SELASA lalu (2 November 2021), Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah mensabitkan enam pelajar sebuah universiti tempatan dengan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh rakan mereka, Zulfarhan dan menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun ke atas mereka.
Pada awalnya, ketika prosiding bermula pada 29 Januari 2018, semua tertuduh dihadapkan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori. Lebih setahun kemudian, pada 31 Julai 2019, mahkamah mendapati pasukan pendakwaan berjaya mengemukakan satu kes prima facie terhadap semua tertuduh dan memerintahkan mereka membela diri.
Mengambil kira fakta latar belakang itu, tak hairanlah ada yang tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku. Malam Khamis lalu, seorang jiran (pesara kerajaan) tanya saya: “Apakah keluarga Zulfarhan sudah mendapat keadilan daripada mahkamah?”
Saya jawab:“Kes ini baru selesai di Mahkamah Tinggi. Pasukan pendakwa akan merayu ke Mahkamah Rayuan. Kita tunggulah dulu kesudahannya nanti.” Saya jelaskan kepadanya, walaupun di peringkat awal prosiding, hakim bicara puas hati ada kes prima facie kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hakim masih ada budi bicara setelah mendengar keterangan daripada pihak pembelaan untuk membuat keputusan yang berbeza.
Selasa lalu, hakim bicara menyatakan, mahkamah puas hati perbuatan tertuduh menyeksa mangsa dengan seterika stim menyebabkan kematian, tetapi ini bukan satu perancangan untuk membunuh (premeditation to murder).
Hakim bicara juga menyatakan, mahkamah puas hati kesemua enam tertuduh ada niat bersama (common intention) mencederakan mangsa tetapi mereka tidak ada niat untuk membunuh (no intent to murder).
Dalam bahasa undang-undang, tertuduh melakukan actus reus, tetapi tidak ada mens rea untuk membunuh. Kedua-dua elemen ini penting untuk mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Oleh yang demikian, mahkamah mensabitkan enam tertuduh tersebut di bawah Seksyen 299, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 304(a), iaitu penjara maksimum 30 tahun dan denda. Selain enam pelajar tadi yang dikenakan hukuman penjara 18 tahun, ada 12 pelajar lain yang dikenakan hukuman tiga tahun kerana mencederakan si mati.
Jiran saya itu bertanya lagi: “Tidakkah perbuatan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan seterika stim ke beberapa bahagian badan mangsa itu mens rea membunuh?” Saya jawab: “Nampaknya hakim bicara berpendapat belum cukup.”
Pada prosiding minggu lalu itu, ibu Zulfarhan (Hawa Osman) dibenarkan oleh mahkamah membaca satu Victim Impact Statement. Antara lain, katanya: “Saya mahu satu hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan, dan boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya peristiwa malang begini tidak berlaku lagi pada masa depan.”
Bapa Zulfarhan, Zulkarnian Idros, juga kecewa dengan keputusan mahkamah dan hukuman yang dijatuhkan. Ujarnya, dia sudah memaafkan semua tertuduh, namun masih terkilan kerana kecuali satu keluarga tertuduh: “Tidak seorang pun daripada keluarga mereka datang menemui saya untuk memohon maaf bagi anak-anak mereka.”
MANGSA DISEKSA
Mengikut fakta kes yang didedahkan dalam perbicaraan, Zulfarhan telah diseksa dalam satu bilik asrama pada awal pagi 21 Mei 2017, dan diseksa lagi dalam bilik sama pada awal pagi 22 Mei. Fakta ini menunjukkan selain diseksa oleh rakan pelajar universitinya, mangsa juga dikurung secara salah oleh tertuduh selama itu.
Soalnya, bagaimana perkara ini boleh tidak diketahui oleh pihak pengurusan asrama?
Mangsa kemudian ditemui di sebuah apartmen di Serdang pada pukul 8 malam, 1 Jun 2017 (lebih seminggu selepas tarikh dia diseksa). Dia dibawa ke klinik swasta (malangnya doktor di klinik itu tidak membuat apa-apa laporan kepada pihak berkuasa) sebelum akhirnya dikejarkan ke Hospital Serdang. Mangsa menghembus nafas terakhir pada kira-kira 10 malam itu.
Fakta ini menunjukkan mangsa telah diseksa dan dikurung (disembunyikan) untuk satu jangka masa yang lama, tanpa diberi peluang untuk mendapatkan bantuan perubatan.
Fakta ini membuat jiran saya bertanya lagi: “Tidakkah penafian bantuan perubatan ini juga bukti ada mens rea membunuh?” Jawapan saya kepadanya sama juga:
“Nampaknya hakim bicara berpendapat belum cukup.”
Setakat ini, kes kematian Zulfarhan sudah mengambil masa lebih empat tahun. Dia mati pada Jun 2017 dan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kematiannya diumumkan pada 2 November 2021. Kita sukar meramalkan bila rayuan kes ini akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melihat kes penyeksaan Zulfarhan yang membawa kepada kematiannya sebagai a heinous act (satu perbuatan keji). Beliau mahu tragedi ini dijadikan pengajaran kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di negara lain, andainya peristiwa begini berlaku dalam kampus universiti mereka, pihak pengurusan atau pentadbiran universiti boleh dikenakan tuntutan oleh keluarga mangsa kerana melakukan wrongful death (kematian salah), sekiranya hal keadaan seperti berikut boleh dibuktikan:
Sekiranya kematian itu berlaku dalam kawasan kampus disebabkan kelemahan atau ketiadaan perkhidmatan kawalan keselamatan yang dijanjikan.
Sekiranya kematian itu berlaku dalam kawasan kampus atau tempat penginapan pelajar disebabkan pengurusan atau pentadbiran universiti gagal mengesan dan menghalang aktiviti membuli, mendera, menyeksa atau amalan (ritual) lain yang serupa dengannya.
Sekiranya seorang pelajar itu dikehendaki berkongsi bilik dengan pelajar lain yang boleh mendatangkan bahaya atau kecederaan kepada pelajar lain.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










