Januari Hitam di Azerbaijan - Utusan Malaysia

Januari Hitam di Azerbaijan

RAKYAT Azerbaijan berhimpun sebagai bantahan terhadap pencerobohan tentera USSR pada 1990.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR 150 nyawa hilang manakala 800 lagi warga Azerbaijan tercedera sepanjang operasi ketenteraan Kesatuan Soviet (USSR) yang berlangsung selama tiga hari, iaitu dari 19 hingga 20 Januari 1990. Tragedi hitam yang menimpa saudara kita di Azerbaijan itu dilakukan atas arahan Mikhail Gorbachev yang waktu itu merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Kesatuan Soviet.

Bermula pada malam 19 Januari, segerombolan tentera USSR memecah masuk ibu kota Azerbaijan, Baku dan kawasan kejiranan lalu bertindak membunuh orang awam dengan pelbagai jenis peralatan ketenteraan berat. Sebenarnya, peristiwa yang membawa kepada tragedi berdarah ini sudah pun bermula pada 1987.

Terdapat percubaan untuk memasukkan wilayah bergolak Nagorno-Karabakh ke Armenia serta pengusiran rakyat Azerbaijan dari Armenia, sebuah wilayah yang mereka duduki sejak zaman berzaman. Pemerintah Soviet sepatutnya bertindak menjernihkan keadaan dan menghalang ketegangan yang semakin meningkat.

Malangnya apa yang berlaku, para pemimpin Soviet pula mengambil langkah kiri dengan melancarkan operasi jenayah yang dahsyat terhadap rakyat Azerbaijan. Tanpa belas kasihan, tentera komunis yang menceroboh Azerbaijan menyembelih 82 orang awam dan mencederakan 20 yang lain sehingga perintah berkurung dilaksanakan.

Namun, setelah beberapa hari perintah berkurung berjalan, terdapat 21 orang awam lagi dibunuh di Baku. Selain itu, lapan orang awam terbunuh di Neftchala, sebuah kawasan yang tidak termasuk dalam arahan darurat. Tragedi itu meragut nyawa golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas, pekerja perubatan serta anggota polis.

Penangkapan besar-besaran dan campur tangan tentera Soviet secara haram mengakibatkan 841 orang awam ditangkap, 112 daripadanya dihantar ke penjara berbeza di seluruh Soviet. Selain membunuh orang awam tidak berdosa, tentera Soviet turut menghancurkan 200 rumah, 80 kereta dan membakar sejumlah besar harta benda awam dan persendirian termasuk ambulans.

Sejurus selepas tragedi, pada 21 Januari 1990, ahli politik terkenal Azerbaijan, Heydar Aliyev mengutuk keras tindakan tidak bermoral pemimpin Soviet dan menegaskan mereka yang terbabit dengan operasi ini perlu dihukum sewajarnya.

Peristiwa kelam Januari yang berlaku 31 tahun dahulu dilihat akibat dasar kepimpinan USSR yang tidak berperikemanusiaan dan mengkhianati warga Azerbaijan. Oleh kerana itu, setiap malam Januari, pasti terukir dalam ingatan rakyat negara itu sebagai bulan penuh kedukaan.

Tarikh itu juga melambangkan semangat perjuangan dan kebanggaan rakyat Azerbaijan yang memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negara mereka. Begitu juga undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia tidak dihormati manakala jenayah kemanusiaan yang dahsyat dilanggar.

STESEN TELEVISYEN

Pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan oleh bekas kepimpinan USSR untuk menindas suara adil rakyat juga untuk menghalang kemerdekaan Azerbaijan. Hari sebelum kejadian itu, stesen televisyen Azerbaijan meletup akibat tindakan provokasi yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan USSR dengan niat untuk menyembunyikan maklumat tentang peristiwa yang telah dirancang daripada penduduk dan masyarakat dunia amnya.

Kerajaan Azerbaijan menganugerahkan gelaran syahid kepada mereka yang terbunuh pada tragedi 20 Januari tersebut, manakala mangsa yang cacat akibat peristiwa itu dijaga kebajikan mereka.

Para pembaca harus ketahui, hasil sokongan kerajaan Soviet ke atas Armenia menyebabkan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Azerbaijan berlaku.

Sebanmyak 20 peratus tanah milik rakyat Azerbaijan termasuk yang menetap secara sah di Nagorno-Karabakh, Armenia yang merupakan sebahagian wilayah integriti Azerbaijan dipaksa keluar.

Syukur ke hadrat Allah, pada Perang Patriotik 2020, Azerbaijan berjaya mendapatkan semula tanah airnya yang ditakluk Armenia selama 30 tahun. Pada 20 Januari lalu, Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa, UiTM Global menganjurkan syarahan bertajuk Dari 90-an hingga hari ini, Jalan Kemerdekaan dan Pembangunan Azerbaijan.

Program tersebut dianjurkan bersama Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.

“Sekalipun sudah 32 tahun tragedi berlalu, pencabulan terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik serta undang-undang antarabangsa lainnya merupakan satu jenayah berat abad ke-20. Malangnya, masih belum menerima apa-apa penilaian politik dan undang-undang antarabangsa.

“Bekas kepimpinan Soviet secara langsung bertanggungjawab ke atas jenayah ini. Menurut undang-undang antarabangsa, peristiwa 20 Januari ini mesti digambarkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan. Pencetus serta pelakunya perlu dibawa ke muka pengadilan,” ujar Irfan Davudov dalam majlis berkenaan.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×