya lagi.
Ibunya hanya mengangguk. Puas dia cuba mencari jawapan untuk meyakinkan anaknya itu.
“Mestilah boleh. Nanti sesekali mesti nenek akan datang lawat Siti,” kata ibunya penuh yakin.
Sejak kematian neneknya, saban hari Siti bertanya kepada kedua ibu bapanya. Pada mulanya mereka anggap itu perkara normal, fikir mereka pasti lama kelamaan Siti akan lupa tetapi sangkaan mereka meleset. Keadaan Siti tetap sama begitu bahkan semakin parah kerana dia sering murung dan tidak berselera menjamah makanan.
Guru sekolah taska tempat Siti belajar sedar perubahan muridnya itu. Gurunya menelefon ibu Siti dan memaklumkan perkara sebenar. Kata gurunya selain suka memencilkan diri, prestasi pelajarannya juga agak merosot. Dia sudah tidak bercakap seperti dahulu.
Ibunya lantas memberitahu perkara sebenar. Kata ibunya sejak neneknya meninggal dunia memang banyak berlaku perubahan kepada Siti. Dia tidak menafikan Siti memang cukup manja dengan arwah neneknya.
“Puan perlu lakukan sesuatu. Saya kasihan lihat dia. Sekarang ini dia tidak mahu bergaul dengan kawan-kawan lain sehinggakan waktu belajar pun dia sering mengelamun. Dahulu dia tidak begini, malah cukup aktif,” kata gurunya memberi penjelasan.
“Mungkin puan dan suami boleh buat sesuatu, saya kasihan melihatnya,” kata gurunya sebelum menamatkan perbualan.
Setiap kata-kata dari guru anaknya itu terngiang-ngiang di fikirannya. Memang dia perlu lakukan sesuatu. Dia harus berbincang dengan suaminya tentang apa yang perlu dilakukan untuk melihat Siti ceria semula.
“Abang saya rasa apa kata kalau kita bawa Siti pergi berubat dengan mana-mana ustaz ke bomoh ke sebab makin lama makin risau pula saya tengok dia,” kata ibu Siti kepada suaminya.
Tanpa bantahan suaminya terus bersetuju. Dalam hati dia juga ingin melihat anak bongsunya itu kembali ceria seperti dahulu. Mereka akhirnya sepakat untuk bawa Siti berubat dengan seorang bomoh berdekatan taman perumahan mereka. Seminggu selepas berubat, kesihatan Siti beransur pulih. Dia sudah kembali ceria seperti dulu. Ibu dan ayahnya berasa lega dan gembira.
“Hebat juga bomoh itu ya bang. Tak tahulah jampi serapah apa yang dia guna sampai Siti boleh pulih,” kata ibu Siti kepada suaminya. Mereka berdua tersenyum. Dalam hati berdoa agar Siti boleh menjalani kehidupan ceria seperti biasa.
Tetapi pada suatu malam berlakulah perkara yang tidak disangka. Kebetulan hari itu ayah Siti bekerja lebih masa. Lebih kurang pukul 12 tengah malam barulah dia sampai di rumah. Dan sebaik sahaja membuka pintu dia tergamam kerana telinganya menangkap bunyi suara orang sedang berbual. Terus dia mencari-cari dari mana datangnya suara tersebut.
Akhirnya barulah dia perasan suara perbualan tersebut datang dari bilik anaknya, Siti. Dia tarik nafas lega. Fikirnya tadi kalau ada pencuri yang masuk ke rumahnya waktu tengah malam begini. Perlahan-lahan dia atur langkah menuju ke bilik tidur Siti.
Semakin dia hampir, semakin galak dia dengar suara perbualan dari bilik anaknya. Walaupun dia tidak faham apa biji butir perbualan tersebut, namun dia tahu mungkin ada sesuatu yang melucukan hati anaknya itu kerana setiap kalipun akan kedengaran hilai tawa anak kecilnya itu. Dia terfikir mungkin isterinya masih belum tidur dan menemankan Siti sementara menunggu dia pulang agaknya. Dan sebaik sahaja dia ingin memulas tombol pintu untuk melangkah masuk dia terdiam. Langkahnya dimatikan serta merta. Sayup-sayup dia terdengar petah bicara Siti dari dalam biliknya.
“Nenek… nenek… kenapa nenek selalu datang pada waktu malam…” tanya Siti dengan rengekan manja. Tersentak dia apabila menengar pertanyaan anaknya itu. Serta merta jantungnya berdegup kencang. Tanpa berfikir panjang dia lantas masuk ke bilik Siti.
Dan sebaik masuk dilihatnya Siti sedang duduk di atas katil sambil tersenyum. Di atas cadar kelihatan bersepah pelbagai jenis mainannya.
“Siti berbual dengan siapa tadi? tanya ayahnya sambil matanya liar memandang sekeliling.
Siti hanya tersenyum. Sesekali dia ketawa kecil sambil menutup mulutnya. Ibunya yang ketika itu bangun menuju ke dapur terus terperasan lalu menuju ke bilik anaknya.
“Laa…abang dah balik ke? Saya ingat Siti bersembang dengan siapalah tadi dalam biliknya,” kata ibunya sambil mengusap rambut di kepalanya. Ayahnya masih seakan tidak keruan dan gusar. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Lantas dia bertanyakan kepada Siti sekali lagi.
“Tadi sebelum ayah masuk, ayah terdengar Siti berbual. Siti berbual dengan siapa?” tanya ayahnya perlahan.
Isterinya yang berada di situ kelihatan keliru. Dia tidak faham apa yang diperkatakan oleh suaminya.
“Apalah ayah ni. Itu pun nak tanya Siti. Takkanlah ayah tak nampak Siti berbual dengan siapa,” kata Siti lagi.
Ketawa kecil Siti semakin menggusarkan pasangan suami isteri tersebut. Mereka berpandangan dengan wajah kehairanan.
“Itu…itu… nampak tak nenek sedang menyorok di belakang ayah. Tadi nenek kata jangan beritahu sesiapa dia ada dekat sini, tapi Siti nak beritahu juga. Biar nenek kena marah dengan ayah,” kata Siti sambil ketawa mengekek.
Sekali lagi ayah dan ibu Siti berpandangan. Serta merta darah mereka berderau. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.