Jangan ‘lacur’ Bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Jangan ‘lacur’ Bahasa Melayu

TINDAKAN menggunakan bahasa selain bahasa Melayu bukan sahaja tidak selari dengan Konsep Keluarga Malaysia malah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN sebuah agensi kerajaan untuk mempersiap tenaga kerja di barisan hadapan dengan pengetahuan bahasa Mandarin bagi tujuan mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, bukan sahaja satu pengkhianatan tetapi pencabulan terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan kita. Ia dasar mulia yang seharusnya dilindungi semua pihak, apatah lagi sektor awam.

Selainnya, terdapat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020, yang sebelumnya ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 2011 dan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006, mengenai keperluan menggunakan bahasa kebangsaan yang sewajarnya.

Pekeliling 2020 bertajuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan lain-lain adalah bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara selalu berada dalam keadaan bermutu serta seluas-luasnya dalam segala urusan rasmi kerajaan. Untuk ini, diberikan panduan rinci, termasuklah perkhidmatan kaunter. Selain panduan ini, ianya turut menggariskan kewajipan ketua jabatan serta kakitangan dalam pemakaiannya pada setiap masa di semua agensi kerajaan dari yang di pusat dan negeri sehinggalah ke pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

Dengan ini, tindakan agensi kerajaan berkenaan dengan pelbagai alasan yang dikemukakan, termasuklah yang bersifat profesional, adalah tidak selari langsung dengan pekeliling itu khasnya dan pelbagai aspek kenegaraan lain amnya, termasuklah Konsep Keluarga Malaysia yang cuba diwajarkan untuk menghalalkan langkah yang memang bertentangan dengan aspirasi negara. Ini kerana urusan kerajaan tidak boleh sama sekali wujud dalam bahasa lain, khususnya dalam negara. Ianya wajib dilakukan hanya dalam bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Justeru alasan bahawa tindakannya untuk memantapkan mekanisme urus tadbir dan menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi serta memenuhi kehendak pelanggan, selain bersifat proaktif dan kreatif serta sebagai rancangan pembangunan modal insan adalah meleset sekali. Selanjutnya tindakan ini yang didakwa sebagai bertepatan dengan nilai keterangkuman dalam Konsep Keluarga Malaysia juga amat jahil. Kemelesetan dan kejahilan ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan kepimpinan agensi ini, ia juga memperlihat ketiadaan langsung jati diri kebangsaan.

Sebenarnya persoalan ini juga perlu dilihat dalam kerangka nasionalisme yang lebih besar iaitu ketidakcekapan golongan bukan Melayu seperti etnik Cina terhadap bahasa negara walaupun sudah sekian lama tinggal di Malaysia dan merupakan warganegara. Kursus bahasa Melayu sepatutnya diadakan bagi menyelesaikan masalah komunikasi apabila mereka perlu berurusan di jabatan kerajaan dan bukan sebaliknya seperti apa yang mereka mahu dilakukan.

Ini masalah etnik Cina dan mengapakah ianya perlu diselesaikan oleh etnik lain. Cara begini pernah berlaku sebelum ini apabila sebuah parti politik Cina telah menganjurkan kursus bahasa Mandarin untuk petugas hospital awam yang bukan berbangsa Cina agar mereka boleh berkomunikasi dengan pesakit Cina. Cara salah ini hendaklah dihentikan, justeru hasrat agensi kerajaan ini harus dibatalkan.

Tidak salah sama sekali kalau tenaga kerja di agensi kerajaan ini dan lain-lain mahu mempelajari bahasa lain. Keinginan ini baik dan perlu pun digalakkan, untuk tujuan tambah nilai pada diri sendiri kerana pengetahuan, apatah lagi penguasaan bahasa lain ada banyak manfaatnya. Akan tetapi ianya tidak boleh sesekali dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang wujud itu.

Sebenarnya persoalan lebih besar dan parah ialah pelanggan agensi kerajaan iiatu pelajar institusi pendidikan tinggi yang melalui sistem pendidikan negara. Pasti ada banyak perkara yang amat tidak kena apabila rata-ratanya pelajar Cina yang mahu mendapat perkhidmatan di agensi kerajaan didapati tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, justeru ada keperluan mendesak bagi tenaga kerjanya mempelajari bahasa Mandarin untuk mengatasi masalah yang timbul itu.

Sebagai warganegara Malaysia, lebih-lebih generasi muda, sepatutnya tidak wujud lagi sebarang masalah tentang pengetahuan dan penguasaan bahasa negara. Namun inilah hakikatnya yang perlu diatasi dengan serius dan sesegera yang boleh. Ia persoalan negara yang mempunyai dampak besar kepada banyak ehwal kenegaraan. Antara yang penting ialah jati diri kebangsaan.

Sehubungan persoalan ini, didapati tidak banyak yang dilakukan oleh kepimpinan Cina yang kelihatan lebih mahu menumpukan usaha pendidikan untuk persekolahan bahasa Cina sahaja. Sebenarnya pemimpin Cina hendaklah bukan sahaja lebih peka kepada aspek nasionaliti ini sebaliknya harus melakukan sesuatu agar etnik Cina kelihatan lebih nasional dalam aspek ini dan lain-lain untuk dihormati sebagai warganegara.

Oleh sebab inilah, bahasa Melayu perlu dipelajari etnik Cina sendiri dan bukannya etnik bukan Cina pula yang mempelajari bahasa Mandarin. Dengan ini, agensi kerajaan terbabit tidak boleh sesekali mengadakan kursus bahasa Mandarin atas sebab mahu memenuhi kehendak pelanggan dan diherotkan pula dengan nilai dan ciri tertentu pada Konsep Keluarga Malaysia. Ini kerana ia tidak baik untuk identiti negara Malaysia dan identiti budaya rakyatnya. Justeru bahasa Melayu tidak boleh sesekali ‘dilacurkan’ untuk apa-apa tujuan bukan nasional.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×