Jelmaan bidan Limah mencari tuan - Utusan Malaysia

Jelmaan bidan Limah mencari tuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak sekian lama cerita misteri terutama membabitkan kisah makhluk halus dalam kehidupan orang Melayu seakan tidak boleh dipisahkan. Walaupun ceritanya sama dan diulang berkali-kali, namun tetap menjadi perhatian masyarakat walaupun ada yang sangsi dengan kebenarannya.
Bukan sekadar itu, adakalanya cerita tersebut menjadi lebih menarik apabila kisahnya dikaitkan dengan hantu, jelmaan dan sebagainya sehinggakan menjadi tular dan dijadikan topik perbualan harian.
Namun adakah cerita ini benar belaka? Ramai yang mempercayainya, tetapi ada juga segelintir yang berasakan cerita ini karut dan rekaan. Sejauh mana kebenarannya hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang tahu. Sama seperti apa yang berlaku kepada seorang sahabat bernama Mohsin.
Katanya biarlah orang tidak percaya dengan cerita-cerita sebegini, namun baginya pengalaman yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu masih berbekas di hatinya. Begini cerita Mohsin…
Kisah seram ini berlaku di sebuah kampung terletak di daerah utara Perak. Cerita Mohsin lagi ketika itu dia bersama isteri serta dua anak perempuannya dalam perjalanan pulang menuju ke kampung halaman kerana menghabiskan baki cuti tahunannya. Dia bertolak dari Kuala Lumpur selepas solat Isyak, dan sampai di bandar Taiping kira-kira pukul 12 tengah malam. Dan sebaik sahaja dia melalui jalan kecil untuk menuju ke kampungnya tiba-tiba dia perasan ada seorang wanita tua sedang berjalan kaki di hadapannya. Jadi terpaksalah dia memperlahankan kenderaan memandangkan jalan tersebut agak kecil dan sempit.
Yang peliknya wanita tersebut langsung tidak menoleh ke arahnya walaupun cahaya lampu kenderaan yang dipandu Mohsin terang menyuluh jalan ketika itu. Perlahan-lahan Mohsin mengekori wanita itu sehinggalah dia masuk ke lorong kecil yang penuh semak samun.
Isteri bertanya kepada Mohsin kalau-kalau mengenali wanita tua tersebut, namun dia menggelengkan kepala. Sebenarnya sedari awal tadi lagi dia cuba mengingati siapakah gerangan wanita tua tersebut, namun masih tidak mendapat jawapan walaupun dia mengenali hampir kesemua penduduk di kampung itu. Kelibat wanita tua tadi masing bermain di benak Mohsin. Dalam hatinya masih tertanya-tanya. Siapakah wanita itu? Di manakah rumahnya?Apa yang dibuatnya malam-malam buta begini?
Mohsin memandu perlahan. Dalam perkiraannya mungkin dalam 500 meter lagi dia akan sampai ke rumah orang tuanya. Dia toleh melalui cermin sisi kereta, nampak kedua orang anaknya sedang lena tidur.
Tiba-tiba dia tersentak. Darahnya serta merta berderau. Dari semak belukar di kiri kanan jalan hadapannya nampak satu sosok sedang merangkak keluar dari situ. Sosok sama yang pernah dilihatnya tadi. Iya, wanita tua tadi. Jantungnya terus berdegup laju. Bukan Mohsin sahaja yang menggeletar ketakutan ketika itu, malah situasi sama turut dikongsi isterinya. Mata mereka masih terpaku di hadapan jalan raya kecil yang terang disuluh lampu kenderaan ketika itu.
Wanita tua tersebut tiba-tiba bangun dan berdiri di tengah jalan. Matanya tepat memandang ke arah Mohsin. Pandangannya cukup menyeramkan. Mohsin kaget. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika itu.
Isterinya yang berada di sebelah sudah menangis ketakutan. Mohsin tahu ada sesuatu tidak kena dengan wanita tua itu. Walaupun fizikalnya nampak seperti manusia biasa, namun dia dapat rasakan ada sisi lain yang berbeza ketika itu.
Namun tidak sampai beberapa saat sosok tua di hadapannya ghaib secara tiba-tiba. Mohsin tinjau ke kiri kanan jalan, langsung tidak nampak kelibatnya.
“Ada syaitan yang nak ganggu kita ni. Jom kita balik cepat,” kata Mohsin kepada isterinya. Dia memecut laju. Nasib baiklah di waktu malam begitu tiada sesiapa yang menggunakan jalan kecil tersebut, jika tidak pasti habis dirempuhnya.
Sebaik sampai di halaman rumah keluarganya dia terus membunyikan hon kenderaan. Nasib baiklah kedua ibu bapanya masih belum tidur, bergegas mereka membuka pintu untuk menyambut kepulangannya.
Mohsin lantas membuka pintu dan mendukung anak perempuannya, manakala isterinya pula mengangkat beg-beg baju dari bonet belakang. Namun timbul rasa hairan dalam hatinya apabila ibunya tergesa-gesa mengambil anak dari pangkuannya untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
Mohsin tidak bertanya lanjut. Fikirnya mungkin ibunya kasihan melihat cucu-cucunya mengantuk keletihan.
“Dah ambil semua barang-barang? Hah, masuk ke dalam semua, emak nak tutup pintu, dah malam ini,” kata emaknya sambil anak matanya liar memandang sekeliling. Mohsin dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena ketika itu. Dia kenal benar dengan emaknya. Kebiasaannya setiap kali pulang ke kampung dan selesai membawa barang-barang masuk dia akan bersiar-siar di halaman rumah sambil menghisap rokok. Tetapi malam ini agak berlainan dari kebiasaannya.
“Hah, kamu buat apa lagi di luar itu Mohsin? Masuk ke dalam cepat,” kata ibunya sedikit kuat.
“Cepat… cepat… emak nak tutup pintu ni,” kata ibunya dari belakang pintu sambil tangannya menggamit Mohsin supaya segera masuk ke rumah. Sebaik Mohsin melangkah masuk, cepat-cepat emaknya menutup dan mengunci pintu. Gayanya seakan ingin menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam rumah.
Selepas selesai membawa anak-anak dan beg pakaian ke dalam bilik, Mohsin dan isterinya terus ke dapur untuk berbual dengan kedua ibu bapanya sebelum masuk tidur. Ketika itulah dia membuka cerita tentang kejadian yang dialaminya sewaktu melalui jalan kecil untuk menuju ke rumah mereka sebentar tadi.
Terlopong mulut ibu dan ayahnya mendengar cerita Mohsin. Mereka saling berpandangan.
“Sebenarnya bukan kau seorang sahaja yang dah alami peristiwa macam itu, ramai lagi penduduk kampung yang dah ‘kena’,” kata ibunya perlahan.
Mohsin dan isteri terpinga-pinga kehairanan. Ibunya terus membuka cerita.
Katanya sejak bidan Limah meninggal dunia tiga bulan lepas penduduk kampung dilanda ketakutan. Mereka sudah tidak berani keluar malam kerana ramai sudah terserempak dengan jelmaan perempuan tua seakan bidan Limah di sekitar kampung.
Suami bidan Limah, Pak Derus sendiri sudah pindah menumpang di rumah anaknya di Klang kerana tak tahan tinggal di rumah itu. Kata Pak Derus sudah acap kali dia terserempak dengan jelmaan bidan Limah ketika berada di rumah. Ada ketikanya jelmaan itu akan ke dapur untuk makan, mandi dan tidur di sebelahnya.
Kerana tidak tahan diganggu dia menumpang di rumah anaknya. Sejak itu rumah tersebut tidak berpenghuni. Dan sudah ramai juga penduduk kampung yang melalui rumah itu ternampak kelibat bidan Limah.
Kata emaknya lagi, ramai beranggapan bidan Limah ada ‘membela’ sesuatu ketika hayatnya, dan selepas meninggal dunia belaannya itu berkeliaran kerana sudah tidak bertuan.
“Sebenarnya masa kau sampai tadi emak perasan jelmaan bidan Limah ada di tepi jalan. Mungkin dia ikut kau tadi. Sebab itulah cepat-cepat emak suruh kau masuk bawa anak-anak ke dalam,” kata emaknya sedikit pucat.
Mohsin dan isterinya terdiam. Patutlah bersungguh-sungguh emaknya menyuruh dia masuk ke dalam rumah, rupa-rupanya ada sesuatu yang dilihatnya ketika itu. Serta merta bulu romanya tegak berdiri. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya