fbpx

Kolej 14 UPM rai Hari Tanah Sedunia

PELAJAR-PELAJAR Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan baja kompos sempena sambutan Hari Tanah Sedunia.

TANGGAL 5 Disember ini merupakan Hari Tanah Sedunia. Hari Tanah Sedunia dianjurkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). 

Sambutan ini dipilih bersempena tarikh kelahiran Raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej. Beliau merupakan seorang yang amat menitikberatkan kebajikan rakyat di mana ia memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan makanan mencukupi. Menyedari kepentingan pertanian, beliau memperkasakan program serta aktiviti pembangunan kesuburan tanah di seluruh Thailand. 

Setiap tahun, Hari Tanah Sedunia ini disambut oleh banyak negara dan Malaysia juga tidak ketinggalan. Penganjuran Hari Tanah Sedunia penting sebagai salah satu kolaborasi Malaysia dengan institusi antarabangsa seperti FAO.

Tidak seperti tahun sebelum ini, Hari Tanah Sedunia kali ini disambut dengan penuh kesederhanaan. Kolej 14 Universiti Putra Malaysia (UPM) menyahut seruan FAO turut sama memupuk kesedaran akan kepentingan penjagaan tanah. 

Program antarabangsa ini juga menjawab pelan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM iaitu Teras 1 – Kelestarian Pertanian, Teras 6 – Pengantarabangsaan dan Teras 8 – Kehidupan Kampus.

Menyokong matlamat keempat UPM iaitu memperkasa UPM sebagai pusat kecemerlangan pertanian, pelbagai aktiviti diatur sepanjang tahun seperti ceramah, mengenal pasti jenis tanah, penyediaan kompos dan konsultansi penjagaan tanaman secara mampan.

Sebelum ini, Hari Tanah Sedunia peringkat kebangsaan diadakan di Fakulti Pertanian UPM di mana pelbagai agensi turut sama menjayakan program tersebut dengan mengadakan pameran, ceramah dan lawatan ke makmal-makmal tanah.  

Sambutan tetap diadakan pada tahun ini tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengengkang penularan wabak Covid-19.

Penganjuran Hari Tanah Sedunia hari ini lebih meluas kerana penyampaian maklumat mengenai kesuburan tanah disebarkan melalui internet dan media sosial. Apa yang penting, program Hari Tanah Sedunia  lebih menyeluruh kerana melibatkan pelajar dan orang ramai tanpa mengira latar belakang.

Tema sambutan Hari Tanah Sedunia kali ini adalah halt soil salinity, boost soil productivity. Soil salinity merujuk pada kadar kandungan garam dalam tanah di mana kandungan garam yang tinggi dalam tanah boleh menyebabkan kesuburan dan produktiviti tanah terganggu.

Selain itu, rakyat Malaysia sedar akan kenaikan harga produk pertanian seperti ayam dan sayuran. Antara punca utama yang dikatakan menyumbang kepada kenaikan harga adalah kenaikan harga dedak, harga baja, dan kekurangan tenaga kerja. 

Selain itu, permintaan yang tinggi tatkala kadar penghasilan produk yang rendah juga menjadi punca kenaikan harga makanan mendadak. Oleh itu, pemahaman tentang kepentingan penjagaan tanah adalah penting.

Sebagai contoh, penggunaan baja kimia dapat dikurangkan sekiranya kita menghasilkan baja kompos daripada bahan-bahan semula jadi. Kolej 14 UPM sedang dalam proses menghasilkan baja kompos sendiri untuk digunakan sebagai baja bagi tanaman sayur-sayuran di UPM. Selain itu, para pelajar kolej juga berpeluang untuk mengkaji kesuburan tanah di lapangan. 

Sambutan Hari Tanah Sedunia ini akan terus menjadi sambutan penting di Malaysia di mana pelbagai agensi berkaitan pertanian dan tanah akan turut sama menyahut seruan FAO untuk terus bersama-sama meningkatkan kesedaran akan kepentingan tanah dalam kehidupan seharian.

DR. Daljit Singh A/L Karam Singh ialah Pengetua Kolej 14 dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN