Apabila penumpang buka kasut masuk kereta … - Utusan Malaysia

Apabila penumpang buka kasut masuk kereta …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini saya berbuka puasa dengan rakan pemandu perempuan Grab, namanya Is.
Sebelum berbuka puasa kami sempat bersembang tentang ragam penumpang serta pengalaman membawa Grab sejak lebih dua tahun.
Sedang bersembang, si Is tiba-tiba ketawa. Tercengang saya kejap. Sudah kenapa dia ini? Belum cerita dah ketawa mengekek-ngekek.
“Kau hendak tahu cerita kelakar tak? Aku bawa seorang makcik ini, ambil dari satu stesen bas dekat Kuala Lumpur.
“Anaknya pesankan Grab nak pergi ke rumahnya di Damansara. Makcik ini taklah tua sangat tetapi ramah orangnya.
“Dia kata nak menziarah anak perempuannya dalam pantang bersalin. Menantunya tidak dapat menjemput sebab keluar daerah.
“Tengah-tengah rancak bersembang, tiba-tiba makcik ini menjerit, ‘astagfirullahal azim’. Panjang jeritan dia,” kata Is.
Kenapa pula? Tanya aku tidak sabar. Is tak menjawab tetapi terus ketawa besar.
“Kau hendak tahu sebab apa dia istighfar itu? Dia berkaki ayam dalam kereta!” kata Is ketawa lagi.
“Sebab apa pula, mana kasut makcik itu?” tanya aku pelik.
“Dia tertinggal masa naik kereta, sebabnya dia rasa macam masuk ke dalam rumah. Masuk rumah kan tanggal kasut. Jadi, selamba dia tinggal kasut di luar dan naik kereta,” balas Is ketawa lagi.
“ Kasihan makcik itu. Habis itu, apa jadi?” tanya saya.
“Aku jadi kasihan dan bertanya sama ada hendak patah balik tapi makcik itu cakap, terus sajalah sebab nak pergi ke rumah anak dia pun.
“Rupanya makcik ini memang mudah lupa. Iyalah, sudah berusia macam-macamlah berlaku,” kata Is.
Cerita Is mengingatkan kisah arwah ibu saudara yang saya panggil We Tiah yang melalui pengalaman yang sama.
Arwah pernah menaiki bas untuk ke pekan dan tertinggal selipar di bawah kerana menganggap naik tangga ke rumah sendiri.
Maka, sampai di pekan terpaksalah berkaki ayam sekejap sementara menuju ke kedai membeli selipar.
Begitulah. Usia kita yang semakin bertambah ini pasti sedikit sebanyak akan mengubah kesihatan fizikal dan mental kita. – Akak Grab- Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.