Tak perlu retorik tangani isu perpaduan - Utusan Malaysia

Tak perlu retorik tangani isu perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sering berbicara soal pentingnya perpaduan kaum dalam usaha membina negara bangsa yang teguh. Sama ada di dada akhbar, televisyen malah di kedai kopi, pelbagai pendapat diutarakan dalam mengupas persoalan ini.

Hal ini menjadi begitu signifikan memandangkan dalam sesebuah masyarakat majmuk, soal perpaduan kaum menjadi titik tolak kepada keharmonian negara. Kita mesti jujur dalam membina perpaduan kaum dan bukannya bersikap retorik dengan membawa idea-idea cetek yang tidak konstruktif.

Dalam usaha bergerak ke hadapan, kita juga perlu menoleh ke belakang untuk menilai punca masalah perpaduan semakin meruncing. Untuk mencari kaedah penyelesaian yang tuntas, segala faktor harus diperhalusi dan diambil kira termasuk sejarah sebelum dan selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya Malaysia.

Demi mencapai hasrat ini, semua pihak harus memahami dan menghormati hak serta kedudukan masing-masing seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Soal memupuk perpaduan kaum bukanlah hal yang baharu.

Negara pernah mengalami titik hitam menyaksikan banyak nyawa terkorban akibat rusuhan kaum. Berikutan tragedi 13 Mei 1969 inilah, kerajaan mengambil tindakan serius untuk menyemai prinsip kerukunan dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Maka lahirlah Rukun Negara sebagai teras perpaduan negara.

Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin pada 13 0gos 1970.

Seri Paduka bertitah, negara kita hendaklah berdasarkan lima prinsip Rukun Negara. Persoalannya, setelah lebih 50 tahun Rukun Negara diisytiharkan, sejauh mana rakyat khususnya orang muda menghayati falsafah negara ini?

HARMONI

Apakah ada kesedaran dalam jiwa untuk mengangkat serta melaksanakan kelima-lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan harian kita? Walhal, ini adalah prinsip teras untuk membina perpaduan utuh sebagai asas kepada pembentukan bangsa dan negara yang harmoni.

Inti pati Rukun Negara yang disusun berjaya menyatukan seluruh rakyat berbilang kaum dan etnik selama ini. Rakyat disatukan di atas satu semangat persekutuan dan kebangsaan tanpa mengetepikan keunikan kebudayaan masing-masing.

Sebagai sebuah negara persekutuan yang dibina atas dasar penyatuan dan kesepakatan, perpaduan memainkan peranan yang integral dalam memastikan negara kita kekal ke hadapan. Saya melihat, jika kita dapat memahami dan menerapkan roh kelima-lima prinsip Rukun Negara ke dalam kehidupan harian kita, maka semangat perpaduan dapat dipereratkan dan diperteguhkan.

Apa perlunya kita beretorik mencari jalan penyelesaian baharu sedangkan kita telah pun mempunyai kaedah penyelesaian tuntas berpaksikan prinsip negara? Jangan jadi tikus membaiki labu. Rumah pusaka kita yang berdiri teguh jangan sampai mahu dirobohkan.

Kebangkitan golongan ateis yang tidak bertuhan, golongan anarkis yang antiraja, antiautoriti, menentang Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta golongan tidak beradab sopan telah memporak-perandakan keharmonian negara.

Masalah perpaduan tidak akan membarah jika rakyat mempunyai semangat kenegaraan yang jitu, mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati Perlembagaan Persekutuan.

PENULIS ialah pelajar program asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×