Selangor masih milik PH - Utusan Malaysia

Selangor masih milik PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEKALAHAN teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar dijadikan pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menilai semula kelemahan yang ada.
Itu tegas Ketua Penerangan PKR Selangor, HALIMEY ABU BAKAR dalam memastikan PH khususnya PKR mampu kembali mencuri hati rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SYAWAL ROSLI, beliau menyatakan keyakinan PH masih lagi merupakan pilihan anak muda selain relevan di kawasan bandar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berazam terus berusaha dan berkhidmat sebaik mungkin bagi mengembalikan imej parti yang tercalar dan bangkit semula menawan hati rakyat.

Ikuti temu bual di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

UTUSAN: Masih teruskan bantuan bakul makanan?
HALIMEY: Buat masa sekarang, kita sudah kurangkan sumbangan bakul makanan sebab semua tahu penularan Covid-19 sudah berkurangan. Bagaimanapun, kita tetap berjaga-jaga.
Ketika pandemik melanda dua tahun lepas, kita agihkan bakul makanan melalui Peruntukan Khas Selangor Mesra Rakyat bernilai RM100,000 yang diberikan kepada ADUN untuk disalurkan kepada penduduk terjejas. Sehingga hari ini, sebanyak 2,605 penduduk menerima bantuan tersebut.

Aktiviti bersama rakyat?
Sejak beralih fasa dan banyak aktiviti dibenarkan, saya menerima undangan walimatulurus. Selain itu, kita juga melangsungkan pertandingan PUBG (permainan dalam talian) Piala YB Halimey ADUN Seri Setia yang menyasarkan penyertaan anak muda berusia 18 tahun ke atas.
Beberapa perancangan sudah diatur untuk Disember ini seperti program berkhatan. Ia merupakan program tahunan tetapi terpaksa diberhentikan pada tahun lalu kerana pandemik.
Pada awal tahun depan akan berlangsung program Back To School untuk meringankan beban penduduk dalam kategori B40. Kita juga akan melangsungkan Pertandingan Boling ADUN Seri Setia dengan menjemput ahli majlis dan ketua komuniti.
Sebelum ini, kita mewujudkan sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang selepas menerima permintaan daripada penduduk yang berdepan masalah pengangkutan, tidak berkemampuan, jarak PPV yang jauh dan masalah kewangan.

Bajet Negeri Selangor 2022 akan dibentangkan dalam masa terdekat. Apa cadangan dari kawasan YB (Yang Berhormat)?
Saya sendiri bawa beberapa isu untuk diambil berat oleh kerajaan negeri. Pertama, berkaitan banjir di Taman Mesra Batu 3 dan Taman TTDI Jaya. Dua kawasan ini menimbulkan kerisauan bila banjir. Kita minta kerajaan negeri selesaikan atau kaedah untuk mengurangkan masalah ini.
Kedua, kita mahu kerajaan negeri mengambil tanggungjawab tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Skim ini penting untuk rakyat Selangor. Penting untuk kerajaan sama ada tambah (peruntukan) kalau peruntukan habis pada pertengahan tahun. Kerajaan kena cari jalan untuk penuhinya bagi tempoh setahun ini.
Contohnya, pendidikan. Setiap pelajar di Selangor layak menerima sumbangan RM1,000 apabila masuk universiti tetapi peruntukan tersebut dah habis awal, maknanya tak sampai setahun. Jadi, kita minta biarlah genapkan setahun.
Ketiga, saya suarakan isu tanah-tanah terbiar. Kita mahu tahu apa tindakan kerajaan. Ini hasil kerajaan yang mereka perlu ambil maklum. Ia melibatkan tanah kerajaan dan swasta yang tidak diusahakan.

Ada perancangan untuk bina rumah mampu milik?
Ada. Projek Rumah Selangor akan dibina tetapi bukanlah dalam masa terdekat. Tanah sudah dikenal pasti di PJS 5 tapi ambil masa antara dua hingga tiga tahun lagi untuk didirikan.

PRN MELAKA

Jika dilihat, Barisan Nasional (BN) kembali merampas pentadbiran di PRN Melaka dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK). Boleh gugat kedudukan PH di Selangor?
Apa yang saya lihat, ia merupakan pengajaran untuk semua pihak. Kita akui, PKR tiada kerusi yang menang. Saya juga berpendapat, semua pihak sama ada pimpinan negeri, pimpinan pusat mahupun cabang perlu bincang penyebab kekalahan. Adakah sebab calon, jentera atau organisasi yang tak menepati (pilihan) pengundi? Ada beberapa sebab yang perlu kita belajar daripada kekalahan itu.

Setuju atau tidak, kekalahan PH sebab pemilihan calon muda yang tidak dikenali seperti Farzana Hayani Mohd. Nasir?
Meletakkan calon muda berusia 21 tahun yang tidak dikenali merupakan risiko tapi ia adalah langkah ke hadapan yang dibawa PH untuk membuktikan anak muda juga layak dicalonkan dalam pilihan raya. Kalah atau menang, isu kedua.
Sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menang pada usia 24 tahun, Nik Nazmi Nik Ahmad menang pada usia 26 tahun dan P. Prabakaran pada usia 22 tahun. Kita tidak mahu menjadi seperti BN yang asyik-asyik letak calon recycle.

Keputusan PRN Melaka beri kesan di Selangor sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat?
Kita yakin BN akan desak untuk adakan PRU cepat berikutan kemenangan di Melaka. Kalau kalah, sudah tentu mereka akan minta untuk lambatkan. Sedikit sebanyak akan beri kesan juga di Selangor, mungkin kurang daripada 50 peratus.
Ini kerana jika dilihat kekalahan PH di Melaka disebabkan pengundi tempatan tidak pulang. Ini yang kita amat risau. Apabila peratusan pengundi kurang iaitu tak sampai 70 peratus yang keluar mengundi, tak kira PRN atau PRU, kita harus kaji kenapa.
Pun begitu, di bandar Melaka kemenangan masih berpihak kepada PH, cuma tak semajoriti seperti dulu, ada juga kita kehilangan kerusi. Insya-Allah, di bandar kita masih ada sokongan, kekuatan dan kemenangan di Selangor. Pun begitu, kita perlu kaji, belajar, mengapa pengundi masih tak keluar. Ini masalah paling besar.
Dan saya berpandangan, Akta Anti Lompat Parti harus dipercepatkan sebab pengundi sekarang tak percaya dengan orang politik. Di Melaka, saya berjumpa dengan beberapa orang dan mereka memberitahu salah satu sebab mereka malas nak mengundi kerana ada orang politik yang lompat parti. Mereka kata orang politik sama sahaja.

Bolehkah akta ini diluluskan sebab lompat parti adalah survival dalam politik?
Kena buat juga sebab kalau tidak PRU-15 akan jadi macam Melaka. Orang takkan keluar mengundi dan mungkin akan jadi lebih teruk lagi. Jadi, bila orang tak keluar mengundi akan beri kesan besar kepada PH.

Dalam media sosial kata kekalahan teruk di Melaka sebab manifesto yang gagal ditunaikan sepanjang PH mentadbir negara. Komen?
Tempoh 22 bulan adalah satu jangka masa yang pendek. Banyak perkara perlu diselesaikan termasuk masalah-masalah lama. Tidak mungkin semua manifesto dapat dilaksanakan dalam tempoh itu. BN pun 10, 15 tahun masih lagi banyak tak dapat laksanakan dalam manifesto dulu. Saya rasa tidak adil menghukum PH kerana tempoh mentadbir negara terlalu singkat.
Di Selangor, banyak telah diselesaikan. Malahan manifesto kita setiap penggal ditambah baik. Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dulu bermula sedikit kini sudah ada lebih 30 inisiatif. Inilah peluang diberi rakyat untuk kita perintah lama.

DESAK ANWAR
LETAK JAWATAN

Wajarkah ADUN Bilut, Lee Chin Chen mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim letak jawatan?
Kenyataan Chin Chen tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati semangat perpaduan dan konsensus dalam PH. Tak adil salahkan Anwar seorang kerana kita ada kesepakatan dalam Majlis Presiden PH. Tiga parti duduk dan berbincang bersama berkaitan manifesto, gerak kerja dan sasaran. Kenapa nak salahkan Anwar? Adakah kerana dia Presiden dan Ketua Pembangkang? Tidak adil. Kalau nak ikut, bilangan kerusi DAP juga jatuh. Mereka kalah dua kerusi di Melaka dan kurangnya majoriti kemenangan mereka.
Jadi, adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam komponen PH untuk menuding jari kepada Ketua Pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau semata-mata. Jangan hanya menjulang nama Anwar ketika beroleh kemenangan tetapi dipijak apabila menghadapi kekalahan. PH sebaliknya perlu melakukan perubahan khususnya dalam strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda serta bagaimana untuk menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi yang merupakan antara faktor utama kekalahan pada PRN Melaka.
Pesanan ikhlas buat semua pimpinan parti-parti komponen dalam PH agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan. Jangan sampai terikut-ikut rentak dan sentimen yang dibawakan penyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dengan semberono membuat kenyataan melatah, di mana beliau mengatakan keputusan PRN Melaka membuktikan PH tidak boleh menang tanpa kehadiran Dr. Mahathir dalam gabungan tersebut dan rakyat telah menolak Anwar, Lim Kit Siang serta Mat Sabu (Mohamad Sabu)
Kepada ADUN Bilut, ingatlah, sentiasalah menghormati pimpinan utama kerana setiap perjuangan yang berjaya adalah perjuangan yang berdisiplin dan memelihara adab berpolitik. Ini bukan masa menjadi ibarat monyet di hutan dan bergerak tanpa struktur. Itu adalah kebudak-budakan, merugikan dan ia hanya menampakkan kebodohan diri sendiri. Apatah lagi anda hanya akan menjadi suara kepada pihak musuh PH. Peliharalah hubungan sesama parti komponen dalam PH dan jangan sampai anda dijadikan alat dan dipergunakan oleh musuh.

PKR ada pemimpin pelapis?
Kita ada pelapis tapi masih perlu polish lagi. Sebab itu saya katakan, tiada seorang pun yang tahan diuji seperti Anwar. Saya sendiri tak tahan jika diuji sedemikian rupa.

Kaedah terbaik untuk tarik sokongan anak muda?
Di Selangor ada Penggerak Belia Selangor (PBS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri di setiap DUN. Tujuannya untuk tarik anak muda bersama pemimpin untuk membantu masyarakat sekiranya ada bencana dan sebagainya.
Sebelum mengundi perlu ada semangat dan minat untuk berada dalam kelompok masyarakat. Anak muda sekarang ini tak minat untuk ketahui tentang mengundi atau PRU. Mereka tidak didedahkan dan tidak didekati. Bila wujudkan PBS, anak muda ini didedahkan dengan kepimpinan, kemasyarakatan dan pilihan raya. Kesannya, alhamdulillah, kita tengok mereka sudah mengetahui kepentingan pilihan raya. Apabila mereka sudah didedahkan dengan perkara ini, maka mereka akan memilih calon dengan bijak. Di Selangor ada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan anak muda iaitu PBS, Selangor Volunteer dan Team Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN