Keperluan booster hadapi Omicron - Utusan Malaysia

Keperluan booster hadapi Omicron

Beberapa petugas kesihatan berswafoto selepas mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak wabak Covid-19 melanda, rakyat menjalani program vaksinasi besar-besaran yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pembekal kesihatan swasta. Rata-rata tiga jenis vaksin utama yang diberi, sama ada Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac diterima baik oleh rakyat, walaupun ada segelintir mengalami kesan sampingan daripada vaksin ini.
Virus Covid-19 atau dikenali juga dengan nama SARS-CoV2 ini, juga mempunyai kriteria-kriteria varian yang bermula dengan strain asal Wuhan, varian Alpha, Beta dan Delta dan terkini Omicron. Omicron dikatakan merebak lebih mudah sehingga sebanyak 6 kali ganda daripada varian Delta dan sukar dikesan melalui ujian saringan awal.
Bagaimanapun di United Kingdom, Amerika, Afrika Selatan dan Denmark berhadapan dengan peningkatankes baru, malah menjadi beban utama adalah kemasukan ke hospital dan seterusnya menjadi beban kos jagaan kesihatan di negara-negara tersebut.
Melihat mudahnya wabak ini bergerak dari satu negara ke negara lain, Malaysia turut terkesan dengan varian terbaru ini. Setakat ini, kes Omicron di negara ini majoritinya melalui warga kita yang pulang dari mengerjakan umrah di Arab Saudi.
Setakat mana negara dapat bertahan adalah meragukan kerana mudahnya virus ini merebak dan menjangkiti orang lain dalam komuniti sama. Maka, antara cadangan utama untuk mencegah peningkatan kes adalah mematuhi SOP sedia ada, mengelakkan perhimpunan besar dan mematuhi dos penggalak (booster).

KEBERKESANAN BOOSTER
Dos penggalak adalah dos antivirus Covid yang ketiga yang diterima penerima golongan rakyat dewasa (malah kajian mencadangkan seawal 12 tahun), dengan tujuan meningkatkan imuniti penerima terhadap jangkitan Covid.
Jika dahulunya definisi lengkap vaksin adalah dua dos vaksin, sama ada Pfizer, Astra Zeneca atau Sinovac, tetapi bermula Februari ini, status lengkap vaksin hanya akan diterima jika selesai menjalani dos penggalak ini.
Dos penggalak adalah dianggap sebagai keperluan utama melawan Covid, termasuk melawan varian baru Omicron yang sekarang menjadi strain dominan, mengalahkan strain awal Delta. Booster boleh diterima sekurang-kurangnya 3 bulan setelah siap menerima dua dos vaksin sebelumnya. Jadi mengapa keperluan diberi selepas 3 bulan adalah kerana selepas durasi masa ini, imuniti badan (lebih spesifik ‘neutralising antibody’) akan menurun dan meningkatkan risiko Covid berlaku.
Tanpa booster, dianggarkan lebih ramai individu akan terkesan jangkitan, memerlukan hospitalisasi dan kemungkinan berakhir dengan kematian. Bagaimanapun harus diingat kembali, vaksin (walhal dos penggalak juga), bukanlah solusi 100 peratus boleh mengelak Covid.
Dengan kehadiran dos penggalak, terdapat kajian menyatakan ia menurunkan risiko jangkitan sehingga 10 kali ganda berbanding mereka yang hanya menerima dua dos vaksin. Program vaksin dos penggalak, lebih merupakan kepada strategi untuk mencegah, yang sudah disahkan selamat dan dianggap berkesan untuk menurunkan keparahan kes dan fataliti jangkitan Covid.

ADA DOS KE EMPAT?
Booster yang disarankan sekarang adalah Pfizer, manakala ada juga dari jenis Sinovac dan Astra Zeneca yang diberi sebagai dos ketiga.
Di dalam kes yang mana dua dos pertama adalah berbeza dengan dos penggalak, ia dikenali sebagai heterologous vaccination, manakala jika dos penggalak adalah dari jenis sama dengan dua dos pertama, makai a dikenali sebagai homologous vaccination. Kesan sampingan yang boleh terjadi selepas dos penggalak adalah sama dengan vaksin lain; iaitu gejala ringan seperti demam, cirit birit, sakit badan, pitam dan kesan samping lebih serius adalah masalah jantung seperti myocarditis dan pericarditis jantung. Bagaimanapun kadar risiko adalah kecil dianggarkan 2 per 100,000 populasi akan terkesan.
Rata-rata kajian luar negara, rekomendasi suntikan vaksin jenis heterologous, iaitu menggunakan vaksin m-RNA seperti Pfizer dan Moderna sebagai vaksin penggalak sebagai kombinasi dengan dua vaksin asal, contohnya dua dos pertama adalah Sinovac dan booster adalah Pfizer. Ini dikatakan menghasilkan pertahanan badan paling tinggi dan berkesan kerana bukan sahaja meningkatkan antibodi badan, malah meningkatkan respons imuniti selular sel T.
Persoalannya, sejauh mana pula keberkesanan antibodi ini akan bertahan? Adakah rakyat masih perlu mendapatkan dos penggalak ke empat dan sebagainya di masa depan? Buat masa sekarang, data-data kajian masih belum terhasil dengan banyak, walaupun sudah ada desas-desus yang menunjukkan kemungkinan vaksin penggalak lain, mungkin akan diperlukan.
Beberapa negara luar yang aktif menjalankan dos penggalak adalah Perancis, Jerman, Singapura, Israel, Turki, Indonesia dan China. Golongan utama penerima booster ini ialah warga emas, golongan yang rentan sistem imun, golongan banyak penyakit lain (tinggi komorbiditi seperti obesiti, kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi), dan barisan hadapan (frontliners).
Di Malaysia, pemberian dos penggalak diketuai KKM dan diikuti pembekal kesihatan swasta lain di bawah pemantauan Protecthealth. Adalah digalakkan mereka yang layak dan sudah mencapai umur 18 tahun ke atas, berusaha untuk mendapatkannya. Ini menyukarkan anda menjadi pembawa virus dan mengurangkan kemungkinan menjadi pengidap virus Covid juga. Seterusnya menurunkan kemungkinan seseorang dihospitalisasi.
Kerajaan harus meneruskan program promosi dos penggalak ini dan berterusan memberi bantuan pendaftaran kepada dos penggalak termasuk PPV walk in dan program outreach ke kawasan luar bandar. Ini penting untuk menyakinkan rakyat supaya menerima dos penggalak ini dan mencapai imuniti kelompok yang lebih tinggi untuk negara.

PENULIS ialah Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN