Perbuatan menggunakan kekerasan untuk menindas orang lain sangat dibenci oleh Islam. Islam amat mengutamakan kasih sayang dan layanan yang baik kepada semua orang.
Hadis Rasulullah SAW memberi amaran tentang kecelakaan yang menimpa seseorang pada hari akhirat apabila dia mengasari orang lain meskipun dia rajin beribadah.
Mafhum hadis tersebut: “Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka. (Riwayat Muslim)
Allah SWT melarang keras perbuatan mengguris perasaan orang lain dengan kata-kata yang tidak baik, apatah lagi melakukannya berulang kali. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 11 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”
Buli telah bermaharajalela dalam kalangan pelajar khususnya di asrama sehingga menjadi budaya yang sukar dihapuskan.
Sekiranya dibuat kajian berbentuk temu bual, setiap orang pasti dapat menceritakan pengalaman dibuli, menyaksikan insiden pembulian atau pengalaman menjadi pembuli ketika di alam persekolahan.
BARAH
Buli yang tidak ditangani secara serius boleh menjadi barah dalam masyarakat. Sikap diri pembuli jika tidak dibendung akan turut dibawa bersama-sama apabila mereka keluar dari sistem persekolahan dan memasuki sistem lain.
Kajian-kajian memperihalkan budaya buli turut berlaku dalam dunia pekerjaan. Antara bentuk buli yang sering berlaku ialah disuruh melakukan tugas mengikut sasaran atau tempoh masa tidak munasabah, diarah melakukan kerja di bawah tahap kompetensi sepatutnya, dimalukan dalam mesyuarat, dimaki atau menjadi sasaran melampiaskan kemarahan dan menjadi bahan jenaka rakan sekerja.
Di mana-mana sahaja buli yang berlaku, ia memberikan kerugian dalam pelbagai aspek. Hal ini kerana buli menjejaskan prestasi pelajaran dan produktiviti kerja, mendedahkan organisasi kepada isu kesihatan mental serta mengekang perkembangan potensi seseorang dalam pelajaran dan kerjaya.
Sehubungan itu, buli patut dihentikan sejak peringkat awal lagi untuk mengelak ia berleluasa dan membarah. Perkara ini perlu sentiasa diperingatkan tanpa menunggu peristiwa buruk berulang.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










