DI bawah undang-undang antarabangsa, setiap kanak-kanak berhak mendapatkan kewarganegaraan.
Perkara 7 Fasal (1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 (Convention on the Rights of the Child 1989, CRC) menyatakan bahawa “Kanak-kanak hendaklah dengan segera didaftarkan selepas lahir dan hendaklah berhak semenjak dilahirkan kepada satu nama, serta hak mendapatkan kewarganegaraan…”
Perkara 28 Fasal (1) kemudian menyatakan bahawa semua negara yang menyertai konvensyen ini hendaklah “mengiktiraf hak kanak-kanak mendapatkan pendidikan”.
Konvensyen ini berkuatkuasa pada 2 September 1990 dan Malaysia meratifikasinya pada 17 Februari 1995 tetapi portal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (https://treaties.un.org) menyatakan bahawa kerajaan kita telah membuat ‘reservations’ kepada beberapa peruntukan dalam konvensyen itu, termasuklah Perkara 7 dan Perkara 28(1).
Ini bermakna negara ini belum lagi bersedia memikul obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk memberi setiap kanak-kanak status kewarganegaraan.
Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak pendidikan kepada setiap kanak-kanak tetapi hak itu diberi kepada rakyat negara ini sahaja. Kanak-kanak negara asing atau kanak-kanak berstatus tanpa warganegara (stateless) tidak ada hak sedemikian kerana dilahirkan di luar negara.
Ikuti nasib dua wanita warga Malaysia, Jossil Murray dan Mashitah Abdul Halim bersuamikan lelaki warga asing yang ditakdirkan terpaksa melahirkan bayi mereka di luar negara – Jossil Murray melahirkan anaknya di Thailand manakala Mashitah melahirkan anaknya di Turki.
Di bawah undang-undang Malaysia, setiap bapa mempunyai hak secara automatik memberi status kerakyatan negara ini kepada anaknya sekiranya dilahirkan di luar negara tetapi hak begini tiada pada ibu. Dalam kes Jossil Murray dan Mashitah, andainya bayi yang lahir di luar negara itu tidak mendapat kerakyatan bapa mereka, maka mereka akan berstatus tanpa warganegara sehinggalah ibu mendapatkan status warga negara untuk mereka.
Menarik sekali, pada 9 September 2021 lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir memutuskan (berasaskan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan) bahawa hak bapa yang disebutkan di atas tadi hendaklah juga dinikmati oleh ibu, berdasarkan tafsirannya bahawa istilah ‘bapa’ dalam Jadual Kedua, Part II, Seksyen 1(b) hendaklah termasuk ‘ibu’.
NASIB KANAK-KANAK TANPA WARGANEGARA
Pada tahun 2016 lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia (pada ketika itu), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan terdapat kira-kira 290,000 kanak-kanak stateless di negara ini. Bukan semua mereka ini orang asing, pelarian atau migrain haram. Ramai antaranya lahir di negara ini dan tinggal di sini sepanjang hayat.
Satu laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Ending Statelessness for a Bright Future for Every Child menyatakan bahawa masalah kanak-kanak stateless berterusan dari satu generasi kepada satu generasi lain. Kanak-kanak yang lahir tanpa warganegara akan melahirkan anak mereka dalam keadaan yang sama. Situasi buruk ini hanya berakhir apabila bernasib baik mendapatkan kerakyatan di mana-mana negara. Lazimnya prosedur memohon dan mendapatkan kerakyatan sebuah negara itu memakan masa yang amat rumit dan panjang, termasuklah di negara ini.
TIGA ALTERNATIF PENYELESAIAN
Mengikut hasil kajian serta perakuan penyelesaian masalah yang diterbitkan dalam UNHCR’s Global Action Plan to End Statelessness 2014 – 2024, ada tiga bentuk tindakan yang boleh dipertimbangkan untuk menyelesaikan masalah kanak-kanak tanpa warganegara iaitu :–
- Andainya apabila seorang kanak-kanak itu dilahirkan, tanpa mendapatkan kewarganegaraan bapanya, dia hendaklah diberi kewarganegaraan ibunya; atau
- Andainya apabila dilahirkan dengan tidak mendapatkan kewarganegaraan bapanya atau ibunya, dia hendaklah diberi kewarganegaraan negara di mana dia dilahirkan; atau
- Bagi kanak-kanak yang berada di sebuah negara itu tetapi fakta kelahirannya tidak diketahui dan tidak ada kemungkinan akan mendapatkan status kewarganegaraan dari mana-mana negara lain, dia hendaklah diberi pertimbangan mendapatkan kewarganegaraan negara di mana dia berada.
Mengikut maklumat yang disiarkan pada 8 Oktober 2019 lalu dalam www.unhcr.org, Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikan isu statelessness di negara ini, sejajar dengan Global Action Plan. Portal UNHCR itu merujuk kepada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri, dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif UNHCR di Geneva.
KES TERKINI
Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa kelahiran seorang bayi di negara ini tidak membolehkannya memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
Terkini Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed membenarkan permohonan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang sebelum ini berstatus tidak bernegara supaya Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula tarafnya sebagai warganegara Malaysia.
Mengikut Hakim itu, kanak-kanak itu memenuhi syarat kelayakan sebagai warganegara kerana memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, iaitu bapanya seorang warganegara Malaysia serta dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain.
Hakim juga memutuskan isu taraf perkahwinan ibu bapa semasa kanak-kanak itu dilahirkan (sama ada sah atau tidak) adalah tidak relevan dengan kes berkenaan. Yang penting adalah bahawa kanak-kanak itu dilahirkan di Ipoh pada 24 Jun 2016 dan dia tidak memiliki kerakyatan negara lain.









