Bersatu hati hadapi bencana - Utusan Malaysia

Bersatu hati hadapi bencana

RAKYAT dari pelbagai peringkat berlumba-lumba membantu sesama sendiri tanpa mempedulikan perbezaan. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSELISIH faham bagaimana sekalipun, apabila berlaku sesuatu bencana, rakyat Malaysia sangat bersatu hati dan saling bantu-membantu. Ketika ini, faktor perbezaan politik atau kaum ditolak tepi. Apa yang penting, mangsa terjejas dapat dibela sebaik-baiknya.

Dapat dilihat ketika ini, para sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dari seluruh negara waima pemimpin politik berlumba-lumba membantu mangsa banjir yang terjejas.

Banjir besar yang melanda Selangor sejak Jumaat lalu mendapat perhatian banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan makanan, wang ringgit, keperluan asas sehinggalah pelajar universiti yang datang dari jauh membantu membersihkan rumah mangsa terlibat. Semangat dan keprihatinan yang ditunjukkan itu turut mengundang rasa kagum dan menjadi contoh kepada masyarakat luar.

Sifat bersatu hati sedemikian alangkah baiknya kalau berterusan bukan hanya ketika bencana. Malaysia merupakan negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan penyatuan akan membuatkan negara bertambah kuat.

Lihatlah apabila kita bersatu hati dan tenaga membantu mangsa terjejas, betapa harmoninya suasana tersebut. Sayu hati melihat rakyat berlumba-lumba membantu sesama sendiri tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan perbezaan politik.

Kita sudah terlalu lama bertelagah malah keharmonian kaum juga sudah jarang dirasai kebelakangan ini. Jadikanlah bencana yang berlaku ini sebagai pedoman untuk kita terus kekal bersatu hati.

Kata sahabat saya, Terry Kang, 39, penyatuan masyarakat bersama-sama membantu ketika menghadapi bencana sangat menyentuh hati.

“Saya harap semangat dan kerjasama tanpa mengira kaum ini berterusan bukan hanya ketika bencana. Apabila rakyat bersatu padu, ahli-ahli politik janganlah lagi bertelagah sehingga mengundang perpecahan,” katanya.

Nada sama disuarakan Nor Hisham Kamis,36, yang melihat orang ramai cukup prihatin dalam membantu golongan yang terjejas dengan bencana.

“Kebelakangan ini, kita asyik melihat kemelut politik dan perpecahan, namun apabila rakyat Malaysia tanpa mengira kaum semuanya bersatu dalam berdepan bencana, ia cukup mengharukan,” katanya.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×