INSIDEN banjir luar biasa di Hulu Langat, Shah Alam dan Sepang di Selangor dan Bentong serta Mentakab di Pahang baru-baru ini meninggalkan kesan amat mendalam kepada penduduk dan keluarga terlibat. Kerosakan yang berlaku tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Setakat artikel ini ditulis, 37 maut dan 10 lagi dipercayai masih hilang. Kerugian dan kemusnahan harta benda juga dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Manakan tidak, rumah-rumah di kawasan terlibat hanya nampak bumbung akibat ditenggelami air. Ramai mangsa yang buntu untuk memulakan kehidupan selepas kawasan perumahan mereka bagai padang jarak padang tekukur akibat bencana itu.
Lebih menyedihkan, rumah-rumah pusaka yang menjadi tempat mereka berteduh selama ini kini hanya tinggal tapak dan tangga batu, manakala chalet serta kedai tempat mereka mencari rezeki lenyap dibawa arus deras dalam banjir terburuk dalam sedekad lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Batu 18 Sungai Lui, Hulu Langat mendapati kenderaan milik penduduk ada yang terbalik, rosak dan tersadai dihentam pokok-pokok besar dan kayu hanyut. Laluan masuk ke perkam-pungan itu juga tidak ubah seperti kawasan baharu diterokai manusia kerana dipenuhi selut dan tanah yang ditinggalkan air banjir.
Di Shah Alam, walaupun banjir belum surut sepenuhnya, penduduk sudah mula membersihkan rumah masing-masing dengan mengeluarkan perabot rosak dan memeriksa kenderaan yang terendam air sejak Sabtu lalu.
Alhamdulillah, rakyat Malaysia setakat ini membuktikan keprihatinan dengan mengadakan pelbagai misi bantuan di kawasan terlibat. Gerakan ini nampaknya menyeluruh melibatkan agensi seperti jabatan agama Islam negeri, pasukan keselamatan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ada juga parti politik yang terlibat.
Demikianlah sepatutnya ukhuwah sesama mukmin. Inilah masa dan ketikanya orang beriman diuji, benarkah mereka benar-benar beriman atau sebaliknya? Sebabnya, antara tanda orang beriman adalah mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.
Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang yang beriman itu dalam hal mereka saling cinta mencintai, kasih mengasihi dan bertimbang rasa sesama mereka, adalah seperti sebuah tubuh badan. Apabila mana-mana anggota ditimpa penyakit maka seluruh anggota badan akan turut serta berjaga malam dan merasakan demam.” (Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, setiap kita janganlah lepaskan peluang untuk sama-sama membantu baik sesama Islam atau pun sesama insan yang lain. Ini kerana selain menjaga hubungan dengan Allah iaitu hablum minallah, kita juga disuruh menjaga hubungan baik sesama manusia iaitu hablum minannas.
SEHELAI SEPINGGANG
Sementelah kita sama-sama berada dalam negara bertuah bumi merdeka, Malaysia. Sayugianya kita bantu membantu tanpa mengira agama dan bangsa dalam situasi yang amat mencabar ini. Ramai yang relatifnya jatuh ‘miskin’ ekoran banjir ini.
Mangsa banjir majoritinya tinggal sehelai sepinggang. Barang kelengkapan rumah dan kenderaan semuanya musnah. Dianggarkan lebih 50,000 kereta yang tenggelam dalam banjir di lapan negeri terutama Selangor dan Pahang sejak beberapa hari lalu dijangka terus tersadai.
Ini tidak mustahil berlaku ekoran kos baik pulih sahaja dianggar mencecah antara RM10,000 ke RM20,000 bagi sebuah kereta sedangkan pada masa sama, mangsa banjir turut kehilangan harta benda lain termasuk rumah yang musnah.
Untuk itu, marilah kita sama-sama berganding bahu menghulurkan sumbangan kepada mereka yang ditimpa musibah kali ini. Bagi yang berkemampuan, jangan kedekut menyumbang. Jika 10 juta rakyat masing-masing menyumbang RM100 seorang kepada tabung bencana banjir ini, kita boleh mengumpul RM1 bilion.
Pastinya, jumlah itu mencukupi untuk meringankan beban terpaksa ditanggung oleh kira-kira 80,000 orang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Dengan jumlah itu, sekurang-kurangnya setiap mangsa banjir akan beroleh RM12,500.
Jumlah ini walaupun tidak dapat menggantikan sepenuhnya kerugian mereka, sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membeli barang keperluan asas setiap keluarga terlibat.
Ingatlah ganjaran menanti mereka yang membantu orang dalam kesusahan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membantu menghilangkan kesedihan (kesusahan) orang Mukmin ketika di dunia maka Allah akan menghilangkan satu kesusahan di hari kiamat kelak. Barang siapa yang memberi kemudahan (membantu) orang yang dalam kesusahan, nescaya Allah akan membantu memudahkan urusannya di dunia dan akhirat…” (Riwayat Muslim)
Bagi golongan yang menunggu hujung Disember untuk mengeluarkan zakat perniagaan dan sebagainya, eloklah dipercepatkan menunaikan kewajipan tersebut menerusi pihak berkuasa zakat. Ini supaya bantuan segera turut dapat diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya mengumumkan akan menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri itu. Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Jangan kita lupa, pada ketika mereka diuji dengan banjir, kita yang tidak terlibat dan dikurniakan rezeki oleh Allah juga sebenarnya sedang diuji. Kita sedang diuji sejauh mana kita bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi.
Kita juga sedang diuji sejauh mana kita beriman dengan hadis Nabi SAW tentang kehebatan kasih sayang sesama mukmin. Nabi SAW sendiri menggalakkan amalan kebajikan melalui sabda baginda yang bermaksud: “Perkara paling disukai Allah ialah orang paling bermanfaat kepada manusia lain. Tingkah laku paling disukai adalah menggembirakan orang lain, meringankan bebannya melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya daripada kelaparan.” (Riwayat Tabrani)










