Dihargaikah sumbangan kita? - Utusan Malaysia

Dihargaikah sumbangan kita?

ADA beranggapan kononnya masyarakat tidak perlu menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan atas alasan tugas itu seharusnya digalas oleh jabatan agama Islam negeri masing-masing. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMURAHAN hati rakyat Malaysia terbukti dengan segala macam bentuk bantuan disalurkan kepada rakyat negara-negara memerlukan. Saban tahun juga wujud banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan pelbagai jenis modus operandi.

Sikap peka warga kita terhadap komuniti antarabangsa ternyata sedikit sebanyak membantu menaikkan imej negara. Namun, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan sikap baik tak kena tempat seperti pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Kita akur majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya raya apatah lagi setelah Covid-19 melanda sejak dua tahun lalu. Saya kira, tidak perlu lagi dilampirkan segala angka dan bukti peningkatan statistik pengangguran serta kemiskinan di negara ini memandangkan kita sendiri melihatnya bahkan mungkin terpalit pada diri sendiri.

Sepatutnya dalam keadaan genting seperti ini, utamakanlah rakyat sendiri yang mungkin ada sedang melarat menunggu diberi secubit makanan. Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah dengan jelas bersabda: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.”

Bukankah hadis tersebut dengan nyatanya menyebut keutamaan untuk bersedekah kepada ahli keluarga terlebih dahulu? Maka berdasarkan hadis tersebut, lebih baik kita mengutamakan anak bangsa.

Ada yang beralasan, kononnya warga tempatan tidak perlu dibantu kerana tugasan itu seharusnya digalas oleh jabatan agama Islam negeri-negeri. Ya, itu sememangnya benar. Akan tetapi adakah tanggungjawab membantu orang yang ditimpa kesusahan itu hanya perlu digalas oleh jabatan tersebut? Bukankah tolong menolong adalah kewajipan setiap insan?

Diharapkan pembaca tidak salah faham kerana bukanlah saya bermaksud tidak perlu langsung membantu masyarakat susah di luar sana. Cuma biarlah setelah kita meyakini majoriti besar rakyat negara ini sudah cukup makan, boleh hidup senang dan mampu menyara diri sendiri.

Setelah itu, jalankanlah semula bantuan terhadap masyarakat antarabangsa yang memerlukan. Jangan risau, sekiranya Malaysia mengurangkan atau memberhentikan sejenak bantuan kepada Palestin, Afghanistan dan negara-negara lain, ia sama sekali tidak akan memberi apa-apa kesan besar terhadap mereka.

Mengapa? Kerana masih banyak lagi negara lain yang menyalurkan bantuan seperti Arab Saudi, Turki, Indonesia bahkan negara-negara bukan Islam. Jangan sesekali kita beranggapan seolah-olah Malaysia sahaja bertindak sebagai ‘pelindung’ negara-negara ini.

PERIGI

Cuba kita fikir sejenak, adakah benar mereka yang dibantu itu menghargai segala bantuan yang diberikan atau sekadar mengambil kesempatan ke atas kebaikan kita?

Bukankah kita sendiri sudah mendengar begitu banyak laporan berkaitan scammer warga Palestin, Syria dan sebagainya yang berbohong atas nama agama demi mendapatkan bantuan kewangan?

Baru-baru ini, media massa melaporkan scammer yang menipu tentang pembinaan perigi di Kemboja. Ini lagi satu kepelikan, mengapa sibuk bina perigi di Kemboja sedangkan masalah bekalan air masih berlaku di Kelantan? Bukankah lebih afdal membina saluran paip baharu atau perigi di negeri Cik Siti Wan Kembang terlebih dahulu?

Lebih dikesali apabila melihat ramai warga kita berpusu-pusu menjalankan bantuan terhadap Bosnia-Herzegovina yang sememangnya tidak lagi layak mendapatkan bantuan. Saya berani katakan sebegini kerana selama setahun berkelana di sana, saya tidak nampak keperluan kita untuk terus menyalurkan bantuan.

Perang sudah pun tamat hampir 30 tahun, bahkan sewaktu menjalankan pengkajian di sana, saya sama sekali tidak pernah melihat gelandangan dalam kalangan warga tempatan. Kesusahan rakyat di sana sekadar kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan, namun masih ada tanah dan rumah sendiri untuk didiami. Kehidupan warga Muslim Bosnia boleh dikatakan 30 kali lebih baik daripada rakyat kita sendiri.

Beberapa tahun lalu, saya berpeluang bertemu salah seorang diplomat Bosnia-Herzegovina di Turki. Beliau ada mengungkapkan rasa aneh terhadap rakyat Malaysia yang masih giat menjalankan bantuan di negaranya termasuklah dengan membina masjid.

Katanya, masjid sudah terlalu banyak di Bosnia-Herzegovina. Sepatutnya pada era ini, hubungan kedua-dua negara perlu berada pada tahap situasi menang-menang. Bosnia-Herzegovina perlu berdiri sendiri membina negara mereka, bukan sepanjang masa mengemis memohon bantuan yang tidak pernah henti-henti tiba. Kalau dihargai tak apa juga, ini tidak, masih lagi ramai yang sombong dan berasa seolah-olah mereka di atas kita hanya kerana berkulit putih.

Kita sayang Palestin, Syria dan umat Islam secara amnya, namun janganlah sampai dianaktirikan rakyat sendiri. Sekiranya pemerintah di negara ini dilihat begitu sukar untuk membantu rakyat yang telah mengundi dan mengangkat mereka ke tampuk pemerintahan, mengapa tidak kita sendiri?

Apalah salahnya bina masjid, perigi air, membaiki sekolah di Kelantan, Sabah dan Sarawak yang masih dalam keadaan serba kekurangan itu? Jangan pula suatu hari nanti, Malaysia pula menagih bantuan dan ihsan daripada negara asing.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×