JIKA ada istilah terbaik yang boleh digunakan untuk menggambarkan 100 hari pertama pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan Kabinet beliau, maka saya selaku ketua pejabatnya menyatakan tempoh tersebut adalah menenangkan, mendamaikan dan mententeramkan.
Ketenangan, kedamaian dan ketenteraman ini diperoleh melalui peribadi mahupun pendekatan pentadbiran holistik dan inklusif beliau seperti yang terzahir dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos lalu. Beliau menyeru seluruh ahli Dewan Rakyat supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara dan bersepakat menyelamatkan Keluarga Malaysia.
Memetik titah Yang di-Pertuan Agong dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti sebelumnya agar semua pihak dapat melupakan segala perbezaan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat, Ismail Sabri mencadangkan supaya segala keresahan segera diatasi dan kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.
Bermula daripada penawaran ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 yang beliau kemukakan, inisiatif itu kemudiannya diperkasakan lagi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.
MoU bersejarah antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) ini membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras titah Seri Paduka sempena pembukaan Parlimen pada hari itu yang mahukan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah.
Melaluinya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjanji untuk mewujudkan sebuah landskap politik yang baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tata kelola pentadbiran, khususnya berhubung pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022, PH pula bersetuju tidak akan membangkang Bajet 2022 dan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain.
Setelah kestabilan politik dicapai, maka berjalanlah dengan lebih intensif tekad Ismail Sabri dalam ucapan sulung beliau itu untuk menghasilkan yang terbaik dengan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.
KEMELUT
Dari sudut kemelut kesihatan, pengumuman Ismail Sabri pada 2 September mengenai betapa buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0 menandakan kejayaan usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 sekali gus memberi kelegaan pada rakyat.
Ini termasuklah pengumuman pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program Gelembung Pelancongan bermula dengan Pulau Langkawi sebagai projek rintis pada 16 September lalu serta kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor-sektor sosial, pendidikan, rekreasi, pekerjaan dan ekonomi pada 17 September.
Selaras janji Ismail Sabri pada 22 September bahawa kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, kebenaran ini diberikan pada 11 Oktober sekali gus menceriakan Keluarga Malaysia yang kini dapat bersua muka dengan ibu bapa, ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-taulan yang sekian lama berpisah.
Dalam konteks luar negara pula, rakyat lega dapat melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen (JIM) mulai 11 Oktober manakala mereka yang terpisah oleh Tambak Johor pula dapat berbuat demikian melalui pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin darat dan udara oleh Ismail Sabri dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mulai 29 November.
Normalisasi dalam kehidupan juga jelas tergambar bila Ismail Sabri buat pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-137 pada 23 November setelah lebih setahun tidak bersidang akibat pandemik.
Ismail Sabri turut melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) pada 1 November bagi meningkatkan keupayaan sektor kesihatan khususnya bagi penghasilan vaksin dalam memastikan negara sentiasa bersiapsiaga berhadapan pandemik pada masa akan datang.
Walaupun wujud keluh-kesah berkenaan isu kenaikan harga barangan, sebenarnya sudah banyak indikator menunjukkan isyarat pemulihan trajektori ekonomi seperti penurunan kecil 1.1 peratus sahaja Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bulanan pada September 2021 walaupun KDNK negara menguncup 4.5 peratus pada suku tahun ketiga 2021.
Begitu juga pelbagai data lain menunjukkan perkembangan positif seperti trend peningkatan penduduk bekerja berterusan pada Oktober 2021 dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang dan pengangguran pada Oktober 2021 menurun kepada kadar terendah sejak April 2020 dengan merekodkan 4.3 peratus.
Begitupun, cabaran seterusnya adalah untuk kita sama-sama mengekalkan kestabilan politik ini dan membantu kerajaan meneruskan kejayaan menangani kemelut kesihatan kepada kejayaan pemulihan bidang ekonomi pula.
DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri.










