SEPANG: Persiapan Tabung Haji (TH) bagi menghadapi musim haji tahun ini telah mencapai 100 peratus, sekali gus memastikan kelancaran urusan kebarangkatan jemaah Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan pertama pada Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H, Mohd Norber Kassim berkata, hanya beberapa penyesuaian kecil mungkin dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan baharu.
“Saya boleh katakan persiapan hampir 100 peratus. Mungkin ada sedikit penyesuaian di sana sini disebabkan mungkin ada perubahan baharu. Secara keseluruhannya, kita telah bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Media bagi Operasi Musim Haji 1447H/ 2026M di Movenpick Hotel & Convention Center (MHCC) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi Haji Tanah Air melibatkan lapan stesen TH di seluruh negara dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertindak sebagai stesen utama.
Jelasnya, semua perancangan juga telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Penyelesaian Operasi Haji Tanah Air yang diadakan bagi memastikan kelancaran setiap urusan.
“Di Tanah Air, persiapan ini melibatkan lapan stesen. Sepang merupakan stesen utama manakala tujuh lagi adalah stesen luar di seluruh negara.
“Kesemuanya telah selesai dari segi Mesyuarat Penyelesaian Operasi Haji Tanah Air. Dalam mesyuarat ini, TH telah berbincang dengan semua agensi yang terlibat di stesen berkenaan untuk memastikan urusan kebarangkatan jemaah berjalan dengan lancar dan sempurna,” ujarnya.
Mohd Norber berkata, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas ke Tanah Suci, Sabtu ini dengan pemeriksaan masuk atau lapor diri akan bermula sehari lebih awal, iaitu pada pukul 10 malam, pada Khamis.
Menurutnya, bagi penerbangan pertama, seramai 284 jemaah haji akan berlepas menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Dalam pada itu, beliau berkata, TH turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan jemaah haji yang disifatkan sebagai keperluan penting dalam memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci.
Selain itu, katanya, pengurusan aktiviti berkaitan haji seperti tawaran menunaikan haji, jadual penerbangan, urusan kursus, visa dan pasport, penyelarasan penerbangan serta kelengkapan jemaah telah dilaksanakan dengan teratur.
“Kesemua maklumat tersebut telah dikongsikan dan disampaikan kepada bakal jemaah haji sebagai persediaan menyeluruh sebelum berlepas ke Tanah Suci. Dalam usaha memastikan pengurusan yang cekap, TH juga telah membuat persiapan rapi melibatkan petugas-petugas terlatih.
“Persiapan ini merangkumi penugasan petugas yang akan membantu dan membimbing jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci serta di tanah air, sekali gus memastikan setiap urusan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan sempurna,” ujarnya. – UTUSAN










