BERDASARKAN mafhum firman Allah SWT dalam surah at-Tin, ayat 4 hingga 5 menjelaskan, manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Sudah tentu ayat ini memberi maksud kejadian manusia ini baik dan lebih sempurna berbanding makhluk-makhluk lain yang terdapat di dunia dan alam ini.
Kadangkala kita berasa amat hairan kerana masih terdapat dalam kalangan mereka yang berilmu dan mengakui beriman dengan hari pembalasan tetapi rupa-rupanya didapati melakukan penyelewengan terhadap amanah diberikan. Barangkali mereka meyakini ajal mereka masih jauh lagi menunggu dan masih sempat untuk bertaubat dan pulang ke pangkal jalan.
Menurut Imam al-Ghazali, takwa berasal daripada perkataan wiqayah yang bererti pelindung atau pemelihara yang merujuk sebagai terpeliharanya orang-orang yang bertakwa (muttaqin) itu daripada kejahatan. Sementara Abdullah bin Mas’ud pula menafsirkan takwa sebagai, “Hendaklah Allah SWT itu ditaati, jangan diderhakai, diingati jangan dilupai, dan disyukuri jangan dikufuri.”
Sayidina Ali bin Abi Talib pula menjelaskan, takwa itu adalah takutkan Allah Yang Maha Agung, memiliki jiwa yang bersyukur atas segala nikmat Ilahi, beramal dan melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan sentiasa bersedia untuk menemui Allah.
Mohd. Ali Abu Bakar dalam bukunya bertajuk Taqwa: Asas Pembentukan Ummah menjelaskan, terdapat tiga syarat takwa iaitu ilmu, beramal dan amar makruf serta nahi mungkar. Dalam perkara ini, ilmu ialah asas kepada takwa. Tanpa ilmu, manusia tidak akan mengenal Tuhannya.
Beramal itu pula merujuk kepada pertanggungjawaban oleh orang yang mukalaf. Sementara syarat yang ketiga pula adalah tanggungjawab individu Muslim untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan dan melarang orang lain daripada melakukan sebarang maksiat.
Ketakwaan akan melahirkan insan atau manusia yang berakhlak mulia, bermula daripada dirinya sendiri, menjaga hubungannya dengan manusia lain dan menjaga hubungannya dengan Allah SWT sebagai Pencipta-Nya.
Sifat takwa akan membentuk seseorang sebagai insan yang jujur, amanah, tidak membazirkan modal atau rezeki dimiliki, tidak memanipulasi kemudahan di bawah jagaannya, menjaga nama baik diri dan maruahnya serta tidak melakukan sebarang keburukan kerana ia menginsafi Allah SWT melihat apa-apa sahaja perkara yang dilakukan.
AKHIRAT
Letakkanlah seseorang yang bertakwa di mana-mana sahaja, ia akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan rasa amanah dan penuh tanggungjawab. Apabila sesebuah jawatan diserahkan kepada orang yang bertakwa, ia akan menyambutnya sebagai amanah daripada Allah SWT kerana ia mengimani kehidupan selepas kematian dan perbicaraan ketika di akhirat kelak.
Apabila disebutkan tentang jawatan, sudah tentu ia melibatkan hal ehwal tadbir urus sesebuah organisasi. Tadbir urus sesebuah organisasi pula amat sinonim dengan pengamalan nilai integriti. Integriti yang secara umumnya diberi maksud sebagai kejujuran, keadaan sempurna dan juga utuh tentunya satu nilai yang mesti diamalkan oleh setiap orang yang menjadi ahli atau kakitangan organisasi tersebut. Bermula dari bahagian pengurusan atas sehinggalah ke bahagian sokongan yang paling asas.
Dalam hal ini, pemimpin atau ketua organisasi berintegriti pasti akan mempertahankan nama baik mereka daripada sebarang bentuk penyelewengan. Yakni, bukan sahaja bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, bahkan juga dalam menjaga nama baik dan maruah diri serta organisasi.
Selepas kita dapat memahami maksud takwa, maka sudah tentu kita boleh merumuskan integriti sebenar hanya boleh dicapai apabila seorang penjawat itu beriman dan bertakwa. Dalam sebuah hadis baginda Rasulullah SAW memberi maksud beriman ialah seseorang itu meletakkan dorongan nafsu syahwatnya mengikut suruhan agama, manakala seseorang yang bertakwa adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Ghazali, Abdullah bin Mas’ud dan Sayidina Ali bin Abi Talib.
Dalam hal ini, bagaimanakah kita dapat melihat seseorang itu sebagai seorang yang bertakwa? Jawapannya boleh dilihat melalui khutbah Jumaat yang pernah diperdengarkan kepada jemaah. Khatib menyebut terdapat lima ciri insan yang bertakwa.
Pertama, sentiasa memelihara diri daripada melakukan kemungkaran. Kedua, sentiasa menentang dorongan hawa nafsu dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara mungkar. Ketiga, sentiasa memelihara lisan dan tindakannya daripada sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Keempat, sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah dengan melaksanakan nilai hidup yang Islamik dan kelima, sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT dan memelihara hubungan sesama manusia.
Dengan ciri-ciri yang diperlihatkan ini, jelas merumuskan ketakwaan mampu membentuk insan yang berintegriti tinggi.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











