MEMBACA laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun lalu yang merosot ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding di tangga 57 pada 2020, amat mendukacitakan. Pada 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.
Kata Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan, markah dan pangkat CPI Malaysia jatuh sejak dua tahun berturut-turut dan jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan.
“Tetapi, negara sedang menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi,” katanya ketika membentangkan CPI 2021 secara maya, Rabu lalu.
Laporan itu mendukacitakan kerana Malaysia adalah negara Islam. Semua orang tahu, Islam mengharamkan rasuah.
Bukan sahaja penerima rasuah dilaknat, pemberi rasuah turut menerima nasib yang sama.
Ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Demikian juga larangan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188)
Agak memalukan juga apabila kedudukan tiga teratas dalam CPI 2021 dipegang oleh negara-negara sekular atau Barat iaitu Denmark, Finland dan New Zealand.
Negara jiran, Singapura pula kekal berada pada tangga keempat sejak 2020.
Pada hujung Julai 2021, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang amat prihatin dengan budaya rasuah ini menitahkan supaya kurniaan darjah, bintang kebesaran serta pingat negeri bagi pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati melakukan rasuah akan ditarik balik.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila mengetahui beberapa pegawai kerajaan di negeri itu terlibat dengan kegiatan rasuah, baru-baru ini.
“Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
“Kegiatan rasuah boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini,” katanya.
Malangnya, nasihat, ingatan yang berkali-kali dan hukuman sedia ada dilihat tidak cukup menggerunkan golongan yang terlibat rasuah. Malah ada yang ‘muka sadin’ dan tidak rasa bersalah terlibat rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.
Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Undang-undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) menafsirkan rasuah sebagai “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.”
Adapun suapan menurut Seksyen 2 Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah “wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya”.
Keadaan ini mengingatkan kita kepada kata-kata Almarhum Sheikh Muhammad Abduh yang masyhur iaitu: “Aku pergi ke negara Barat, aku melihat Islam namun tidak melihat orang Muslim. Dan aku pergi ke negara Arab, aku melihat orang Muslim namun tidak melihat Islam.”
Antara faktor mendorong rasuah adalah keinginan hidup mewah melebihi kemampuan. Islam tidak melarang umatnya hidup mewah asalkan harta dan kekayaan itu hasil titik peluh sendiri baik dari segi perniagaan dan sebagainya. Yang dilarang adalah melakukan penindasan termasuk makan rasuah untuk hidup kaya-raya.
Jangan terpedaya dengan hasutan syaitan yang tugasnya memang menyesatkan manusia dan terus hanyut melakukan maksiat dan dosa.
Ini dijelaskan menerusi dialog Allah SWT dengan iblis seperti berikut: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). Dan sesungguhnya neraka jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). (al-Hijr: 39-42)
Kepada yang terlibat rasuah, jika berasa diri kebal daripada azab neraka Allah, renung dan lihatlah wajah isteri dan anak-anak anda. Tidakkah ada rasa kasihan terhadap mereka yang juga akan terkena seksaan Allah disebabkan sumber haram nafkah yang akan dibawa pulang?
Sebabnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya. (Riwayat at-Tirmizi)
Hidup di dunia ini hanya sementara. Paling lama umur kita 100 tahun. Lumrahnya pada usia begitu, kesihatan pun sudah semakin tergganggu, Tubuh semakin kecil dan berjalan pun barangkali perlu dipapah.
Sanggupkah kita menahan seksa bakaran api neraka Allah yang memang dicipta untuk mengazab orang yang melakukan maksiat dan dosa? Bayangkan, panas api daripada pemetik api pun tidak mampu kita tanggung, apatah lagi azab api neraka.
Daripada an-Nu’man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan di bawah tapak kakinya dua bara api (neraka) yang mendidihkan otaknya sehingga dia tidak percaya bahawa ada orang lain yang lebih berat seksaan daripadanya. Pada hal dialah orang yang paling ringan azabnya (daripada orang lain). (Riwayat Bukhari)











