Hebatnya jadi pakar IT ... - Utusan Malaysia

Hebatnya jadi pakar IT …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS berlegar-legar kira-kira 20 minit di kawasan Cyberjaya, saya mendapat Ping dari satu syarikat teknologi di situ.
Seorang perempuan melangkah duduk di kerusi belakang sambil memberi salam. Waktu itu pukul 9 pagi. Destinasinya ke Kajang. Tertera dalam aplikasi, namanya sebagai J.
Sengaja saja menegur, baru balik kerja? Dia mengiyakan sambil tangannya cuba menutup mulut kerana menguap walaupun mengenakan pelitup muka
Dari perbuatan tersebut, saya tahu dia mesti penat. Maka bermulalah perbualan kami yang membuat saya kagum dengan J.
Dia rupanya bekerja di syarikat perkakasan dan perisian teknologi antarabangsa di Cyberjaya. Kerjanya sebagai pakar teknologi informasi (IT) yang membantu pelanggan seluruh dunia menggunakan peralatan mereka.
“Ada berjuta pengguna di seluruh dunia ini menggunakan perkakasan kami. Jadi, kalau mereka ada masalah, akan telefon ke pusat untuk bantuan.
“ Dalam seluruh dunia ini, pusat kawalan dan bantuan yang ada hanya di Malaysia dan India. Jadi, semua masalah teknologi yang berlaku, kami akan selesaikan,” kata J yang seakan seronok bercerita.
Wow! Hebatnya. Getus saya dalam hati. Bayangkan J membantu pelanggan seluruh dunia jika ada masalah.
“Seronok tak kerja ini?” saya sengaja mencungkil. Hendak dapat bahan cerita, kenalah banyak bertanya.
“Pro dan kontralah kak. Paling tak seronok bila kena maki dengan pelanggan. Mula-mula kerja dulu, saya menangis bila pelanggan marah-marah. Terutama dari Amerika. Mereka ini bagi saya kasar.
“Bila sudah masuk tiga tahun kerja, pelanggan marah-marah, saya marah mereka balik. Iyalah, mereka minta bantuan kita misalnya nak reset perisian, tapi kita dimaki dulu. Banyak cantik muka dia, memang kenalah…,” ceritanya sambil tergelak
“Dalam seluruh dunia ini, pelanggan negara mana paling baik dan sopan bila minta bantuan?” tanya saya.
“Antaranya Australia dan United Kingdom (UK). Cakap pun bersopan bila minta tolong tapi kalau Amerika ini, mereka macam pandang rendah pada kita. Lagi-lagi yang muda-muda. Tapi tak semualah begitu.
“Saya ini pula kalau pelanggan yang sudah berusia ini, hati saya cepat jatuh kasihan. Sebab bukan semua orang tua bijak teknologi.
“Saya bayangkan ayah saya saja yang tak pandai teknologi itu. Tiba-tiba ada masalah dengan perkakasan komputer dia, jadi memang saya bantu habis-habisan,” kata penumpang ini.
Berapa ramai orang Malaysia kerja ini? tanya saya lagi.
“Ramai, lebih 700 oranglah. Iyalah, satu dunia hendak handle untuk jutaan pengguna. Petugas di India pula dalam pengkhususan lain.
“Sebenarnya hendak ikutkan saya sudah tak larat kerja ni sebab kerja ikut waktu Amerika. Jadi, saya kerja waktu malam. Saya pula sudah ada anak. Jadi memang kelam kabut jugalah. Mujur suami kerja sendiri.
“Cuma nak berhenti kerja sekarang bukan waktu yang sesuai. Lebih-lebih lagi zaman pandemik ni. Bertahan sajalah selagi boleh, kan kak?,” tanya J.
Iya, betul, jangan cuba-cuba berhenti sekarang.
“Kalau kakak ini pandai IT, kakak mohon kerja itu, tapi kakak ini buta IT, bab marah pelanggan itu kakak pandai,” kata saya melawak. Berderai J ketawa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.