MUKADIMAH
MINAT menulis sejak berusia 12 tahun membuatkan BULBIR SINGH mengirim hampir 10,000 pucuk surat kepada syarikat media arus perdana dalam usaha memberi pendedahan dan ilmu berkaitan isu kepenggunaan.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila akhbar Utusan Malaysia menyediakan ruang untuk bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan itu menulis dalam kolum Panduan Pengguna yang diterbitkan pada setiap minggu selama lima tahun bermula 1975.
Usahanya tidak berhenti di situ, Bulbir, 81, yang juga bekas tutor di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto AMIR KHALID, melahirkan hasrat untuk terus memperjuangkan nasib pengguna sehingga akhir hayat walaupun sesetengah pihak mengecam usahanya yang dianggap tidak berbaloi.
UTUSAN: Bagaimana anda boleh terlibat dalam Persatuan Pengguna Negeri Sembilan?
BULBIR: Ketika itu terdapat isu peningkatan harga barangan dari 20 sen ke 25 sen di kedai roti. Kenaikan harga itu tidak masuk akal kerana tanpa sebab munasabah sehingga mengundang kemarahan orang ramai. Jadi, atas perbincangan dengan beberapa orang, saya menulis aduan tersebut di akhbar tempatan dan ia mendapat liputan.
Semakin hari semakin banyak isu melibatkan pengguna. Antaranya, pengguna ditindas terutama berkaitan harga barangan dan tiada maklumat mengenai penggunaan bahan kimia berbahaya dalam produk kecantikan di pasaran. Perkara ini tidak betul, bagaimana peniaga boleh menaikkan harga ikut suka hati? Di mana tanggungjawab kerajaan dalam mengawal harga dan memastikan sesuatu produk itu selamat?
Bukan itu sahaja, hak pengguna juga dinafikan dalam mendapatkan maklumat. Jadi, saya tidak boleh duduk diam, sesuatu perlu dilakukan.
Pada 1973 saya menubuhkan Persatuan Pengguna Negeri Sembilan dalam usaha membantu dan bersuara sekiranya pengguna ditindas tidak kira oleh sektor kerajaan atau swasta. Ketika itu saya tiada pekerja yang membantu. Saya sendiri turun pandang membuat pemantauan sama ada jika terdapat aduan atau tidak. Kelantangan suara kita mampu mengubah nasib pengguna.
Fokus perjuangan?
Apa jua berkaitan masalah pengguna seperti inflasi, kenaikan harga barangan, elektrik dan apa jua masalah asas pengguna. Kita akan bantu sehingga ia diselesaikan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.
Kenapa memilih bersuara dalam surat khabar?
Kerana suara kita didengari. Orang ketika itu membaca akhbar, malah menteri dan pihak berwajib juga mengambil tahu isu rakyat melalui akhbar. Jadi, apa jua yang saya tulis di akhbar akan diambil tindakan sewajarnya.
Malah ketika itu, Tan Sri Rafidah Aziz sebagai tulang belakang dalam Majlis Pelindung dan Penasihat Pengguna (1973-1976) beberapa kali berjumpa saya untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah membabitkan pengguna. Ini bermakna penulisan saya berjaya membuka mata pemimpin negara dan rakyat.
Masih relevan lagi peranan persatuan pengguna di negara ini?
Ia hanya relevan jika mereka ikhlas dalam perjuangan dan tidak mengambil peruntukan daripada kerajaan. Jika masih ambil peruntukan kerajaan, maka suara anda terhad kerana dikawal oleh kerajaan. Begitu juga jangan sesekali mudah dibeli dengan wang ringgit kerana rasuah hanya akan menyebabkan rakyat terus ditekan.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna mewakili suara pengguna kerana itu negara perlu ada tribunal supaya dapat membuat aduan dan tuntutan sekiranya pengguna dinafikan hak agar mendapat hak yang adil serta saksama. Peranan tribunal juga perlu secara menyeluruh. Mereka perlu tegas dan sekiranya sesuatu barang atau perkhidmatan mahu dinaikkan harga. Di Amerika Syarikat, ada Consumer Fair yang boleh terus bangkitan isu-isu kepada kerajaan dan tindakan segera diambil.
Jika dilihat, persatuan pengguna di Pulau Pinang tidak mengambil duit kerajaan, kerana itu mereka lantang dan tidak takut untuk terus bersuara mempertahankan hak pengguna. Mereka boleh bersuara dalam apa jua isu yang menekan pengguna tanpa perlu rasa takut dan disekat.
Adakah pengguna tahu hak mereka?
Mereka semakin sedar. Anak muda terutamanya rajin membuat kajian di internet sebelum membeli agar tidak mudah tertipu. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui tentang perkara asas.
Pengguna hari ini juga semakin teliti dengan membaca kandungan label sebelum membeli. Baguslah begitu. Sayangnya mereka kurang membuat aduan kepada NGO jika tidak berpuas hati, mungkin takut atau tidak tahu cara.
Pernah diugut?
Dua kali saya diugut, dimarah dan diherdik ketika dalam mesyuarat bersama NGO peniaga kerana menyuarakan pandangan yang membelakangi tujuan mereka. Saya dilihat mahu menutup periuk nasi mereka tetapi sebenarnya saya hanya mempertikaikan dan minta mereka kaji semula perancangan agar lebih adil kepada pengguna.
Selain itu, saya juga pernah dikecam oleh orang ramai yang memandang remeh usaha saya. Mereka kata, “Apa you dapat buat ini? You complains di sana di sini, berkesan ke?”
Anugerah pernah diterima?
Saya pernah dilantik sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbadanan Seremban dari Mac 1979 hingga Disember 1980 semasa Tan Sri Dr. Rais Yatim menjadi Menteri Besar.
Rais dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ketika menjadi Menteri Besar amat menyukai perkara-perkara yang dilakukan oleh saya. Kami kerap berbincang cara untuk membantu dan meringankan beban rakyat ketika itu.
Tidak penat bekerja pada usia emas?
Saya buat perkara yang saya suka. Saya gembira begini. Isteri dan anak-anak juga memahami. Saya akan terus bersuara untuk rakyat. Kita perlu bagi idea kepada kerajaan agar mereka dapat lakukan sesuatu untuk kepentingan pengguna.
Saya bukan mahu mengejar nama, pangkat apatah lagi kemasyhuran. Saya hanya mahu pengguna mendapat hak mereka dengan adil serta saksama. Saya mahu pengguna bersuara jika dianiaya.
Saya mahu lihat NGO pengguna terus aktif. I know it is not easy but you have to be brave. Mereka tidak perlu takut jika pandangan mereka membelakangi kerajaan dalam sesuatu isu kerana itu hak yang perlu ditegakkan. Takkanlah kita mahu melihat pengguna ditekan dan terkesan ekoran keputusan yang tidak adil dibuat oleh kerajaan atau peniaga. Kita perlu bagi penyelesaian menang menang kepada kerajaan, peniaga dan pengguna.











