PADA suku kedua 2020, ekonomi merudum dengan dahsyat. Suku pertama 2020, kadar pertumbuhan masih positif pada 1.4 peratus, namun di suku seterusnya ia merudum 18.8 peratus. Penguncupan terus berlaku di dua suku tahun berikutnya pada kadar -3.7 dan -4.5 peratus.
Suku pertama 2021 menjanjikan perubahan positif dengan kadar pertumbuhan 0.8 peratus. Ini diyakinkan lagi dengan pertumbuhan 23.3 peratus di suku kedua. Namun, perlanjutan tempoh berkurung menyebabkan kadar pertumbuhan turun menjadi 2.3 peratus di suku ketiga walaupun masih positif.
Suku keempat adalah penentu kritikal sama ada ekonomi negara yang dianggap telah pulih daripada kegawatan pada 2021. Ramalannya, kadar pertumbuhan menyeluruh bagi 2021 ialah 3.6 peratus.
Kerajaan melancarkan skim bantuan rakyat untuk mereka yang terjejas oleh Covid-19. Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemulih dan Penjana melibatkan lebih RM530 billion. Ini adalah keputusan terbaik kerajaan sepanjang dua tahun ini.
Kajian Hutchins Centre menggunakan Ukuran Impak Fiskal (FIM) menunjukkan perbelanjaan awam dalam bantuan sosial ini telah dan akan memberikan kesan positif agak panjang dalam melonjakkan kadar pertumbuhan ekonomi. Ini belum lagi mengambil kira perbelanjaan tidak langsung melalui arahan kerajaan kepada sistem bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan institusi lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kerajaan perlu terus membuat perbelanjaan sosial bagi membantu rakyat kerana ini akan menjadi senjata berbilang mata yang dapat memacu negara dan kestabilan politik. Ramalan ekonomi oleh Kementerian Kewangan ialah semua sektor dalam ekonomi akan berkembang pada 2021: pembinaan (13.9%), perkhidmatan (7%), pembuatan (7%), pertanian (4.7%) dan perlombongan (4.1%). Eksport dijangka meningkat 8.8 peratus dan import 9.5 peratus. Ini akan menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada RM1,427.96 bilion, peningkatan 6.2 peratus berbanding 2020. Ini mungkin satu kadar agak optimistik.
Sumber peningkatan KDNK pada 2021 dikenal pasti sebagai peningkatan perbelanjaan persendirian (pengguna/isi rumah) dijangka meningkat 7.1 peraus (berbanding -0.7% pada 2020).
Apakah unjuran di atas boleh dicapai? Kajian pasaran tentang kecenderungan perniagaan pada November 2021 menunjukkan sentimen perniagaan diukur daripada petunjuk keyakinan dianggarkan meningkat dari -21.3 kepada -0.3 peratus (meningkat 20 peratus walaupun masih negatif) dengan sektor industri diramal meningkat 3.6 peratus (berbanding -11.0 peratus pada suku tahun sebelumnya). Sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 3.3 peratus. Keyakinan yang optimistik ini dijangka memacu sektor industri untuk berkembang 35.1 peratus pada enam bulan ke hadapan dan sektor perkhidmatan 24.3 peratus.
Tragedi banjir besar di seluruh negara juga dijangka meningkatkan perbelanjaan persendirian lebih RM20 billion.
Dengan persekitaran di atas, Kementerian Kewangan meramalkan kadar pertumbuhan lebih lima peratus untuk 2021 walaupun Bank Dunia hanya meramalkan kadar pertumbuhan lebih realistik pada tiga peratus.
B50, B60
Kesan Covid-19 dan banjir besar akan menyebabkan lebih ramai kumpulan berpendapatan rendah. Sekarang pun kerajaan sudah menggunakan sebutan B50 yang menggambarkan 50 peratus isi rumah adalah dalam kumpulan berpendapatan rendah. Ini dijangka menjadi lebih serius.
Wajar untuk mengandaikan dalam perancangan ekonomi, kita ada 60 peratus isi rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah (B60). Mereka perlu ditangani untuk meningkatkan pendapatan dan kedudukan menjadi kumpulan kelas menengah dalam tempoh lapan tahun ke hadapan.
Dua aspek yang perlu ditangani ialah peningkatan pendapatan dan keselamatan sosial. Bagaimana kita boleh menjadikan mereka kumpulan kelas menengah dengan pendapatan minimum RM6,000 hingga RM8,000 sebulan?
Pada masa sama, kita perlu mewujudkan skim jaringan keselamatan sosial bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka di masa akan datang. Skim takaful (insurans) berkumpulan yang melindungi keperluan-keperluam perubatan, semasa darurat seperti bencana alam dan persaraan perlu diwujudkan. KWSP perlu dirombak dengan menjadikannya bukan sahaja sebuah institusi simpanan statutori tetapi sebagai sebuah bank pelaburan, institusi takaful dan institusi pelaburan endowmen.
Dua sumber pertumbuhan baharu yang perlu ditumpukan pada 2020-an (menjelang 2030) ialah peningkatan produktiviti pekerja dan isi rumah (keseluruhannya) serta pengenalan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti aktiviti ekonomi secara keseluruhannya. Produktiviti akan dapat ditingkatkan dengan mengerah semua lapisan kumpulan pekerja untuk mengadaptasi budaya belajar sepanjang hayat yang memerlukan setiap mereka mengumpul micro credential certificate bagi meningkatkan kemahiran dan kelayakan. Ini menjanjikan kenaikan pendapatan.
Kita juga perlu memperkenalkan strategi membawa teknologi baharu secara besar-besaran seperti pernah dilakukan pada 1960-an dan 1970-an dengan membawa firma seperti Caterpillar dan Tractor untuk memperkenalkan penjenteraan. Cuma hari ini, teknologi yang perlu dibawa mestilah berkait dengan Revolusi Industri 4.0 seperti internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), teknologi data raya (BDA) dan teknologi seperti pencetak 3D, teknologi dron dan enjin elektrik.
Teori Pemusnahan Kreatif menonjolkan bagaimana selepas pemusnahan semula jadi kesan kegawatan ekonomi, biasanya menghasilkan kesan lambungan ekonomi. Ini boleh dilihat sebagai rahmat di atas kesabaran menghadapi ujian dan kesengsaraan.
Inilah pemikiran harapan semua kita dalam menghadapi situasi kini yang sudah jatuh ditimpa tangga, bukan sahaja disebabkan kesan Covid-19 dua tahun lepas tetapi juga kesan banjir besar di seluruh negara.
Jika kita berdoa dengan khusyuk dan yakin dengannya, pasti ia akan berlaku.
PROFESOR Emeritus Dr. Barjoyai Bardai ialah pakar ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).










