Kreatif apa rakyat hendak - Utusan Malaysia

Kreatif apa rakyat hendak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA azam Tahun Baharu anda? Setiap orang ada tekadnya tersendiri. Bagaimana untuk negara? Apa harapan kita kepada Malaysia bumi bertuah kita berpijak ini?
Dari pengamatan senario semasa politik, antara yang boleh saya rumus serta impikan merentas gerbang 2022 untuk tanah air ini:
 Kerajaan dan para menterinya harus benar-benar tahu apa yang rakyat inginkan waktu ini. Sekiranya dia benar-benar mengingini ikannya terus, maka berikan ikan yang ‘berbaloi’ itu dahulu. Baru setelah itu berikan pancing dan ajarkan caranya menangkap ikan. Jika tempat memancingnya jauh, mungkin harus menolongnya lagi agar sampai di sana.
Menolong seseorang dengan cara memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya hanya akan berlaku jika orang itu tidak terlalu menginginkan ikan dan mengerti tentang memancing. Jika anda hanya berpedoman ‘memberikan pancing’, dikhuatiri jangan-jangan kita bukannya menolong, tetapi lagi menjerumuskannya ke ‘jurang’ lagi dalam.
Masuk 1 Januari 2022 ini ratusan ribu orang terkesan. Yang baru hendak bernafas dari gelombang pandemik Covid-19, tetiba pula masuk ke bencana banjir. Rumah punah habis, harta benda, kereta tersadai ditenggelami banjir. Segalanya bikin hidup tidak keruan. Harus bermula dari kosong semula. Mereka perlu bantuan dan dorongan untuk hidup.
 Bina sistem pendidikan yang menawarkan kemahiran lebih berharga dan mencipta peluang pekerjaan dengan gaji minimum lebih tinggi. Bina lebih ramai usahawan kecil dan besar yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
 Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif jika tidak dirangka secara serius dan teliti, hanya mengulangi kesilapan lalu. Usah terlalu beria-ia mengejar gah semasa, sehingga kabur pandangannya untuk masa depan. Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar-bandar besar – yang dikejar hanya outputnya sahaja. Struktur cantik dan megah, tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran dan pendidikan hanya onar menanti di hari mendatang.
 Pemimpin mesti tegak berdirinya, lurus pimpinannya dan bersyafaat pimpinannya. Dalam sifatnya yang elok, ia juga harus pandai. Elok untuk masyarakat yang dipimpinnya, pandai dan handal berjuang demi rakyat yang dipimpinnya. Jika berdiri tetapi nampak condong, maka pemimpin itu hilang sahsiahnya sebagai seorang yang berkredibiliti.
Dalam Islam ayat: Wattakun minkum ummatun; Yad’una ilal khair (Dan hendaklah ada di kalangan ummah yang membawa kepada kebaikan).
 Hindari rasuah. Jika tidak nanti masyarakat dunia melihat kita sambil berkata Malaysia paling ramai melahirkan pemimpin politik rasuah. Akan marahkah kita kepada mereka jika itu benar-benar dirumuskan? Sejarah mengajar manusia supaya jangan berbohong darihal asal usul dan darihal fakta yang dicatat media dunia. Jika sedemikian rumusan masyarakat dunia terhadap kita, nah zaman terbentang luas bagi kita merubah imej itu. Kuasa di tangan ayuh gunakan untuk merubah imej getir itu.
 Tingkatkan cara hidup (budaya) berhemah dan bernilai tinggi rakyat Malaysia. Ini patut menjadi suluhan rakyat Malaysia kerana kelihatan tidak dipertegaskan dalam latihan dan persekolahan. Bidalan “terlalu mendongak bintang di langit, bumi dipijak dilupakan” tepat sekali. Pengisian jiwa diri dan jati diri bersifat membina sahsiah tidak diutamakan dan tidak terkandung di dalam skop pembelajaran negara. Pengajaran agama lebih kepada bentuk, tidak kepada penjiwaan perlakuan yang terbit dari hukum hakam.
 Pemimpin politik harus bermuhasabah. Akur lah akan takdir dan perjuangan kadangkala berperanan untuk seseorang. Seperti disimpulkan Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn, “Yes, 1 happen to be prime minister but I am not the best person for the job…(Ya, saya secara kebetulan menjadi Perdana Menteri tetapi saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengisi jawatan itu).
 Mari kita bersandar kepada kebenaran dan falsafah Melayu. Kalau dibentang seluas alam, kalau dilipat sekecil kuku. Soalnya, mahu atau tidak mahu sahaja kita terima hakikat bahawa akibat main politik kuasa dan mainan budaya politik tipu rakyat, negara menjadi porak-peranda.
 Punca perpecahan politik Melayu ialah kerana tindakan-tindakan politik kuasa yang memecahbelahkan masyarakat Melayu itu sendiri. Penggunaan kuasa itu dikenakan terhadap mereka yang dianggap serpihan, pengkhianat dan gerombolan serta bermacam istilah lain. Ia untuk menggolongkan mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan sebagai ‘orang-orang salah perjuangan’. Apakah perpaduan itu kini hanya penting diperjuangkan di dalam lingkungan Melayu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sahaja? Padahal, seluruh Melayu harus dilibatkan.
Barangkali, kebanyakan cendekiawan kini adalah orang suruhan yang berkokok dengan satu nada sahaja – nada yang dikokokkan oleh pemegang politik kuasa, bukan nada Melayu sejagat?
 Jangan berdendam dalam perjuangan, lantaran lumrah alam bahawa tiada yang kekal dalam politik. Kawan boleh jadi musuh dan musuh boleh pula menjadi kawan. Yang kekal adalah perjuangan. Yakni, perjuangan positif menolong rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat berasaskan majoriti, seseorang itu sentiasa berdepan dengan rakyat. Gerak geri kita diperhatikan rakyat. Ia berupa pemegang amanah kuasa untuk rakyat. Kalau bengispun, zahirkan sahaja sifat tenang.
Walau di dalam limau purut,
Keluarkan saya buah belimbing,
Walau harimau di dalam perut,
Luahkan saja sikap kambing.
Pujangga mengungkapkan– dunia ini bukan hanya diwariskan oleh generasi terdahulu tetapi juga dipinjamkan kepada kita oleh generasi hari esok.
Dalam mendepani cabaran hari ini, jangan hanya memilih penyelesaian jangka pendek yang hanya meloloskan diri kita sendiri, tetapi meninggalkan beban hutang yang bakal menyepit dan menjadi musibah untuk generasi seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN