Pastikan calon gerun rasuah - Utusan Malaysia

Pastikan calon gerun rasuah

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disaran memahami kesalahan-kesalahan pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen yang berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peruntukan yang diper­lu­kan sudah wujud dalam un­dang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasu­ah dan salah guna kuasa men­jelang PRN Melaka. Bahkan di bawah peruntukan AKPR 1954 mengandungi semua ben­tuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas, iaitu Seksyen 8 (penjamuan), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar), Seksyen 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya.

Tambahan pula, akta ini memperuntukkan hukuman lebih berat termasuk boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi. Sebenarnya hukuman sebegini jika dikuatkuasakan boleh menakutkan dan menjejaskan masa depan ahli politik yang melakukan kesalahan.

SEKSYEN 8 – PENJAMUAN

Bagi Seksyen 8, setiap calon boleh dianggap mela­kukan rasuah dengan me­na­­warkan makanan, mi­nu­man kepada pengundi ke­rana tindakan tersebut me­nunjukkan penghargaan kepada pengundi, lebih-lebih lagi bila calon itu mempunyai hasrat supaya me­ngundi diri­nya. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut: “…dan tiap-tiap pe­milih atau pe­ngundi yang se­ca­ra rasuah menerima atau me­ngambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau be­kalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘se­ca­ra rasuah’, mempunyai ni­at dengan memberi maka­nan atau minuman yang dita­­warkan tersebut. Sudah ten­tu modus amalan sebegini ke­rap berlaku dalam politik Malaysia.

SEKSYEN 9 – PENGARUH TIDAK WAJAR

Seksyen 9 merujuk kepada pengaruh yang tidak wajar yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.

SEKSYEN 10 – PENYOGOKAN

Penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika proses pilihan raya.

Politik wang tidak ada toleransi, justeru tidak harus berlaku pada mana-mana parti politik. Untuk mengatasi masalah yang rumit ini, kerajaan perlu memperkenalkan Pembiayaan Dana Politik. Akta ini dapat dijadikan panduan untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

SEKSYEN 19 – HAD PERBELANJAAN

Satu lagi perkara yang perlu diambil maklum oleh semua parti politik adalah mengetahui had perbelanjaan semasa pilihan raya.
Mengikut Seksyen 19 ini, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya adalah RM150,000 bagi setiap kerusi negeri dan RM200,000 bagi kerusi parlimen. Sudah menjadi pengetahuan umum, berjuta-juta dibelanjakan di setiap kawasan semasa pilihan raya. Laporan perbelanjan perlu dikemukakan calon kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan. Majoriti calon tidak mematuhi kehendak akta ini.

SPR TIADA KUASA

Undang undang AKPR 1954 agak ketat tetapi malangnya SPR tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan terhadap calon yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Sebenarnya, kuasa berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang ada lebih menjurus kepada bidang SPRM dan juga PDRM. Justeru, SPR bolehlah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kepada SPRM setiap rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam tempoh pilihan raya.

Selain itu, isu pengaruh tidak wajar melibatkan ugutan dan menggunakan kekerasan disalurkan diajukan kepada PDRM.

Sementara undang-undang sedia ada diperkukuhkan, sudah tentu pegawai dan anggota SPR, agensi penguatkuasaan bersedia dan akan mengawasi kegiatan kempen pilihan raya calon dan ejen dalam memastikan tiada yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika.

Parti politik hendaklah mengamalkan proses politik berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti yang dianggap sebagai ‘perbelanjaan undi’ yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihan raya.

HUKUMAN & PENALTI

Dalam keempat empat kesalahan di atas, pesalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda hingga RM5,000, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama lima tahun.

Mana-mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang mana denda lebih tinggi dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Jika sabit kesalahan. Seksyen 25 (1) dan (2) jika sabit kesalahan.

GAGAL MELAPOR PEMBERIAN

Jika sekiranya gagal mela­por pemberian, janji atau ta­waran rasuah di bawah Sek­syen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, akan dikena denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

GAGAL MELAPOR PERMINTAAN

Sementara itu, apabila gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009, akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jangan lupa melaporkan amalan rasuah ketika proses PRN Melaka kepada SPRM. Semua calon dan penyokong perlu menjalankan kempen dalam skop undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala agensi-agensi penguatkuasaan melindungi proses demokrasi bagi membolehkan pilihan raya berjalan dengan bebas, bersih, adil dan berwibawa.

Selepas pilihan raya ini, parti yang menang diharapkan dapat membentuk sebuah kerajan yang berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah yang masih berleluasa demi masa depan negara dan generasi akan datang. Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.

DATUK SERI AKHBAR SATAR ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×