HSR – Yakinkah Singapura? - Utusan Malaysia

HSR – Yakinkah Singapura?

Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong dari Singapura merasmikan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara kedua-dua negara di Woodlands Checkpoint, baru-baru ini. IHSAN/PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Singapura merupakan satu rutin pengenalan kepada rakan sejawat di seberang tambak. Kunjungan kedua beliau selepas Indonesia itu menunjukkan hubungan simbiosis yang sukar untuk dipisahkan.
Setelah sekian lama sempadan kedua-dua negara ditutup, kedua-dua Perdana Menteri secara simbolik melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL). Namun cadangan Ismail Sabri kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk menghidupkan semula projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) mendapat perhatian khusus media dan pemerhati politik. Projek yang ditangguhkan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan harapan (PH), dan seterusnya dibatalkan kerajaan Pakatan Nasional (PN) mengundang reaksi bercampur-campur.
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyalahkan pentadbiran kerajaan PN terdahulu yang membatalkan projek itu. Malaysia terpaksa membayar pampasan hampir RM 318 juta (SGD 103 juta) akibat daripada keputusan tersebut. Beliau juga mendakwa kerajaan PH hanya menangguhkan projek tersebut bagi menilai semula kos yang akan dibelanjakan. Adakah ini juga bermaksud kerajaan PN sekarang cuba mendapatkan semula pampasan lebih RM300 juta itu dengan menghidupkan semula projek yang dibatalkan pada awal tahun ini?
Respons Singapura – me­re­ka terbuka menerima ca­dangan baharu itu. Sebagai per­mulaan Kementerian Pengangkutan kedua-dua nega­ra akan mengadakan per­bincangan awal. Singapura mahu butiran lebih terperinci daripada cadangan baharu tersebut untuk pertimbangan selanjutnya.
Terlalu awal untuk mem­buat spekulasi mengenai ca­dangan baharu yang dike­mukakan oleh Malaysia. Malaysia mungkin boleh me­yakinkan Singapura un­tuk meneruskan projek ini berdasarkan Projek Laluan Sistem Transit Cepat (RTS) Johor Bahru- Singapura, yang akan memulakan perkhidmatan penumpangnya menjelang akhir 2026.
Dalam kolum saya awal tahun ini mengenai isu HSR, saya menyatakan ketidaksokongan saya kepada projek ini kerana permasalahan yang dihadapi oleh negara berhadapan dengan pandemik sekarang. Bajet perlu ditumpukan kepada projek pembangunan lain yang memberi faedah kepada rakyat. Keadaan ekonomi negara pasca-Covid akan lebih mencabar dan memerlukan tambahan perbelanjaan besar. Walaupun projek HSL ini akan merancakkan ekonomi negara terutamanya sektor pembinaan, namun sejauh mana rakyat dapat menikmati kesan limpahan secara langsung akibat projek ini masih memerlukan kajian yang lebih mendalam.
Ia mungkin memberi impak jangka panjang yang mengambil masa bertahun-tahun tetapi bukannya kesan segera kepada rakyat. Apa yang penting sistem pengangkutan sedia ada perlu penambahbaikan dan pengukuhan sebelum kita berpindah kepada sistem pengangkutan berteknologi tinggi dan canggih.
Sebagai contoh masalah penyelenggaraan sistem jalan raya masih di tahap tidak memuaskan. Pengendalian sistem pengangkutan sedia ada tidak mencapai perkhidmatan yang dikehendaki. Berdasarkan pengalaman, penyelenggaraan jalan raya di Kuala Lumpur misalnya, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bandar besar rantau ini seperti Jakarta, Hanoi, mahupun Bangkok.
Selain itu, apa yang membimbangkan adalah dari segi bukan sahaja kos pembinaan tetapi juga operasi. Adalah penting perkara ini difikirkan sedalam-dalamnya sebelum projek HSR ini dihidupkan semula. Di samping itu, kerajaan perlu lebih telus di dalam projek ini yang telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak menyenangkan. Timbul isu yang mengatakan ketidaksetujuan kedua negara dalam proses penender.
Bagi Malaysia, penglibatan syarikat Malaysia adalah penting sebagai sebahagian daripada pemindahan teknologi tinggi. Bagi Singapura, penender antarabangsa yang bebas elemen politik adalah cara terbaik mengurangkan kos pembinaan. Hanya pembida yang menawarkan kos terendah (walaupun tidak semestinya dipilih) tetapi mempunyai kemampuan tinggi akan menang dalam tender dijalankan.
Di samping itu, sewaktu menjelaskan keputusan penamatan di Parlimen Singa­pura, Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung menyatakan republik itu tidak dapat menerima cadangan Malaysia untuk mengeluarkan syarikat pengurusan aset daripada keseluruhan projek kerana ia adalah asas kepada perjanjian tersebut. Syarikat pengurusan aset adalah syarikat yang bertanggungjawab membuat pelaburan dalam projek yang mana dananya dikumpul daripada beberapa sumber seperti stok dan bon
Bagi pelabur antarabangsa, dasar yang konsisten diperlukan. Ketidaktentuan dasar memberi isyarat yang mengelirukan kepada pelabur. Sebelum ini pelabur dari Perancis, Korea Selatan, Jepun, dan China telah membuat pelaburan besar dengan mewujudkan pejabat operasi mereka di sini, dengan harapan memenangi tender yang akan ditawarkan. Tetapi dengan pembatalan projek, ia memberi gambaran buruk kepada imej negara. Apakah mereka akan kembali berminat membida projek ini?
Singapura pula akan lebih berhati-hati dengan cadangan ini. Ini juga menjelaskan respons diplomatik Singa­pura yang ‘terbuka’ kepada cadangan Perdana Menteri Malaysia. Singapura mempu­nyai kebimbangan mengenai kestabilan politik negara. Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya lalu, projek HSR antara tumpuan penilaian semula kerajaan PH sekali gus memberi isyarat tidak menentu kepada masa depan projek-projek mega negara.
Penilaian Singapura akan juga tertumpu analisis risiko lain seperti apa akan terjadi jika politik Malaysia masih berhadapan dengan masalah majoriti kerajaan yang tidak kukuh. Sebagai negara yang terlibat secara langsung dengan pelaburan besar ini, bukannya minat semula dan komitmen sahaja yang dikehendaki oleh republik itu tetapi kejelasan dan kesinambungan dasar bagi memastikan projek HSR akhirnya dapat direalisasikan.

Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor dan Felo Kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya