SESI wawancara dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, DATUK SERI MAHDZIR KHALID agak ceria kerana pada hari itu diumumkan pencapaian 100 Hari Keluarga Malaysia yang menyaksikan kementerian berkenaan mencapai skor terbaik.
Beliau yang mengakui sanggup menyertai Kabinet semula kerana yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dirinya perlu bekerja lebih keras untuk mahir portfolio baharu kerana bidangnya sebelum ini lebih kepada pendidikan sebagai bekas Menteri Pendidikan dan pengetua sekolah.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, AMIR KHALID di Bangunan Mara, Kuala Lumpur pada Khamis lalu, beliau menegaskan, pencapaian 100 hari hanya permulaan kerana banyak lagi yang perlu dibuat.
Paling utama, menggunakan kepakarannya dalam bidang pendidikan untuk mengubah sikap penduduk luar bandar yang kebanyakan orang Melayu dan bumiputera. Tetapan minda yang tidak betul menjadi punca banyak program membantu golongan itu gagal.
PENCAPAIAN 100 HARI
UTUSAN: Tahniah kerana difahamkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari yang ditetapkan kerajaan?
MAHDZIR: Alhamdulillah. Dalam 100 hari ini, kita ada empat item yang diminta untuk dibuat. Pertama, Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang merujuk kepada jalan-jalan kampung.
Dia orang bagi berapa kilometer JPD kena buat dalam masa 100 hari. Kita lantik kontraktor, kita pergi buat semua, alhamdulillah boleh.
Kedua ialah Program Ameniti Sosial (PAMS) seperti membaiki surau dan dewan orang ramai serta membina taman permainan kanak-kanak dan longkang. Itu pun dia orang bagi sasaran berapa banyak dan kos untuk dibuat dalam 100 hari, itu pun kita telah buat.
Ketiga, membaik pulih rumah dan membina rumah baharu untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Kita telah lantik kontraktor dan alhamdulillah boleh selesai.
Akhir sekali melibat keusahawanan dengan pembiayaan dalam bentuk pinjaman kredit mikro dan geran untuk peniaga yang menjahit baju dan membuat kuih di kampung-kampung.
Kita ada jumlah usahawan yang menerima manfaat itu dan ia telah mencapai sasaran yang dikehendaki.
Kalau bagi markah adakah pencapaian 100 peratus?
Kita tidak boleh bagi markah kepada diri kita sendiri. Di bawah Jabatan Perdana Menteri itu ada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) yang memantau.
Jadi bila kita bina rumah dan memberi pembiayaan kepada usahawan, dia orang pergilah tengok di negeri-negeri mengikut senarai yang kita ada.
MEMBANDARKAN DESA
Perdana Menteri baru-baru ini mahu agenda Membandarkan Luar Bandar yang diperkenalkannya ketika menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2015 terus diperkasakan?
Ya, ia agenda yang akan diteruskan. Idealnya ia adalah menyeluruh melibatkan semua kawasan desa. Tetapi apabila hendak laksana kita memilih tempat-tempat tertentu dengan menyediakan kemudahan mencukupi termasuk kesalinghubungan internet.
Ciri-ciri perbandaran itu wujud di situ dan ini dipanggil proses perbandaran di kawasan luar bandar. Penekanan yang diberi oleh Perdana Menteri adalah apabila segala kemudahan di situ mencukupi ia akan menarik pelabur ke luar bandar dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Selain itu, ada banyak komponen lain selain menyediakan kemudahan asas dan pekerjaan termasuk membangunkan bidang keusahawan serta pendidikan di situ.
Adakah Datuk Seri berasa tertekan dengan harapan tinggi diberikan?
Tertekan juga, sebab yang pertama saya kena memahami subjek dulu. Saya lebih kepada pendidikan tetapi bila datang sini (berbeza).
Tetapi pendidikan itu sebahagian daripada KPLB, sebab kita ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan institusi pendidikan lain.
Difahamkan peruntukan untuk KPLB dalam Bajet 2022 adalah lebih tinggi daripada Bajet 2021. Ke manakah ia akan disalurkan?
Untuk rakyat termasuk menyediakan infrastruktur, membaik pulih dan membina rumah serta projek-projek lain dengan tujuan yang sama.
KENA UBAH SIKAP
Adakah program bagi meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-rata terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19?
Pertama sekali, di luar bandar banyak melibatkan peniaga-peniaga kecil yang berniaga di pasar malam, gerai, kedai motosikal dan makanan yang bergantung kepada pelanggan tempatan di mana mereka tinggal.
Jadi bila Covid-19, perniagaan terpaksa ditutup. Kalau sehari dua, okeylah, tetapi kalau sudah tutup berbulan-bulan, tempat dan peralatan yang peniaga pakai sudah rosak.
Kita kena membantu mereka untuk memulakan balik perniagaan sama ada dalam bentuk pembiayaan kredit mikro atau geran. Jadi kita boleh tolong sedikit sebanyak.
Bukan setakat itu sahaja. Keduanya, kena ada latihan semula dan peningkatan kemahiran. Ini akan melibatkan Giatmara dan Institut Kemahiran Mara (IKM).
Tidak mahu belajarkah dari China yang baru-baru ini telah mengumumkan berjaya mengeluarkan hampir 100 juta rakyatnya daripada belenggu kemiskinan?
Saya ingat kita belajar dari negara-negara lain sejak 1970-an lagi. Mula-mula kita tengok apa yang dipanggil Satu Produk, Satu Kampung (OVOP) di Jepun, lepas itu perkara hampir sama dilancar di Thailand dipanggil Satu Tambon, Satu Produk (OTOP) dan kemudian kita tengok di Korea Selatan dengan nama Saemaul Undong yang semua itu melibatkan pembangunan luar bandar.
Maknanya kita sudah belajar banyak, kita telah praktis banyak pun di Malaysia ini. Cuma kadang-kadang kita tak sampai, istilah dalam bahasa Inggeris ialah sustainability maknanya tidak berterusan.
Sebab apa perkara ini berlaku?
Sebab yang ini, nak kena balik kepada kita punya sikap. Kita memberikan anak ikan dibela bagi menambah pendapatan. Dia bela dua musim, lepas itu tak ada, dia malas, dia buat benda lain pula.
Sebab itu kita kena ada bukan sahaja latihan kemahiran tetapi latihan lain yang boleh ubah tetapan minda.
Tetapi kalau dari segi memberi motivasi, saya ingat macam-macam pakar sudah kita bawa. Maknanya, yang kita buat sekarang tidak cukup, kena ada lagi yang lain.
POLITIK SENI SEGALA KEMUNGKINAN
Bagaimana nasib Muafakat Nasional (MN)?
Perhimpunan Agung UMNO tidak pernah menetapkan yang kita ini berpisah dengan Pas, tak ada. Maknanya UMNO sendiri taklah kata menolak menjadikan Pas itu sebagai rakan ataupun kolaborasinya.
Cumanya yang ada sekarang ini adalah persepsi. Pemimpin UMNO cakap pasal Pas dan orang Pas pun cakap pasal UMNO, masing-masing di peringkat tertinggi.
Tetapi sejak daripada MN diwujudkan sampai hari ini, orang di bawah ini sudah baik dan terima. Kalau dulu kau-kau, aku-aku antara Pas dan UMNO, tetapi di bawah sekarang sudah kira boleh berbaik, berkawan dan duduk sekali.
Bila ada urusan lain yang jadi dekat atas ini, maka kita akhirnya jadi macam inilah. Tetapi kena ingat, sampai hari ini tak ada apa-apa penetapan daripada UMNO lagi pasal tak mahu kepada Pas.
Datuk Seri secara peribadi sebagai naib presiden UMNO hendak teruskan MN?
Saya ini, kalau ambil istilah Haji Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) sendirilah, istilahnya kita kata macam inilah.
Cakap orang politik, politik ini adalah seni kepada segala kemungkinan. Jadi kita tidak tahu sebenarnya nak jadi macam mana, kita harap jadi elok.
Kalau ‘bercerai’ juga, nak buat macam mana, yang itu kira seni kepada segala kemungkinan. Sama ada saya sedih atau tidak? Saya rasa ia tak sepatutnya berlaku, sebab itu adalah penyatuan ummah.
BUNUH PERSONALITI
Analisis Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendapati undi Pakatan Harapan (PH) banyak beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Barisan Nasional (BN) kerana pengundi menganggap UMNO tidak serius membasmi rasuah?
Orang awam di luar sana, bukan ahli parti. Dia mempunyai pandangan sendiri yang kita tidak boleh ajar.
Sebab sebahagian daripada mereka terlibat dengan masyarakat madani dan berpelajaran termasuk golongan profesional dan teknokrat.
Dalam hal yang berkaitan, kalau kata kita tidak serius membasmi rasuah, kita boleh nampak bahawa UMNO sendiri telah memilih Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, maksudnya kita pergi ke situlah (kerajaan yang bersih).
Ismail Sabri juga sudah menjadi mangsa ‘serangan’ pihak tertentu?
Dia orang akan cari apa sahajalah untuk membunuh personaliti, tak bolehlah. Kita kena pergi secara menyeluruh.
Pada waktu ini, dia sudah menjadi Perdana Menteri dan dalam 100 hari ini pun dia sudah tunjuk prestasi, kita hendaklah ke depan. Kalau nak ungkit semua benda (kisah silam) dalam hidup ini, saya ingat susah.
Ada pihak berpendapat UMNO boleh dibersihkan daripada persepsi menyokong perbuatan rasuah jika Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur?
Yalah proses (peralihan kepimpinan) dalam UMNO ini seperti mana-mana parti pun, dia tak akan jadi semudah yang kita cakap.
Pertamanya, semua pun ada perasaan. Jadi kalau ada perasaan, ada hati budi, jadi you tak bolehlah kata hari ini awak macam ini, awak keluar.
Dalam politik dia tidak jadi macam itu, sebab dalam politik pun tiap-tiap orang ada pengikut. You tak bolehlah kata nak buat macam itu dan akhirnya kita sendiri berpecah belah. Kena ikut proses.
Ini keputusan mahkamah pun belum ada dalam kes Datuk Zahid, jadi kita hukum macam itu, tak berapa kenalah. Biarlah proses itu berlaku, proses yang penting.
Kenapakah Datuk Seri masih sanggup menjadi menteri dan tidak menyerahnya kepada orang lebih muda?
Yalah, sebab dia orang minta untuk kita bagi perkhidmatan lagi. Waktu ini, saya rasa saya boleh memberi perkhidmatan, insya-Allah saya buatlah.
Dalam kerjaya politik ini pun kita tidak boleh juga kata semuanya takdir dan nasib kita tentukan. Saya positif dengan Kabinet yang baharu, insya-Allah.
Strategi macam mana UMNO hendak gunakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
Apa pun yang paling penting sekali ialah kita nak negara ini stabil dari segi politik. Maknanya bila pilihan raya, ada pasukan yang menanglah.
Tak jadi macam ini, separuh-separuh sana, separuh-separuh sini. Kita (kena) jadi Melakalah.










