SEJAK 1984, kerajaan melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang kemudian dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). Antara lain, kempen ini bertujuan memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pasca pandemik Covid-19, mempertingkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam memperkukuhkan aliran tunai dan daya saing serta memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan dan perkhidmatan dari negara ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyasarkan mencapai unjuran peningkatan sebanyak 2.5 peratus bagi nilai jualan menerusi KBBM pada tahun ini berbanding prestasi dan nilai jualan tahun lalu. Pada 2020, pelaksanaan kempen itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion berbanding catatan nilai jualan sebanyak RM2.84 bilion pada 2019.
Portal dalam talian dilihat menjadi sumber utama yang membantu merancakkan kempen ini. Misalnya, nilai jualan yang diperoleh melalui portal dalam talian, Marketplace pada 2020 melebihi RM145 juta berbanding 2019 sebanyak RM6.84 juta.
Walaupun ini bukanlah kempen baharu, namun pada ketika kita sedang berhadapan krisis kembar, iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan, kempen ini dilihat sangat signifikan dari segi memacu dan meningkatkan ekonomi negara dan rakyat. Oleh itu, inilah masanya seluruh rakyat bergabung tenaga dengan kerajaan dan peniaga untuk memulihkan semula ekonomi secara keseluruhannya.
Pada hakikatnya, kejayaan atau kegagalan kempen ini bergantung sepenuhnya kepada setiap anggota masyarakat kerana dalam konteks ini, kitalah pengeluar dan kitalah juga pembelinya. Tatkala sekelompok anggota masyarakat bertindak sebagai pengeluar produk atau perkhidmatan, sebahagian besar yang lain pula perlu memainkan peranan sebagai pembeli produk dan perkhidmatan terbabit.
Walaupun prosesnya kelihatan mudah tetapi cabarannya sangat besar. Ini kerana persaingan daripada pelbagai produk luar negara yang lazimnya digambarkan sebagai berjenama dan berkualiti sering menjadi pilihan utama rakyat kita walaupun harganya jauh lebih mahal daripada produk tempatan. Malah tidak keterlaluan juga untuk dikatakan produk luar ini sebenarnya lebih banyak yang bersifat indah khabar dari rupa.
Jadi, tidak mudah untuk kita menjayakan kempen ini. Ia memerlukan tahap kesedaran cukup tinggi dalam kalangan rakyat terutama dari segi perubahan mentaliti, sikap, gaya hidup dan corak pembelian. Yakinlah, sudah ada banyak produk tempatan yang bukan sahaja murah malah jauh lebih baik kualitinya berbanding barangan yang diimport.
Jangan kita terlalu mudah terpedaya dan terpengaruh dengan gaya pengiklanan yang ditonjolkan oleh mereka sehingga kita pinggirkan produk tempatan. Ingat, itu adalah taktik pemasaran mereka semata-mata.
UKUR BAJU
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup yang mendadak impak daripada serangan Covid-19, sudah tiba masanya untuk rakyat mengubah gaya hidup dan corak perbelanjaan. Buanglah jauh-jauh gaya hidup mewah dengan produk berjenama.
Sudah tidak sesuai dan berbaloi lagi untuk meneruskan gaya hidup umpama biar papa asal bergaya, sebaliknya perlu sentiasa ukur baju di badan sendiri. Jadilah pengguna yang bijak dengan menjadikan produk tempatan bukan lagi sebagai pembelian alternatif bila terdesak tetapi sebagai pilihan utama.
Dalam konteks ini, eloklah kita perhalusi sedikit sebanyak kebaikan dan kelebihan membeli produk tempatan. Antara kebaikan langsung kepada pengguna ialah kita dapat menjimatkan perbelanjaan harian.
Harga produk tempatan jauh lebih murah daripada barangan import. Justeru, dengan amalan membeli barangan tempatan sepanjang masa, kita dapat menjimatkan perbelanjaan dan boleh digunakan lebihan wang tersebut untuk tujuan perbelanjaan lain termasuk penabungan.
Pembelian produk tempatan juga secara tidak langsung dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini akan berlaku apabila peningkatan dalam corak pembelian produk tempatan yang akan mencetuskan pertumbuhan lebih banyak industri tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ini sekali gus akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran di samping membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup peniaga tempatan.
Pada masa sama, kita juga dapat membantu mengurangkan pengaliran keluar mata wang negara apabila lebih banyak membeli produk tempatan. Ini bukan sahaja mencetuskan pertumbuhan ekonomi domestik tetapi turut membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak infrastruktur dan prasarana untuk kemudahan rakyat secara keseluruhannya.
Jadi, apa yang kita harapkan ialah rakyat akan bertindak dengan bijak. Lihatlah kempen ini melangkaui sekadar membeli produk semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu tindakan patriotik dan sayangkan negara.
Ringkasnya, kita perlu pupuk semangat sayang dan cintakan negara melalui tindakan membeli produk keluaran tempatan. Pembelian barangan tempatan serta sokongan kepada industri dan pengusaha tempatan juga adalah satu tindakan menzahirkan semangat cintakan negara yang sangat terpuji. Malah melalui tindakan ini lebih mudah untuk kita menzahirkan semangat patriotisme secara harian dan berterusan berbanding mengibarkan Jalur Gemilang yang berlaku hanya pada waktu tertentu.
Tuntasnya, marilah kita ubah tabiat pembelian dengan menyokong penuh dan berbangga dengan produk keluaran tempatan. Jadilah pengguna yang bijak dan terus menzahirkan semangat cintakan negara melalui pembelian produk atau perkhidmatan tempatan. Berniatlah berbelanja untuk Malaysia ini adalah demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










