Bilionair obses makhluk asing - Utusan Malaysia

Bilionair obses makhluk asing

ELON Musk membuktikan syarikat swasta mampu menghantar angkasawan ke orbit bumi dan seterusnya ke bulan dan Marikh. – IHSAN SPACEX
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 Oktober lalu, akhbar ini menyiarkan artikel bertajuk Sah Elon Musk individu paling kaya di dunia.

Sebagai salah seorang daripada lebih 61 juta pengikut Twitter Musk dan berkongsi tahun lahir yang sama, saya cukup teruja membaca berita Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX itu berjaya menempatkan dirinya sebagai individu paling kaya di dunia.

Bahkan harta kekayaan Musk yang berasal dari Pretoria, Afrika Selatan sudah melebihi aset orang-orang terkaya sebelum ini iaitu Bill Gates dan Warren Buffet jika kedua-dua aset hartawan itu digabungkan.

Menurut data indeks Bilionair Bloomberg pada 19 Oktober lalu, gabungan kekayaan Gates dan Buffet adalah sebanyak AS$234 bilion (RM936 bilion) lebih rendah daripada kekayaan Musk yang mencecah AS$243 bilion (RM972 bilion).

Beberapa penganalisis bank perdagangan juga meramalkan sedikit masa lagi Musk akan menjadi individu pertama yang akan mencapai status trilionair.

Satu persoalan yang bermain dalam fikiran kita, bagaimanakah beliau boleh menjadi terlalu kaya dengan mencapai status bilionair pada 2012 ketika berusia 41 tahun?

Itulah soalan yang ditanya oleh ahli perniagaan India yang juga pengasas aplikasi pembayaran kad kredit CRED, Kunal Shah kepada Musk pada awal tahun ini. Musk adalah antara pengasas syarikat pembayaran dalam talian, PayPal.

Jawapan Musk kepada soalan itu ringkas sahaja: “Saya makhluk asing.” Adakah beliau berjenaka, saya tidak pasti kerana sebagai pengikut Twitter beliau, sudah banyak kali jawapan sedemikian diberikan.

Musk sebelum ini pernah berkata, beliau suka membuat lawak kerana ia menarik perhatian media massa yang akan memberi publisiti percuma kepada syarikatnya.

Pada 2020, Musk membuat ciapan, piramid di Mesir dibina oleh makhluk asing sehingga menyebabkan beliau dijemput kerajaan negara itu untuk melihat sendiri bukti monumen berkenaan dibina oleh manusia.

Pada September dan Oktober lalu, beliau memuat naik dua ciapan yang masing-masing disertakan gambar yang memaparkan objek terbang tidak dikenal pasti (UFO) yang berbentuk segi tiga dan cerut.

Ada pengikut membuat ciapan balas, memberi nasihat supaya Musk memberi tumpuan membina roket dan kereta elektrik serta mengelak melibatkan diri dengan media sosial kerana semua ciapan dan komen beliau teruk-teruk belaka dan hanya omong kosong.

Pada 2020, Musk juga membuat ciapan supaya semua pengikutnya mengambil pil merah dengan menyertakan gambar beliau menelan ratusan pil merah.

VAKSIN

Ciapan itu menerima reaksi positif daripada anak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ivanka Trump yang menyatakan dia sudah berbuat demikian. Musk dan Donald Trump mempunyai persamaan, iaitu gemar menggunakan Twitter untuk berkomunikasi dan membuat kenyataan akhbar.

Pil merah ialah istilah yang digunakan dalam filem fiksyen sains 1999, The Matrix apabila watak utama, Neo ditawarkan pil merah dan pil biru.

Mereka yang mengambil pil merah akan didedahkan kebenaran yang disembunyikan manakala pil biru menyebabkan individu hidup seperti biasa dengan mempercayai semua arahan dikeluarkan pemerintah yang sebenarnya hanya pembohongan.

Sebab itu, ciapan Musk pada 2020 banyak yang menentang langkah kawalan pergerakan kerajaan AS untuk membendung Covid-19 dan menyatakan beliau dan keluarga tidak akan mengambil vaksin.

Adakah kebenaran itu bermaksud kita perlu mempercaya teori-teori konspirasi bahawa Musk ialah makhluk asing berasal dari bintang Sirius, Presiden AS sekarang ialah manusia klon dan makhluk asing akan mendarat pada 2028 untuk menyelamatkan manusia?

Dalam pada itu, berdasarkan pemerhatian, kejayaan Musk berpunca kerana beliau sama seperti pengasas-pengasas bersama Apple, Steve Jobs; Larry Page (Google) serta Gates (Microsoft) yang berperwatakan pemimpin yang mempunyai visi dan sarat dengan idea-idea di luar kotak.

Pemimpin sedemikian tidak suka dengan kerja-kerja pentadbiran untuk mengurus syarikat. Ini diakui sendiri oleh Musk bahawa beliau tidak gemar menjadi CEO sebaliknya lebih tertarik menubuhkan syarikat-syarikat permulaan yang memberi tumpuan kepada idea-idea baharu, inovasi dan kejuruteraan.

Musk boleh disamakan dengan penemu arus elektrik ulang-alik (AC), Nikola Tesla (1856-1943) yang banyak memperkenalkan teknologi baharu kepada manusia.
Beliau memberi tumpuan kepada teknologi yang digelar Profesor Harvard Business School, Clayton M. Christensen sebagai disruptive technology (teknologi yang menimbulkan gangguan).

Teknologi seperti ini akan menggantikan perkhidmatan dan peralatan yang telah digunakan sejak sekian lama atau mewujudkan industri baharu dengan peralatan dan perkhidmatan serba baharu.

Melalui SpaceX, beliau memperkenalkan roket yang boleh diguna semula dan menerusi projek Starlink, Musk meletakkan ribuan satelit di orbit rendah bumi bagi menyediakan akses internet ke seluruh dunia.

Idea paling gila Musk adalah membina penempatan manusia di planet Marikh menjelang 2050.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×