Kotakan apa yang kita kata - Utusan Malaysia

Kotakan apa yang kita kata

RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di di beberapa bandar raya termasuk Madrid, Sepanyol mendesak supaya keganasan terhadap wanita dihentikan, Sabtu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Sabtu lalu, saya terserempak dengan seorang sahabat lama di satu acara penting di bandar raya Alor Setar. Sahabat itu mengingatkan saya, dua hari sebelum itu, kita menyambut Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (HAPKTW).

Dia minta sekiranya saya ada kesempatan untuk membuat komen sedikit mengenai perkara itu dalam kolum saya ini. Di negara kita, tarikh 25 November berlalu tanpa sebarang insiden, berbeza halnya di luar negara.

Mengikut laporan media luar negara, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di Madrid dan Barcelona, manakala yang lain berkumpul di Perancis, London, Guatemala dan Honduras.

Ada juga perhimpunan penunjuk perasaan di Chile, Mexico dan Venezuela. Mereka mendesak supaya keganasan terhadap wanita dihentikan. Di Turki, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun menggesa kerajaan negara itu supaya menyertai semula perjanjian antarabangsa yang dibentuk untuk melindungi wanita (Konvensyen Istanbul).

Konvensyen Istanbul adalah satu perjanjian hak asasi manusia, inisiatif Majlis Eropah yang dibuka untuk ditandatangani pada 11 Mei 2011 di Istanbul, Turki. Sehingga Mac 2019, konvenysen ini ditandatangani oleh 45 negara dan Kesatuan Eropah.

Pada 12 Mac 2012, Turki menjadi negara pertama yang mengesahkan konvensyen itu, diikuti negara-negara lain. Konvensyen ini mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2014.

Pada 1 Julai lalu, Turki menarik diri.

Menurut Pengarah Komunikasi Jabatan Presiden, Fahrettin Altun, Konvensyen Istanbul dijadikan alat oleh sesetengah pihak untuk menghalalkan hubungan sesama jenis (normalize homosexuality) dan ini bertentangan dengan nilai tradisional kekeluargaan negara itu.

KEGANASAN TERHADAP WANITA

Di bawah Deklarasi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang diisytiharkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1993, istilah ‘keganasan terhadap wanita’ ditakrif sebagai bermaksud apa-apa tindakan keganasan berdasarkan jantina yang mengakibatkan, atau mungkin mengakibatkan, penderitaan fizikal, seksual atau psikologi kepada wanita, termasuk ancaman tindakan seperti itu, paksaan atau perampasan kebebasan sewenang-wenangnya, sama ada berlaku di depan umum atau secara terselindung.’

Data rasmi PBB menunjukkan satu hingga tiga orang wanita menjadi mangsa penderaan dan penganiayaan semasa hayat mereka (lazimnya oleh pasangan intim masing-masing), 137 wanita dibunuh oleh ahli keluarga sendiri setiap hari dan kurang daripada 40 peratus wanita yang menjadi mangsa keganasan ini membuat laporan atau meminta pertolongan daripada pihak lain.

KRISIS SEJAGAT

Ketua Wanita PBB, Sima Bahous menyifatkan keganasan berasaskan jantina (gender-based violence) sebagai satu krisis sejagat. Beliau menambah: “Di semua kawasan kejiranan kita, terdapat wanita dan kanak-kanak perempuan yang hidup dalam bahaya.”

Lebih serius lagi, kebanyakan kes keganasan begini lazimnya tidak dilaporkan, disembunyikan kerana perasaan malu atau takut mangsa akan dikenakan tindak balas oleh pemangsa mereka, selain tidak yakin mendapatkan keadilan daripada pihak berkuasa andainya laporan dibuat oleh mereka.

Menurut Setiausaha Agung PBB, António Guterres, keganasan terhadap wanita ‘boleh dielakkan’ dan ‘perubahan masih boleh dilakukan.’ Hasil satu strategi jangka panjang yang diusahakan oleh PBB dengan kerjasama Kesatuan Eropah (dinamakan The Spotlight Initiative), beliau yakin keganasan terhadap wanita dapat dihapuskan menjelang 2030.

UNDANG-UNDANG GANGGUAN SEKSUAL

Pada 23 November lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menganjurkan bual bicara mengenai gangguan seksual di tempat kerja secara maya. Dirancang sempena menyambut HAPKTW, acara secara dalam talian selama dua jam itu dihadiri ramai hakim dan warga kerja mahkamah syariah di seluruh negara.

Untuk sekian lamanya, banyak pihak termasuk kumpulan advokasi wanita di negara ini menggesa kerajaan segera membentangkan Akta Gangguan Seksual di Parlimen.

Walaupun tort gangguan seksual telah diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohd. Ridzwan lwn. Asmah (2016), dan istilah ‘gangguan seksual’ ditakrif dalam Akta Pekerjaan 1955, kita masih belum lagi ada satu undang-undang gangguan seksual yang lengkap. Walaupun mangsa gangguan seksual ini terdiri daripada lelaki dan wanita, enam dalam sepuluh adalah wanita dan gadis.

Di bawah konsep Keluarga Malaysia serta tiga terasnya (keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran), kerajaan berjanji akan menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga.

Jom, kita kotakan apa yang kita kata.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×