fbpx

28 Januari 2022, 7:20 pm

  TERKINI

Tak ikhlas: buka luas ruang politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PRESIDEN UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI penuh berhemah apabila diajukan soalan-soalan `panas’ berkisar partinya, survival Muafakat Nasional (MN) serta tarikh pilihan raya umum ke-15.
Memakai balutan di tengkuk, kesan dari sakit belakang dan leher, Ahmad Zahid, 68, yang ditemui di Parlimen Khamis lalu sesekali diusik wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan ASLINDA NASIR kerana cermatnya berbicara.
“Itu bezanya masa kita waktu muda dulu. Zaman Ketua Pemuda, kita taruk-taruk sahaja tapi saya kini presiden, cakap mesti berlapik, namun saya tahu sesiapa yang `baca’, dia akan faham.
“Bahkan saya dapati, ada kalangan orang yang dulunya cukup prejudis pada saya, tetapi setelah dia mengenal saya, perasaan yang awalnya itu sudah tiada. Mungkin, tak kenal maka tak cinta,” kata beliau.
Berikut pengamatan Ahmad Zahid dalam pertemuan hampir sejam itu.

MINGGUAN Malaysia: Akar umbi masih menjadi pokok utama kepada mana-mana parti politik untuk menang pilihan raya. Apa lagi jika bercakap tentang lokaliti, SOP (Prosedur Operasi Ketat) ketat dan pandemik Covid-19?

AHMAD ZAHID: Kita harus lakukan analisis terhadap keputusan pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Analisis memperlihatkan Barisan Nasional (BN) peroleh 21 kerusi DUN, tetapi undi popular kita cuma berada 38 peratus. Undi lawan politik kita pula berada di tahap 34 peratus, 28 peratus. Itu fakta.
Untuk itu, kita harus lihat bahawa keputusan yang diperoleh PRN Melaka bukan gambaran sebenar yang harus menjadikan kita angkuh. Jauh dari merasakan bahawa kita akan berada di tahap yang sama apabila kita menghadapi PRU15. Hakikat yang harus dilihat adalah akar umbi.
Akar umbi yang menjadi pengundi tegar dan menjadi simpanan tetap kepada calon kita biarpun undi terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan lain. Namun, hakikat yang kita perlu terima ialah bahawa pengundi tegar harus ditangani terlebih dulu. Selain mereka merupakan simpanan tetap kepada mana-mana pilihan raya.
Mereka juga merupakan anggota kepada jentera parti sama ada di Peringkat Daerah Mengundi (PDM) atau DUN dan Parlimen. Jadi, apa yang UMNO dan BN lihat, jika kita peroleh undi selain daripada pengundi tegar merupakan satu bonus. Dan satu perkara yang harus diterima dari segi hakikat politik ialah UMNO tidak boleh menang dengan hanya bersandarkan undi ahli UMNO sahaja, ia mesti diperoleh dari pengundi luar UMNO. Pengundi tegar ialah mereka yang menerima kekalahan UMNO dan kebanyakan mereka tidak anggotai mana-mana parti. Maka, kebolehmenangan ini bersandarkan satu perkhidmatan sebagai track record yang telah diperoleh. Dan apakah aku janji yang boleh diterjemahkan untuk melaksanakan dalam 100 hari pertama dan dalam tempoh untuk dua tahun setengah iaitu separuh penggal dan satu penggal sepenuhnya.
Perkara itu yang menjadi asas kepada UMNO memberitahu akar umbi bahawa track record mesti suatu realiti yang perlu dihidangkan ikut mereka membuat perbandingan kerana UMNO/BN dimulakan dengan Parti Perikatan/BN berada dalam persada kepimpinan negara dalam kerajaan selama 63 tahun.
Selepas itu, apabila kejutan berlaku dengan tidak memberikan kelebihan kepada UMNO dan BN, maka rakyat khususnya pengundi mempunyai pengalaman selama 22 bulan (semasa diperintah Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018) untuk buat perbandingan. Selepas itu, perbandingan dibuat lagi di bawah Perikatan Nasional selama 17 bulan (bermula 1 Mac 2020). Jadi dalam senario begitu kita hidang pada rakyat bahawa berdasarkan rekod dan kajian perbandingan, maka ia memberi kelebihan kepada UMNO BN.
Dalam masa yang sama, kita juga merasakan suatu harus dilakukan dan suatu game changer termasuk mengekalkan sedikit muka lama, ramaikan muka baharu dan mereka yang ada kelayakan sekurang-kurangnya diploma dan berumur 50 tahun ke bawah. Tiga kritieria ini sebagai konsep ‘wali’. Perkara ini yang menjadi pegangan kepada kepimpinan utama UMNO.

Sepanjang tiga tahun sejak 2018, tak kedengaran UMNO berpecah, baik di peringkat cawangan mahupun bahagian yang bubar.

Saya harus terima hakikat, usaha untuk memecahkan UMNO dari luar dan dari dalam berjalan. Ia berlaku apabila 22 daripada 25 ketua bahagian di Sabah bukan sahaja meletakkan jawatan tetapi juga berhasrat membubarkan UMNO di 22 bahagian berkenaan.
Namun, biarpun tidak mempunyai tarbiah, kita sering menyuntik rasa kebersamaan di kalangan kepimpinan dan ahli UMNO. Maka ada hikmah dengan apa yang berlaku dalam kalangan kepimpinan lama UMNO di bahagian-bahagian, dari 181 bahagian, ada satu perubahan telah berlaku tidak kurang 42 peratus kepimpinan ini telah bertukar tangan sama ada yang letak jawatan atau mahu undurkan diri atau rasakan UMNO tidak ada masa depan lagi. Inilah realiti politik yang telah kita tangani dan peremajaan UMNO sedang dilakukan.

Adakah Datuk Seri memberi bayangan terdapat `gunting dalam lipatan’ dalam UMNO?

Saya tidak ke arah itu tetapi setiap orang politik pasti mempunyai cita-cita politik. Jadi untuk terjemahkan cita-cita itu, jangan sampai menjejaskan prinsip perjuangan penubuhan UMNO yang tercatat dalam Perlembagaan. Untuk menangani, apatah lagi menyantuni permasalahan yang wujud, tentunya pendekatan-pendekatan harus dilakukan dengan ‘bil hikmah wa bil hasanah’ harus ada ‘political wisdom’.

Selesakah dengan keadaan sekarang, parti, yakni UMNO menguasai kerajaan?

Kita tidak pernah dan tidak harus ada ada perasaan selesa. Jika tidak, kita akan terpinggir. Untuk itu, kita telah melalui tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kita menang, dan kita melalui PRN di Sabah dan Melaka. Kita tak boleh guna acuan yang sama untuk setiap PRK dengan setiap PRN, kita harus dinamik. Maka kedinamikan itulah yang kita perlu sesuaikan ia berpijak di bumi yang mana kita letakkan calon-calon kita.

Sudah menjadi rahsia umum apabila terdapat pemimpin kanan UMNO yang tidak sehaluan dnegan Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri menanganinya?

Setiap ketika permasalahan dalaman pasti wujud di mana-mana parti politik. Malah, setiap Presiden UMNO yang menakhodai akan alami masalah. Kita lihat pada zaman Tunku Abdul Rahman. Suatu ketika UMNO berpecah dua, ada Kumpulan A dan kumpulan B, itu berlaku pada 1987. Apatah lagi dalam situasi sekarang yang mana presiden UMNO bukan dalam kerajaan. Tetapi jika kita dapat adunkan rasa kekitaan dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO di mana kita mesti meraikan perbezaan pendapat. Tetapi jika parti telah membuat keputusan, maka keputusan parti itu harus dipatuhi.
Untuk itu, tidak timbul masalah tutup mulut mana-mana individu atau kumpulan jika ada. Kita harus memberikan perasaan bahawa pemimpin itu benar setiap masa. Dan kita juga harus memikirkan pemimpin itu dia akan tahu setiap masa.
Kalau dua perkara ini kita dapat ketepikan, maka keterbukaan dengan sifat berlapang dada dan terbuka, ia akan merelevankan parti.

Bukankah ini mewujudkan dilema Datuk Seri sebagai presiden bila ada ahli Majlis Tertinggi (MT) tiba-tiba melanggar keputusan MT?

Dalam sejarah parti politik di seluruh dunia, pasti ada sekurang-kurangnya 22 peratus ‘anti establishment’ dalam mana-mana organisasi. Kecualilah parti yang berdasarkan ideologi dan ekstrem. Saya menerima ini sebagai cabaran.
Hakikat politik, ada permasalahan, tetapi tidak mustahil ia diselesaikan. Maka sebab itu, jika ia menjadi keputusan parti, keputusan itu harus dipatuhi semua pihak walaupun kita meraikan perbezaan pandangan dan pendapat.

UMNO MENCARI HAKIKAT POLITIK BAHARU

Bagaimana Datuk Seri melihat masa depan MN?

Yang diharapkan akar umbi UMNO, Pas dan orang Islam yang bukan menjadi ahli kedua-dua parti adalah semangat penyatuan Ummah. Dan 14 September 2019 apabila piagam itu ditandatangani, sedaya mungkin kita pertahankan MN. Tetapi, jika ada pihak merasakan mereka hanya akan menunggang kuda-kuda yang menang atau kuda-kuda yang dijangka menang, maka apa yang berlaku adalah pengajaran yang harus kita analisis dan buat penilaian.

Adakah kerjasama ummah bermakna perlu muktamadkan pembahagian kerusi?

Ia tidak ada kesamarataan dalam mana-mana parti politik. Pertama, ia harus berpegang kepada jumlah keahlian. Kedua, berapa jumlah ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen di satu kawasan parlimen. Dan yang ketiga, adalah penguasaan kerajaan negeri.
Jika kita mahu menggunakan konsep kesamarataan, maka keadilan itu mustahil dapat diterjemahkan.

Adakah ini yang terjadi di Melaka sehingga menyebabkan UMNO bertanding solo?

Dari awal, saya berpegang kepada prinsip bahawa apabila UMNO telah tidak cukup kerusi dalam PRU14, maka pada ketika paling sesuai untuk membuktikan UMNO/BN ini masih relevan. Bagaimana kita nak buktikannya jika kita tidak berdiri di atas kaki sendiri bersama rakan-rakan lain dalam parti komponen? Maka itulah yang telah kita buktikan di Melaka.

Kelihatannya UMNO sahaja dilihat beria-ia mahukan MN, sedangkan Pas pula tidak.

Kita sentiasa bersikap husnuzon (bersangka baik) kepada sesiapa sahaja sama ada dalam rakan parti atau di luar parti. Bila itu menjadi suatu perkara yang kita bawa, maka itulah yang kita laksanakan, kita tidak mahu hanya perjanjian di atas kertas atau dalam pidato-pidato kita, kita bercakap dari segi penyatuan.
Tetapi dalam pelaksanaan, ia tidak dijalankan kerana kita harus berpegang kepada hakikatnya bahawa akar umbi di mana parti pun asalkan ia orang Islam dan mereka inginkan penyatuan. Inilah yang kita telah usahakan.

Adakah bermakna kegagalan merealisasikan MN tidak akan menghalang UMNO melihat gabungan lain?

Kita harus membuka ruang politik yang lebih luas. Dalam perkara itu, walaupun kaedah penyatuan ummah kita lakukan, tetapi ketidakikhlasan dijadikan sebagai satu muslihat politik. Saya fikir modifikasi harus dilakukan kerana realiti politik dan landskap politik telah berubah. Maka untuk UMNO terus relevan sebagai parti yang diterajui orang Melayu mesti mencari hakikat baharu politik.

REPTILIA MENUKAR ALAM POLITIKNYA…

Adakah sekarang masa yang tepat untuk adakan PRU15?

Terlalu banyak hipotesis politik, tetapi kita tidak harus menggunakan satu sahaja pilihan. Maka, pilihan-pilihan mengikut masa dan juga mengikut sains dan data harus dijadikan sebagai sandaran untuk penentuan kepada pilihan raya umum ini.
Saya tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah tarikh atau tempoh yang tepat untuk mengadakan pilihan raya umum kerana ia merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Maka pandangan parti hanya boleh diberikan tetapi tentunya seseorang yang menasihatkan Agong mempunyai pertimbangan mengikut perkiraan yang ada pada dirinya.

Mengikut pengamatan parti?

Saya melihat soal masa ini berubah-ubah. Mungkin satu ketika dulu pemimpin berhasrat untuk berjanji mengadakan pilihan raya tiga atau empat bulan selepas kepimpinannya, perkara ini tidak dilakukannya. Mungkin masa itu sesuai pada kita tetapi tidak sesuai pada dia. Akhirnya apa yang dijanjikan jatuh ke laut.
Dalam soal begini, maka tentu pertimbangan politik sahaja. jangan harus dijadikan kayu ukur. Kita harus lihat juga bagaimana perasaan rakyat. Bagaimana kedudukan ekonomi, soal kehidupan rakyat keseluruhannya.
Dalam hal ini, tentunya nasihat yang diberikan akan mengambil faktor untuk mengutamakan rakyat. Tetapi harus diingat kestabilan politik akhirnya dapat memberikan pertumbuhan ekonomi yang baik dan juga soal penyatuan ummah keseluruhannya.
Ini kerana pada 2018, UMNO tidak cukup kerusi dengan parti komponen BN untuk membentuk kerajaan. Hakikat kerajaan yang ada pada ketika itu pun tidak terlalu banyak kelebihannya kecuali jika ada reptilia yang telah menukar alam politiknya. Maka itu yang berlaku menjadi keadaan terlalu rapuh.
Maka kerapuhan itulah yang kita beruntung membeli barangan dengan harga RM1, tetapi kita dapat beli nilai pasarannya RM3. Ertinya dalam satu penggal kita mendapat tiga Perdana Menteri kerana kerapuhan.

Tiada syorlah dari MT UMNO untuk usulkan supaya tarikh PRU15 difikirkan dengan sewajarnya?

Kita boleh memberi pandangan tetapi keputusan untuk pilihan raya umum awal berdasarkan daripada nasihat. Dan nasihat itu sudah tentu mengambil kira sebagai faktor termasuk MoU yang ditandatangani di mana dalam MoU itu pilihan raya boleh diadakan selepas Julai 2022. Kita menghormati MoU itu. Tetapi MoU itu bukan kitab suci, jauh daripada ayat-ayat tercatat dalam Al-Quran. Selain itu, Insya-Allah boleh diubah.- Mingguan Malaysia

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN