MUNGKINKAH diperlukan satu lagi pilihan raya negeri (PRN)? Dan barulah dapat dinilai rasionalkah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan?
Kalau diikutkan negeri dimaksudkan yang sipi-sipi condongnya, 28-27 ditampung kelebihan satu kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masa ini hanyalah Johor.
Masa pembentangan Belanjawan Johor 2022 tempoh hari pun, Menteri Besar (MB), Datuk Hasni Mohammad difahamkan sudah mahu bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila diuar-uarkan ‘bajet takkan lepas’. Ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian tidak hadir sidang kerana sakit manakala seorang lagi, ADUN Panti dari UMNO, Hahasrin Hashim positif Covid-19. Kedudukan dalam DUN menjadi 27-27, dan Speaker mengundi. Namun, akhirnya belanjawan Johor tetap lulus.
Johor kata pemerhati politik, paling relevan dijadikan model untuk PRU15 disegerakan. Selain beza kerusi menegakkan pentadbirannya lebih kurang sama dengan Pusat amat tipis, Johor amat memerlukan pelaburan asing. Kemajuan ekonomi negeri bergantung kepada globalisasi.
Kebergantungan dinamik ekonomi Johor adalah kepada ekonomi Singapura. Dianggarkan 415,000 rakyat Johor bekerja di sana. Dalam tempoh hampir dua tahun ini,
Bangsa Johor melalui sengsara yang panjang akibat pandemik Covid-19. Diberhentikan kerja akibat penguncupan ekonomi Singapura. Lebih-lebih lagi yang bekerja dalam bidang low skill dan low pay.
Keberadaan Hasni sebagai MB ke-18 pula bukanlah bermula dari satu yang normal. Beliau MB ketiga selepas PRU14 pada 9 Mei 2018. Naiknya Hasni berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berakhir terlalu awal dari masanya.
Pengakhiran PH disebabkan oleh unforeseen circumstances daripada kelemahan mereka sendiri. Pada 24 Februari 2020, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatannya. Babak politik itu mengubah persepsi dan pemahaman rakyat berkenaan demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan. Rakyat melihat politics is a game of numbers. Nasib untung rugi mereka amat bergantung kepada bagaimana game of numbers ini dimainkan.
Malangnya, dalam permainan itu yang tersepit adalah rakyat. Yang tergendala adalah seribu satu penyelesaian kepada segala permasalahan mereka.
Bagaimanapun, Johor dapat mengelak daripada terus diperjudikan oleh permainan ini hasil kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Pada 26 Februari 2020, Duli Yang Maha Mulia Tuanku memanggil menghadap kesemua ADUN Johor. Mereka diberi kebebasan untuk memilih di antara dua pakatan politik yang ada. Daripada 56 ahli Dewan Negeri Johor, 28 memilih gabungan baharu, ketika itu belum lagi dipanggil Perikatan Nasional (PN) dan 26 kekal bersama PH. Dan Hasni datang di tengah-tengah penggal pentadbiran setelah Allahyarham Osman dan Datuk Sahruddin Jamal.
TERJEJAS
Covid-19 menyebabkan ekonomi Johor dalam trend menurun. Sektor hartanah Johor terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain larangan melancong dari China dan Singapura ke Malaysia. Negara tersebut merupakan negara 10 teratas pembeli hartanah terbanyak di Johor bagi tujuan pelaburan. Industri pelancongan turut mendapat tempias negatif. Ia lebih teruk daripada pandemik SARS pada 2003. Johor sepatutnya sedang rancak menjayakan tahun Visit Johor 2020.
Namun akibat pandemik, Tahun Melawat Johor 2020 terpaksa dilanjutkan sehingga 2022. Dianggarkan sektor perhotelan kehilangan lebih 17.4 juta pelancong dan 8.4 juta overnight visitors. Akibatnya, sektor perhotelan mengalami kerugian melebihi 30 peratus.
Johor hari ini memerlukan pemulihan ekonomi yang cepat untuk kembali pantas stabil. Dengan ugutan yang silih berganti ‘saya tekan butang sekarang, jatuh kerajaan Johor’, menyebabkan pelabur Singapura barangkali takut-takut datang melabur. Tarik hand brake risau kalau-kalau datang pula MB keempat.
Kalau diikut bacaan (reading) mudah pihak di sebelah UMNO, mereka anggap PRN Melaka 20 November lalu suatu penanda aras yang kuat. Melaka, negeri bersebelahan Johor, suasana politiknya sama. Jika Melaka boleh dapat keputusan cemerlang sapu 21 daripada 28 kerusi macam itu, Johor pun memang boleh.
Disebabkan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) kempen yang ketat, peratusan keluar mengundi menyusut. Mirip PRN Sarawak 18 Disember lalu seperti mana Melaka, parti yang memiliki akar umbi (grassroots) yang setia sahaja akan keluar dan memenangkan partinya. Kata pihak di sana, PH sendiri sudah tidak bermaya, malah tidak mahu lagi bertanding bawah logo PH. PRN Sarawak tambah membuktikan lagi. Dikatakan pengundi Cina sendiri sudah kecewa dengan PH.
Pada masa sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri di Johor terpukul selepas dibantai di Melaka. Di Johor, pakatan Bersatu dengan Pas tidak kuat. PH pula berpecah dan PKR nyawa-nyawa ikan.
Dan PRN negeri, orang tak kisah. Pilihan raya Pusat mereka ambil peduli. Dia tengok kalau kerajaan Hasni boleh mentadbir, teruskan sahaja.
GAGAL
Di Johor pun, dikatakan tiada siapa kelihatan dapat membayangi Hasni. PKR tidak ada calon MB, DAP dan Pas demikian juga. Bersatu di sana sudah gagal. Dua kali jadi MB tiada rekod yang bagus dan parti itu nampaknya sudah tidak ada orang lain.
“Jadi, teruskan saja PRN. UMNO ada MB yang orang boleh terima. Apa yang kita hendak adalah mandat yang lagi kuat kepada Barisan Nasional. Maksudnya, UMNO yakin boleh menang banyak kerusi.
“Justeru, tidak perlu sentiasa diugut, diganggu, bahkan rakyat bertambah yakin untuk restart balik hidup mereka. Pelabur asing pun akan yakin pasal ada kerajaan yang mantap sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang,” kata beberapa ketua bahagian UMNO Johor kepada akhbar ini.
Di Johor, pemimpinnya tidak dibelenggu isu karakter seperti mana Melaka tempoh hari. Waima di Melaka pun ada ‘karakter’ yang dijadikan isu, BN boleh menang. Menang besar lagi.
Apa lagi di Johor yang lebih mementingkan ekonominya yang sememangnya terjejas akibat pelabur Singapura tidak boleh masuk. Baru sahaja dibuka jalan darat Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan republik itu, sudah digantung pula penjualan tiket ekoran penularan varian Omicron.
Isu politik Malaysia menjadi perhatian orang Singapura. Kalau ‘politik tukar-tukar’ mahu mananya mereka datang melabur. Bayangkan kerajaan Singapura kena deal dengan tiga kerajaan Johor, tiga kerajaan Pusat dalam masa tiga setengah tahun.
Barangkali, Johor sebagai negeri tulang belakang UMNO mampu memberi signal kebangkitan UMNO yang akan dicerminkan di Pusat. Johor juga kononnya satu-satunya kubu Bersatu yang masih tinggal. Di Perak, MB dari parti itu tidak terbawa. Di Melaka terbukti tidak mampu. Pahang pula tiada cahaya untuk Bersatu menang.
Untuk Johor, PRN satu kes istimewa dari aspek mahu menarik cepat pelaburan langsung asing (FDI) – cerminan kepada kebangkitan Pusat.










