Kawasan majoriti Melayu DUN Melaka: Sejauh manakah pentingnya? - Utusan Malaysia

Kawasan majoriti Melayu DUN Melaka: Sejauh manakah pentingnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAWASAN majoriti pengundi bangsa Melayu penting kedudukannya dalam menentukan parti politik manakah yang bakal menerajui kerajaan negeri Melaka selepas PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

Hasil keputusan kawasan majoriti pengundi Melayu di Melaka ini bukan sahaja penting bagi pembentukan kerajaan Melaka, tetapi juga akan memberi satu gambaran kasar kepada arah tuju dan pola sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan dalam tempoh masa tidak lama lagi.

Persaingan parti-parti politik utama dalam PRN Melaka iaitu Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN)-Pakatan Harapan (PH) akan memberikan makna besar kepada analisis politik.

Parti-parti politik kecil yang lain juga agak penting tetapi tumpuan adalah kepada tiga gabungan politik ini yang bertanding di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebanyak 19 kerusi DUN yang boleh ditakrifkan sebagai kerusi majoriti pengundi bangsa Melayu kerana mempunyai lebih 60 peratus pengundi bangsa Melayu.

Kerusi DUN inilah yang akan mampu menentukan parti politik manakah yang akan mampu membentuk jumlah majoriti (iaitu sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN) bagi membentuk majoriti mudah (simple majority).

Sebanyak sembilan kerusi DUN yang terdiri daripada majoriti pengundi kaum Cina atau peratusan besar pengundi kaum Cina dan kaum bukan Melayunya adalah bukan kupasan utama dalam penulisan ini.

Ia disentuh secara umum di mana berkaitan sahaja. Berdasarkan analisis dan senario politik pasca PRU-14, kawasan DUN majoriti kaum Cina (dan yang besar peratus pengundi bukan Melayu) agak sukar bagi di kuasai oleh parti politik berasaskan orang-orang Melayu-Islam.

Kerusi-kerusi DUN seperti N20 Kota Laksamana, N19 Kesidang, N22 Bandar Hilir dan N16 Ayer Keroh adalah Kawasan DUN yang mempunyai pengaruh PH (khususnya DAP) yang sangat kuat dan sukar ditembusi dan dimenangi oleh calon BN atau PN Melayu-Islam (dengan andaian senario politik PRU-14 tidak berubah).

DUN Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh adalah masing-masing dimenangi oleh calon PH dengan majoriti besar masing-masing 16,173 undi, 14,612 undi, 11,313 dan 9,261 undi majoriti.

Dengan kemenangan majoriti besar dalam PRU-14, Mei 2018 itu adalah agak sukar bagi calon-calon BN atau PN mampu menewaskan calon PH dalam PRN 20 November ini. Situasi trend sokongan pengundi semasa dilihat masih tidak banyak berubah.

Berdasarkan asas kawasan DUN majoriti kaum Cina/bukan Melayu ini, PH mempunyai laluan yang tidak sukar bagi mendapatkan jumlah 15 kerusi DUN bagi membentuk majoriti mudah 15 kerusi.

Sebanyak lapan atau sembilan kerusi DUN majoriti kaum Cina (atau peratusan besar pengundi Cina) dijangkakan akan dimenangi oleh calon PH sama ada DAP atau PKR kaum Cina dengan agak mudah. Jika andaian ini tepat, maka PH hanya memerlukan tujuh atau lapan kerusi sahaja daripada kawasan majoriti pengundi bangsa Melayu.

GERAK HATI

Dengan perpecahan undi yang berkemungkinan besar berlaku antara BN/UMNO dan PN di Kawasan kerusi DUN majoriti Melayu akan memberi laluan mudah kepada calon-calon PH (PKR atau Amanah) untuk menang sebanyak enam atau tujuh kerusi DUN.

Pengundi Melayu di Kawasan DUN majoriti Melayu perlu benar-benar memahami situasi ini, sekiranya orang-orang Melayu Melaka tidak mahu kembali berada di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan PH.

Adakah orang Melayu Melaka berpuas hati dengan pentadbiran PH selama 22 bulan sebelum 1 Mac 2020? Kalau orang-orang Melayu Melaka merasa tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PH, tindakan bijak dalam PRN kali ini perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan benar-benar bijak.

Sebanyak 19 kerusi DUN majoriti bangsa Melayu boleh menentukan kerajaan negeri Melaka. Tiga parti utama yang bertanding dalam PRN 2021 di kesemua 19 kawasan majoriti Melayu ialah BN-PN-PH. Pengundi Melayu hanya perlu secara majoriti memilih satu parti sahaja: iaitu sama ada PN, BN atau PH.

Sekira tidak terbentuk tumpuan pengundian kepada hanya kepada sebuah parti politik sahaja, besar kemungkinan keputusan adalah masing-masing parti politik Melayu mendapat jumlah kerusi yang tidak mampu membentuk sebuah kerajaan negeri. Ketidakstabilan politik kemungkinan akan berlaku lagi.

Penulis melihat bahawa keberanian dan kebijaksanaan pengundi Melayu di kawasan majoriti DUN Melayu adalah sangat penting dalam membentuk sebuah kerajaan Melayu-Islam yang stabil. Dalam membentuk sebuah kerajaan Melayu-Islam, pengundi Melayu hanya mempunyai pilihan sama ada memilih BN atau PN?

Pengundi perlu memejam mata untuk seketika dan membuka mata hati seluas-luasnya dalam memilih parti politik terbaik. Dalam amalan demokrasi tidak ada sesiapa yang boleh memaksa seseorang pengundi membuat keputusan memangkah mana-mana parti politik.

Gerak hati, kekuatan daya fikir dan pengalaman yang akan memberikan keputusan tepat. Mana satukah parti politik terbaik yang perlu dipilih oleh pengundi bangsa Melayu di kawasan majoriti Melayu DUN Melaka?

Pengetahuan politik dan pengalaman perlu diadun dengan mendalam dan benar-benar tepat. Salah perkiraan akan membawa kesan buruk selepas keputusan PRN nanti. Pengundi harus membezakan antara strategi politik (kempen dalam usaha menarik sokongan pengundi) dan falsafah politik perjuangan jangka panjang.

Strategi politik adalah suatu yang bersifat jangka pendek yang berusaha menarik sokongan pengundi. Falsafah dan pegangan asas sesebuah parti politik adalah jauh lebih penting dan bersifat kepentingan jangka panjang.

Falsafah politik sesebuah parti politik mungkin tergelincir untuk seketika, jika tersalah pilih pemimpin. Ia mungkin boleh diperbetulkan dengan pimpinan baharu yang mampu mengembalikan kepada falsafah asal perjuangan sesebuah parti politik.

Pengalaman dan tindak-tanduk sesebuah parti politik yang telah sedia lama berkuasa perlu benar-benar diteliti. Tidak ada sebuah parti politik yang mengaku melakukan kesalahan dan berniat buruk terhadap penyokongnya.

Pengundi harus bijak berfikir dan mendalami perjalanan serta menilai sesebuah parti politik. Apa yang telah dilakukan oleh sesebuah parti politik semasa telah lama berkuasa sebagai sebuah kerajaan?

RASUAH

Adakah ia benar-benar akur dengan falsafah perjuangan dan perlembagaan parti? Atau pemimpinnya telah lari daripada perjuangan memartabatkan dan amanah bangsa. Kuasa yang ada telah disalahgunakan dengan melakukan rasuah bertaraf global tanpa menghiraukan baik buruk kesan kepada sosioekonomi rakyat dan kepentingan negara.

Adakah kita masih mahu memberikan sokongan kepada parti politik yang pemimpinnya telah melakukan rasuah, salah guna kuasa dan telah didapati bersalah oleh mahkamah?

Kita juga tidak benar-benar berasa senang hati dan tidak seharusnya memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang ada dalam kalangan pemimpinnya masih dalam kes mahkamah dan ada pertuduhan rasuah serta salah guna kuasa.

Isu-isu yang dinyatakan di atas adalah garis kasar parti-parti politik yang bakal dipilih bagi menerajui kerajaan negeri (dan juga pimpinan Pusat nanti). Ini semua adalah prinsip asas yang boleh menjamin pembangunan dan kestabilan negara.

Berilah peluang kepada pimpinan parti-parti politik yang relatifnya bersih dan mempunyai matlamat yang jelas membawa rakyat dan negara kepada keharmonian dan kesejahteraan.

Pimpinan parti politik yang berteraskan Perlembagaan negara yang tidak sekali-kali mempertikaikan asas-asas utama negara bangsa yang dibentuk atau “tiang seri Perlembagaan” (khususnya tentang Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan dan peranan raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak serta kedudukan istimewa orang-orang Melayu/bumiputera Sabah Sarawak).

Jangan memandang remeh kepada pimpinan parti politik yang pernah menyentuh dan saranan menyemak semula “hak dan keistimewaan orang-orang Melayu” (Perkara 153).

Hendaklah para pengundi faham tentang asas falsafah tersirat negara bangsa Malaysia yang mempunyai falsafah tersirat “one state, one nation” berasaskan Perlembagaan Persekutuan kerana ianya adalah asas pembinaan dan kestabilan negara.

Semua pimpinan parti politik perlu memahami dan mendasari tindakan selaras dengan garis Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Parti-parti politik yang cuba merobek asas-asas ini tidak harus diterima dan tidak dikelabui terpedaya oleh strategi politik semasa yang bersifat jangka pendek.

Para pengundi, khususnya di kawasan DUN majoriti Melayu harus membuka mata seluas-luasnya dan melebar telinga dalam menilai, mentafsir dan merumus dalam menentukan parti mana yang perlu dipilih.

Tidak ada sebuah parti politik pun yang mutlak kesempurnaannya. Pilihlah yang relatifnya baik dan mampu membina kebaikan dan kesejahteraan hidup bernegara dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Pilihlah parti politik yang mengajak kepada kerjasama membina kestabilan, jauhkan parti politik yang menolak kerjasama dan berasa sombong dan berasa berkuasa dengan hanya sedikit kuasa yang ada.

Berpadulah bangsaku, jangan lagi bertelagah, bergaduh yang tak sudah-sudah. Musuh telah dan mula meroboh lagi kota kita: nanti kita diinjak-injak dengan penuh hina tanpa maruah.  Jangan menyesal di kemudian hari. Buatlah pilihan terbaik. Berfikir dan bertindak sebelum terlambat!

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN