Umrah mula ‘laku keras’ - Utusan Malaysia

Umrah mula ‘laku keras’

TRADISI umrah musim sejuk amat popular dalam kalangan warga Malaysia sejak sekian lama selain umrah Ramadan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA ditugaskan membuat liputan pelepasan jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejak bulan lalu, suasananya mengimbau kenangan saya sendiri yang pernah mengerjakan ibadah itu pada 2018. Rupa-rupanya selain bulan Ramadan, umat Islam negara ini gemar menunaikan umrah pada akhir tahun atau lazim disebut umrah musim sejuk dek suhu dingin di sana berbanding kebiasaan.

Malah, dewan pelepasan terminal udara utama tanah air kita kembali ‘bernafas’ waima tidak sesibuk sebelum wabak Covid-19 apabila pintu sempadan ditutup pada akhir Mac, tahun lalu. Ia turut diakui Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor apabila syarikat itu hanya menawarkan lapan kali penerbangan setiap minggu ke Tanah Suci.

Situasi itu jauh berbeza sebelum pandemik muncul apabila dua kali penerbangan ada setiap hari, namun beliau optimis pihaknya mampu membawa 75,000 penumpang dalam tempoh lima bulan. Ini bermakna secara congak mudah, seramai 15,000 bakal Duyufurrahman diangkut operator tempatan udara patuh syariah itu pada setiap bulan sama ada terus ke Madinah atau Jeddah.

Sekadar rekod, sebelum KLIA ditutup kerana isu Covid-19, ada 120 trip ke sana setiap bulan dengan masing-masing 30 kali oleh Malaysia Airlines, Saudia, Qatar Airways dan Etihad UAE. Ini belum lagi puluhan penerbangan transit oleh Air Asia, Malindo Air dan sebagainya yang secara keseluruhannya itu mampu membawa sekitar 20,000 bakal jemaah pada setiap bulan.

KERINDUAN

Tidak hairanlah, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. yang berpusat di Putrajaya merebut peluang itu dan muncul seba­gai agensi pertama tempatan berangkat ke Tanah Suci pada 13 Oktober lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Zulkarnain Endut secara peri­badi memberitahu saya, trend bakal melonjak kerana pelbagai faktor terutama kerinduan umat Islam sendiri melihat Kaabah.

“Bayangkan hampir dua tahun disekat dan apabila kerajaan umum kelonggaran pergerakan rentas negeri dan negara, ramai bakal jemaah umrah menitis air mata kegembiraan,” katanya.

Sambutan luar biasa itu menyaksikan 474 agensi umrah seluruh negara tidak menang tangan melayan permintaan ramai tetamu Allah dan akan naik mendadak untuk umrah musim sejuk.

Justeru, dianggarkan hampir 30,000 umat Islam dari negara ini disasar menunaikan ibadah itu sepanjang bulan ini terutama semasa cuti sekolah akhir tahun selama tiga minggu mulai 11 Disember nanti. Lebih menarik, Arab Saudi pada 18 Oktober lalu mengumumkan pemansuhan tempahan slot umrah berikutnya dan memasuki Masjidil Haram yang sebelum itu ada tempoh jarak 15 hari.

Inisiatif ini membantu dalam pengurangan besar kos umrah apabila jemaah dapat ‘berjimat’ waktu penginapan lama di Madinah sebelum dibenarkan memasuki Mekah untuk sesi umrah sunat. Tradisi umrah musim sejuk amat popular dalam kalangan warga Malaysia sejak sekian lama selain umrah Ramadan, kerana cuaca kurang panas dan selesa dilaksanakan sebelah malam.

“Sebelum sempadan ditu­tup, majoriti besar jemaah kita memang suka umrah akhir tahun yang dingin selain penuhi cuti sekolah lebih lama dengan ahli keluarga, saudara atau rakan,” jelas Zulkarnain.

Beliau malah tidak menolak kemungkinan ia bakal menjadi pilihan ibu bapa berdoa di lokasi mustajab untuk anak mereka lulus cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac depan. Bahkan, ada mengambil peluang memohon hajat di tempat suci seperti multazam dekat Kaabah atau Raudhah di makam Rasulullah SAW agar anak berjaya masuk sekolah berasrama penuh.

Jika trend ‘laku keras’ berulang, ia akan menyamai rekod sebelum sempadan ditutup apabila hampir 300,000 rakyat kita berumrah setiap tahun iaitu jemaah asing kelapan paling ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×