SEJAK akhir tahun lalu, sudah banyak universiti kembali sibuk menguruskan majlis konvokesyen selepas tertunda lama kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19.
Kini ramai graduan ‘lama’ tersenyum bersama ahli keluarga masing-masing kerana berpeluang merasai sendiri aura majlis konvokesyen.
Bagaimanapun, realiti sebenar ‘di luar’ majlis konvokesyen itu yang lebih merisaukan kerana impak pandemik Covid-19 yang sudah melangkaui dua tahun memberi cabaran besar kepada graduan yang baharu ingin membuka langkah ke alam kerjaya.
Ini kerana jawatan kosong semakin terhad berikutan sektor ekonomi dan pekerjaan masih bergelut untuk pulih daripada pandemik itu.
Ditambah pula penangan Revolusi Industri 4.0, semua faktor semasa ini menyumbang kepada peningkatan pengangguran graduan.
Natijahnya, lebih ramai yang terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian mahupun terpaksa menerima kadar upah yang tidak berpadanan dengan kelayakan.
Kajian oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 tahun sebelumnya.
Senario persaingan semasa dan ke hadapan yang semakin kompetitif serta sengit untuk graduan mendapatkan pekerjaan ini secara tidak langsung membuka mata bahawa memiliki segulung ijazah bukan lagi keistimewaan dan jaminan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.
Mahasiswa seharusnya mengambil peluang semasa di universiti untuk menguasai bidang kemahiran lain, meningkatkan komunikasi dan keterampilan diri serta menjadi individu lebih fleksibel dan versatil.
Geran Khas Kebolehpasaran Graduan dan Penjana KPT-CAP merupakan antara inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti untuk membantu graduan mencari kerja dan mencipta pekerjaan.
Cumanya, jangan ada pihak membuat kesimpulan dangkal bahawa tidak penting lagi belajar tinggi-tinggi selepas ini.
Sedangkan yang perlu difahami realiti kini ialah ijazah bukan lagi lesen mendapatkan pekerjaan, sebaliknya asas membina kerjaya lebih baik.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










