SEPARUH masa pertama kempen pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 baru berlalu. Pusingan 1, dari 6 Disember hingga semalam Ahad 12 Disember, saya rumuskan, ‘sendu’.
Di bandar raya Kuching tempat saya menginap bersama tiga lagi rakan seperjuangan Utusan Malaysia, Omar Zin, Mohd. Fadhli Mohamad Sulaiman serta jurugambar, Iqbal Rosli, hanya kelihatan perang poster bertebaran sana sini.
Meninjau suasana beberapa hari lepas, sesekali ada kenampakan kelibat orang parti. Edar risalah di kedai kopi dan sisipkannya ke peti surat banyak rumah.
Dan kalau ada pun yang gamatkan Bumi Kenyalang tujuh hari yang berlalu ini hanyalah ‘Ali’. Nama itu jadi bahan berita panas media Sarawak – bak sorakan penyokong kita kepada petinju Muhammad Ali lah…‘Ali, Ali, Ali’ ketika berlawan Joe Bugner di Stadium Merdeka, 30 Jun 1975.
Gitu gamatnya. Sama seperti Muhammad Ali yang menang kiraan mata 15 pusingan hebat ke atas Bugner, Ali di Sarawak pun ‘tak mahu kalah’ juga.
Selepas Datuk Ali Biju masuk tanding calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak itu tiba-tiba tarik hand brake.
Khabarnya – kerana gesaan Bersatu Pusat ekoran bercanggah dengan pendirian presidennya yang Bersatu tak masuk gelanggang pilihan raya negeri kali ini.
Malah, Bersatu mahu pastikan pula penyandang yang memerintah sekarang, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang selesa.
Tapi selepas tarik diri, rupa-rupanya nama Ali masih tercetak atas kertas undi. Kata menteri yang jaga undang-undang, selepas pukul 10 pagi serah borang penamaan 6 Disember lalu, calon-calon tidak boleh lagi tarik diri.
Bahkan kata menteri itu lagi, jika Ali raih undi tertinggi pada hari pengundian, dia masih sah pemenang. Lawan Ali dalam saingan empat penjuru di Krian termasuklah Friday Belik (GPS).
BERSYARAT?
Selepas Ali tegaskan ‘tetap tarik diri’ dan akan berkempen pula menangkan Friday, muncul pula syaratnya. Sudah fikir jauh mahu GPS beri laluan kepadanya pula pertahankan kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (yang entah bila tarikhnya).
“Ali satu-satunya calon Bebas (daripada 30 orang) berpotensi menang walaupun bukan jaminan,” kata Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir kepada saya semalam.
Realiti dalam mana-mana pilihan raya, siapa pun tidak wajar terlalu konfiden partinya boleh menang. Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akur perkara itu kepada Mingguan Malaysia semalam.
“Apa yang penting menang…menang dengan selesa,” kata ketua menteri berusia 71 tahun itu. PRN12 ini penggal ke-10 beliau masuk bertanding, pertama kali berpindah tempat ke Gedong dari Satok yang dipertahan 40 tahun.
Dalam PRN ini, GPS berdepan cabaran sengit untuk menarik sokongan pengundi Cina. Isu kaum ini di Sarawak sama saja dengan Semenanjung. Berkisar ekonomi, sekolah Cina, tanggapan terhadap kerajaan serta ‘mahukan’ semak, imbang berkesan.
Meskipun DAP dari Pakatan Harapan (PH), pengundi Cina dipercayai tidak ambil peduli sangat terhadap keperitan yang ditanggung Sarawak akibat pentadbiran 22 bulan PH (10 Mei 2018 – Februari 2020).
“Walaupun PH gagal tunaikan janji teruskan banyak projek di Sarawak, malah banyak yang dibatalkan termasuk gagal tunai janji bayar 20 peratus royalti minyak dan mengembalikan 50 peratus hasil cukai kepada negeri ini, pengundi Cina tidak kisah. Apa lagi manifesto PH kan bukan ‘kitab suci’,” kata Jeniri lagi.
Sebenarnya sejak 1996 lagi muncul ‘angin perubahan’ pengundi Cina. Dari situ ada kebangkitan sokongan terhadap kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
LAWAN SEBENAR
Berbanding parti-parti lain, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) adalah lawan sebenar GPS. Pada PRN Sarawak 2016, DAP cuma meraih 20 peratus dari undi keseluruhan. PKR, sekutunya pula yang menang tiga kerusi, memperoleh 10 peratus undi.
Berbanding DAP, kedudukan PKR di Sarawak terlalu lemah. Sampai hari ini tidak ada pengerusi negeri. Tiga kerusi yang dimenangi dulu pun sudah hilang.
Dua orang termasuk Baru Bian masuk PSB dan baki seorang lagi lompat ke Bersatu. Siapa lagi kalau bukan Ali.
Dari segi kekuatan jentera, DAP kuat di kawasan bandar manakala keampuhan PSB bergantung kepada presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh, calon paling tua usia 79 tahun.
Soon Koh masak akan selok-belok kelemahan dan kekuatan Barisan Nasional (BN), yang semua wakil rakyatnya dibawa keluar oleh Abang Jo pada Jun 2018 sebulan selepas PRU14 untuk membentuk GPS. Soon Koh sebelum itu adalah otai BN Sarawak.
Dengan 18 kerusi di bandar tidak dibenarkan berkempen secara bersemuka susulan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ancaman Covid-19, DAP agak ‘tempang’.
Berbeza sangat dengan siri ceramahnya yang dihadiri berbelas ribu orang di Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri pada 2016.
Begitupun kerusi-kerusi Cina termasuk Padungan, Pending, Bukit Assek dan Sentosa yang melebihi 60 peratus pengundi Cina bukanlah kekangan buat DAP.
Apa pun, Ali di Krian setidak-tidaknya telah ‘mencuri’ tumpuan kempen pusingan 1 PRN setakat ini.
Tiga lagi rakan Ali dari Bersatu, Siki Belarik, Ricky Enteri dan Ismawi Muhammad terus ‘bertinju’ menggunakan ‘sarung’ Bebas di Belaga, Bawang Assan dan Muara Tuang. Nasib calon-calon GPS di tiga tempat itu belum pasti.
Dan kalau ikut kiraan mata diperoleh Ali, sudah berapa agaknya dia dapat andai menang pula di Krian?